Monday 31 December 2012

CERPEN GRAFIK : AKU GADIS HOT (part 2- akhir)

sambungan dari kisah ; CERPEN GRAFIK  : AKU GADIS HOT (part 1)





*********************** TIGA ***********************

“Hmmm, buhsannyeee” Dia menekan button post. Mahu menguji trafik di facebook.

Sebaris ayat pendek itu bertubi-tubi menerima like dalam sekelip mata. 527 likes dalam masa 1 minit. Meena tersenyum lebar.

Dia mula mengupload gambar pertama duckfacenya ke dalam album ‘Bila aq Buhsan’.
Captionnya macam biasa “ saya burok,  tak canteq macam girlfie kamoo”... ayat yang menjadi taktik ramai  gadis belasan tahun untuk menarik banyak komen dan like.

Bibirnya menggetap geram sambil memandang broadband yang kadangkala dipanggil “Berukband” kerana kelajuannya yang hampir sama dengan kelajuan seekor siput babi memanjat Tembok Besar China.

5 minit menunggu. “Siput babi.. siput babi.. siput babi... siput babi...” Meena menggerutu.
Akhirnya gambar berjaya diupload.
Meena pejam mata. 1...2...3.... dia buka matanya semula. Tersengih.
999 likes terpampang di skrin. Dan angka itu terus bertambah. Meena menekan hidungnya yang mula kembang, bimbang terkoyak.

“ mana ada buruk, cantik la awak ni”
“ fuuuh, perempuan Malaria terakhir, boleh berkenalan?”
“Rambut you nice laa... seswai dengan muka u”
“Subhanallah, cantiknya...”
“aww, akaq santek sanad2.. adeq jelly taw”

Dan banyak lagi komen yang menambah bunga-bungaan di taman hati Meena.
99% komen dari kaum lelaki.



Meena tambah semangat untuk upload gambar kedua.

Chatboxnya mula dihujani sapaan mesra bertalu-talu sama ada dari orang yang dia kenal mahupun tidak.
Meena leka sendiri melayan karenah lelaki-lelaki gatal yang cuba mengayat dan mengoratnya.

Dia cukup lemah bila dipuji. Dirasakan seperti mahu terbang. Langkahnya bagaikan tak  mencecah tanah. Terbang bagaikan pontianak harum yang menyundal di tengah malam.

Meena sendiri pun kadangkala lupa berapa ramai lelaki yang menjadikannya sebagai adik angkat. Itupun selepas menerima tapisan ketat darinya.
Baginya dia tak memilih, cukuplah handsome dan berduit. Yang rupa paras tak menarik semuanya Meena dah ‘block’ awal-awal.

“pegi matilah. Dahlah muka tak hensem, poket pun kering. Ada hati nak tackle aku. Haktuihh” Meena meludah ke lantai. Kahak hijau pekat berlendir itu seakan satu terapi buat Meena setiap kali berasa marah.

Meena sekilas menjeling jam di dinding. 3.45 petang. Maknanya dah hampir 4 jam dia mengadap skrin komputer.
Dia teringat bahawa dia belum menunaikan Solat Zohor lagi.

“Takpe. Kejap lagila aku sembahyang. Kesian pulak nak tinggal mamat-mamat ni yang tengah syok layan aku chat” Sifat belas kasihan Meena yang tinggi menyebabkan dia terus melayan.




*********************** EMPAT ***********************

Ah! Tiba-tiba Meena melompat dari katil. Lagaknya bagai kucing terkejut bila disergah.
Dia teringat sesuatu. Hari ini dia ada temujanji dengan Zaki, jejaka idaman dambaan semua gadis di kampusnya.

Zaki, berjaya dipikatnya dengan lenggok dan gaya menggodanya. Zaki tewas. Dan Meena tersenyum bangga bila ramai yang cemburu kepadanya.

Biarpun Meena mempunyai ramai teman lelaki, namun semuanya tak seistimewa Zaki. Zaki anak ahli perniagaan tersohor. Keluarganya kaya-raya. Meena berharap dapat menumpang kemewahan Zaki.
Dia berjanji akan berjumpa Zaki pukul 4.00 petang. Ada lebih kurang 10 minit lagi.

Meena pantas mencapai perfume ASADI haruman Ultra Light. Meena kesuntukan masa. Dia pantas membetul-betulkan rambutnya tanpa sempat memakai tudung.
Sambil berlari-lari menuruni tangga dia membuka cemin kecilnya, dan mengenakan gincu dan segala alat make-upnya.

Meena bertuah kerana kebiasaannya tidak menanggalkan make-up walaupun ketika berada di rumah menyebabkan dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap.

Mujurlah dia berjanji menunggu Zaki menjemputnya di taman permainan kanak-kanak yang hanya terletak di seberang jalan berhadapan dengan kolejnya.

Dalam kegopohan itu, Meena mengabaikan kewujudan jejantas yang biasanya dia gunakan untuk melintas jalan di kawasan itu.
Melihat kereta dari arah kanannya masih jauh, Meena pantas berlari melintas jalan.

Namun nasibnya malang apabila kasut tumit tingginya menyebabkan dia tergelincir. Berkerut dahinya menahan sakit. Meena terhenti di tengah-tengah jalan itu.

Pada masa itu juga, sebuah Proton Alphard meluncur laju ke arahnya. Pemandu itu tidak sempat membrek namun dia sempat memulas stereng sekuat hati untuk mengubah haluan mengelakkan Meena.

Kereta itu terbabas ke arah laluan bertentangan dan terus merempuh sebuah kedai serbaneka di tepi jalan seberang sana.
Meena terselamat . Mulutnya terlopong. Namun sempat menarik nafas lega.

Proton Alphard yang terbabas tadi rupanya menyebabkan pemandu sebuah kereta Perodua Ferrari dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas ke laluan tempat Meena masih terpaku.



Kereta itu terus merempuh Meena dan menyebabkan Meena terpelanting berpuluh-puluh meter ke hadapan. Kereta itu berputar-putar, merempuh tebing dan terbalik.
Suasana kecoh serta merta.




*********************** LIMA ***********************


Meena tercampak ke depan. Kepalanya terhentak keras ke jalan raya. Dia bergolek- golek seperti bola boling yang menuju longkang. Semuanya berlaku sekelip mata.

Meena terbaring lemah. Darah merah membuak2 keluar dari seluruh tubuhnya. Matanya terbeliak.
Meena menggeletik bagai cacing kepanasan di gurun Sahara. Dia cuba membuka matanya.

Dia terpandang seorang pakcik tua penjual buku agama yang pernah dihalaunya dulu semasa menawarkan buku-buku yang baginya membosankan.

Kelihatan pakcik itu terlopong melihat situasi yang mengejutkan itu...

Tiba- tiba dia teringat akaun Facebooknya ... “Alangkah bagusnya kalau komputer aku ada di sini. Aku mahu update pasal kemalangan ini” Dia merintih.

Jadah. Aku dah nak mati masih ingat update facebook. Petanda betapa teruk ketagihannya terhadap Facebook.

Pandangannya makin kabur. Kelam. Gelap.
Tiba-tiba satu cahaya memancar terang. Menyilaukan pandangan. Dia merasakan bagai berada di sebuah pawagam.

Meena meninjau-ninjau. Ada sesuatu sedang ditayangkan pada skrin di hadapannya.
Segala aksi buruknya terpampang jelas pada sebuah layar putih. Bagai sebuah cerita yang dilakonkan sendiri olehnya. Meena kaget.



Dia malu sendiri melihat kelakuan jeleknya selama ini. Bagaimana dia menggunakan kecantikan paras rupanya untuk menggoda lelaki-lelaki yang dirasakan boleh dipergunakan untuk mencapai matlamatnya.

Dia melihat pembaziran masanya yang banyak dihabiskan di depan skrin komputer.

Dia melihat kembali pembohongan dan penipuannya kepada ibu dan ayahnya semata-mata mahu menutup kelakuannya. Berkali-kali.

Meena tak sanggup lagi menontonnya. Dia jijik dengan dirinya. Dia cuba menutup mata denga kedua belah telapak tangannya.

Malangnya, tayangan itu seakan semakin jelas. Biarpun dengan mata terpejam, Meena masih mampu melihat semuanya.

Meena teresak-esak. Air matanya mengalir tiada henti. Laju menuruni kolam matanya membasahi pipinya. Tak pernah seumur hidupnya dia berasa ketakutan seperti ini.

Bayangan-bayangan menakutkan lagi mengerikan mula menggantikan tayangan tadi. Api marak menjulang tinggi membakar apa saja di laluannya. Ular-ular besar dan segala jenis binatang berbisa yang tak pernah terbayang muncul seakan mahu membaham dirinya.

Azan Asar berkumandang. Dalam kesamaran fikirannya Meena teringat Solat Zuhur yang belum sempat dia tunaikan.

Nafas Meena tersekat-sekat. Nyawanya hanya tinggal di kerongkong. Matanya terbelalak menahan azab sakaratul Maut.

Suara-suara orang ramai yang cuba mengajarkan kalimah syahadah kepadanya bagaikan tak membawa apa-apa erti kepadanya. Kalimah suci itu dirasakan terlalu asing pada pendengarannya. Lidahnya kelu tak mampu mengikut bacaan itu.

Akhirnya Meena terkulai.  Rohnya berpisah dari badan. Kembali menghadap Allah, Tuhan pemilik sekalian nyawa.

Klik! Klik! Klik! Jurugambar polis dan wartawan Utusan Malaria, Berita Hairan, Megatron, Sinar Durian tak putus-putus menekan butang kamera.

Esoknya terpampang di semua akhbar melaporkan kemalangan ngeri itu.

Zaki yang kebetulan terbaca berita itu terkesima. Terkejutnya bukan kepalang. Barulah dia teringat akan temujanjinya dengan Meena.

Kesibukannya menguruskan urusan pertunangannya yang akan berlangsung minggu depan menyebabkan dia terlupa temujanjinya itu. Dia akan bertunang dengan Sheela, gadis rupawan anak tokoh korporat pilihan hati ibu dan ayahnya.
Meena, baginya hanya tempat dia melampiaskan nafsunya. Gadis itu terlalu senang dikaburi wang dan kemewahan.

Zaki hanya menganggap Meena sama seperti gadis-gadis lain yang hanya mampu singgah sekejap di hatinya, dan diusir pergi bila dia tak lagi memerlukannya.




*********************** EPILOG ***********************

Sedang di alam maya, akaun facebook, blog, Twitter, Instagram, Myspace  Meena saban waktu diakses dan dilihat beribu-ribu orang sehari. Gambar-gambar Meena terus-terusan dilike, didownload dan disimpan  oleh ribuan manusia.

Tiada seorang pun tahu password, e-mail bagi semua akaunnya itu. Ibu bapanya yang buta IT itu langsung tidak tahu kewujudan semua itu.

Dan masa terus berlalu. Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti bateri baru. Bila jam rosak, jam pula diganti baru.

Meena, merintih sendiri di kuburannya. Gelap. Sempit. Menghimpit. Sesalnya tak berpenghujung.

“Ya Allah, kembalikan aku ke dunia. Aku berjanji akan menggunakan masa aku sebaik-baiknya. Hanya untuk beribadat kepada-Mu”

Rintihan sayu meruntun hati itu kedengaran bertalu-talu dipohon. Bersahut-sahutan dari satu kubur ke kuburan yang lain.

Semuanya sudah terlambat. Masa dan waktu yang dipinjamkan kepadanya sudah habis digunakan.

Dan masa hanya akan terus bergerak ke hadapan, mengikut aliran waktu, takkan sesekali berundur ke belakang.

Kecantikan, anugerah Allah untuk hambanya... yang hanya bersifat sementara.

Syaitan akan cuba menghasut dan mengaburi pandangan manusia dengan nafsu. Cantik itu anugerah, tapi kesilapan menggunakannya boleh mendatangkan bencana.



--- TAMAT ---


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Ambang 2013 : Negaraku Malaysia

Assalamualaikum...


2012. Sekelip mata berlalu.  




2013 menjelma. Bermakna baki umur yang dipinjamkan kepada kita berkurang setahun lagi.
Kalaulah Allah membuka hijab dan kita mampu menyemak baki umur kita… sepertimana kita menyemak baki top up telefon, maka huru haralah dunia.
Mereka yang berasa masih banyak masa yang tinggal akan melakukan segala jenis kejahatan dan mencuba segala jenis keseronokan dunia. Merancang bertaubat hanya bila sampai hujung waktu.
Maka, biarlah ajal maut itu menjadi salah satu rahsia Allah. Hikmah kebijaksanaan  percaturan Allah terhadap hamba-Nya.
Ramai mula menghitung hari, tidak sabar mahu menyambut ketibaan detik ambang 2013. Kononnya dengan azam dan semangat baru.
Betapa ramai juga menyesali pemergian 2012 akibat janji yang terbengkalai, azam yang tak kesampaian.
Detik dan waktu tak akan pernah terhenti putarannya. Meninggalkan mereka yang lambat terkapai-kapai kelemasan.

2012 menyimpan kenangan suka dukanya sendiri. Setia menjadi pemerhati dan pencatat sejarah dunia.
Andai 2013 menjadi titik noktah kehidupan kita, berdoalah supaya dimatikan dalam kebaikan, dalam keimanan, dalam rahmat-Nya.

Ambang 2013. Malaysia.
Stesen TV berlumba-lumba menyiarkan rancangan menarik dan hiburan tanpa henti.
Stesen radio memutarkan lagu-lagu bagaikan marathon tanpa penamat.
Konsert dan hiburan diluluskan segenap ceruk Negara. Artis dan ikon tanah air sibuk dengan jadual padat undangan persembahan konsert ambang Tahun Baru.
Remaja –remaja tonggak Negara teruja dengan keseronokan dan kemeriahan sambutan Tahun Baru.
Ibu-ibu mengandung berikhtiar mahu melahirkan anak mereka pada 1.1.2013.
Pelesit-pelesit jalanan bersemangat mahu mempertaruhkan nyawa di jalan raya di malam Tahun Baru.
Kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk sambutan Tahun Baru. Memeriahkan suasana dengan persembahan bunga api berwarna warni.
Pasangan-pasangan couple bercangkerama sebebas-bebasnya. Tanpa mempedulikan operasi serbuan pencegah maksiat yang tak cukup tangan.
Benih-benih haram hasil perzinaan juga banyak yang bakal bercambah pada malam ini.

Semoga Negara tercinta ini dilindungi Allah dari sebarang bencana.

Tapi dengarnya banyak juga program keagamaan dan ceramah sempena Sambutan Tahun Baru. Pilihlah mana yang dirasakan baik.
Kalau malas, duduk je kat rumah, main game lagi bagus.

2013. Moga membawa sinar baru.  
2013. Semoga kita lebih banyak menangis berbanding tertawa. Menangisi keterlanjuran dosa dan kekhilafan sebagai seorang hamba.

Selamat Tahun Baru 2013...

Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday 29 December 2012

CERPEN GRAFIK : AKU GADIS HOT (part 1)




*********************** PREVIEW *********************

Pandangannya makin kabur. Kelam. Gelap.

Tiba-tiba satu cahaya memancar terang. Menyilaukan pandangan. Dia merasakan bagai berada di sebuah pawagam.

Meena meninjau-ninjau. Ada sesuatu sedang ditayangkan pada skrin di hadapannya.
Segala aksi buruknya terpampang jelas pada sebuah layar putih. Bagai sebuah cerita yang dilakonkan sendiri olehnya. Meena kaget.




***********************  PROLOG ***********************

Meena terkocoh –kocoh berjalan pantas menuju ke biliknya di Blok Angsana Kolej Babun. Berlari-lari anak meniti tangga naik ke tingkat 13, sedikit tercungap-cungap.
Hatinya berbunga-bunga. Sengihnya sampai ke telinga. Mulutnya menyanyi-nyanyi lagu Nobody but You nyanyian Wonder Pets.
Dia cuba bersiul namun memang keturunannya jenis yang tak reti bersiul. Sumbang. Dia mencebik.

Meena atau nama yang tertera pada kad pengenalan dirinya Siti Aminah Bt Mohsin, ganis manis 23 tahun, pelajar Universiti Teknologi Malaria. Bumiputera warganegara Malaria. Berkulit putih bersih, bertubuh langsing. Sesuai dengan keturunannya kacukan Parsi , Malaria dan Zimbabwe.

Dia gembira kerana hari ini ramai memuji-muji kecantikannya semasa dalam bilik kuliah Teknologi Memasak tadi. Ramai jejaka-jejaka yang menjeling-jeling ke arahnya.
Dalam perjalanan pulang tadi pun masih berterusan. Sepanjang laluannya 200 meter ke Kolej Babun dia tak henti-henti diusik sekumpulan budak sekolah yang sedang ponteng. 



Mereka cuba mengambil gambarnya...meminta nombor telefonnya. Juga akaun facebooknya.
Ah, biarlah, budak sekolah pun budak sekolahla. Janji mereka pun terpesona dengan tarikan luar biasa aku. Getus hati kecilnya yang sudah bertompok-tompok kehitaman itu.

“Akulah gadis paling hot kat Kampus ni” Syaitan membisikkan kata sakti.

Dia yakin tak ada lelaki sejati yang takkan goyah bila memandangnya. Cuma Sally si bapuk tua yang bekerja sebagai pencuci tandas universitinya itu yang nampak tidak terpengaruh dengan pesonanya.

Tak sia-sia dia mengenakan gincu merah jenama Adidas, Bulu mata palsu jenama Stabilo, blusher Gucci, contact lens biru jenama Canon dan perfume limited edition Febreeze tadi.

Pembaziran masanya berjam-jam di meja solek membuahkan hasil. Kata orang sabar itu pahit, kejayaan itu manis. Dan dia merasai kebenarannya.



***********************  SATU ***********************


Sampai sahaja ke bilik terus dia menuju ke meja belajarnya dan menghidupkan komputer Dell dengan RAM 128MB DDR1 hadiah arwah datuknya.

Itu sudah memadai baginya yang hanya tahu menggunakan facebook, twitter, myspace, skype, dan blogger itu.

Sambil menunggu komputernya hidup yang kebiasaannya mengambil masa 30 minit itu, dia membelek-belek wajahnya di cermin.
Sempurna. Tiada cacat cela. Make up setebal 3 inci itu cukup untuk menutup seketul jerawat di atas cuping telinganya  itu.

Dia tersenyum melihat tudung bawal yang dililit tiga belas kali menjadi shawl. Sedikit rambutnya di bahagian hadapan dibiarkan berjuntai keluar.
Rugi dirasakan jika menyembunyikan rambutnya yang berwarna perang itu dari tatapan umum. 

Bukan mudah dia merendamkannya di dalam takungan air yang dicelup atap zink berkarat yang diambil dari rumah arwah neneknya itu. Seminggu lamanya dia mengulang proses yang sama.
Dia puas hati. Usahanya berbaloi.

Fesyen mengeluarkan sedikit rambut bahagian hadapan daripada tudung itu trend terkini mak Datin dan orang2 kenamaan. Meena berasa dirinya layak berdiri sebaris dengan nama2 besar tokoh dalam negara bila berfesyen sedemikian.
“Kalau orang –orang yang hebat berfesyen begitu, maka tiada salahnya aku pun ikut sekali” itu prinsipnya.

Sambil ekor matanya melirik ke arah sekeping poster First Lady of Malaria  yang terpampang megah di dinding biliknya. Itulah idolanya sejak sekian lama.




Sehingga pernah dia terdetik mahu menyertai politik sebagai Puteri UMBRO, sayap kanan perjuangan Parti UMBRO, parti komponen utama dalam Barisan NasiHimpit.

Fikirnya dia boleh menggunakan kecantikannya untuk menarik lebih ramai pengundi untuk mengundinya.
Dia cukup takut dan meluat jika parti pembangkang yang dipimpin Parti POS dan Parti KeHADIRan memenangi pilihanraya umum akan datang. Dia takut kebebasannya berhibur dan bersenang- lenang akan terbantut.

Dia yakin dia takkan berpeluang lagi ke konsert K-POOP atau Just Stink Bibir apabila tampuk pemerintahan negara beralih arah.

“Entah- entah aku kena hukuman Hudud sebab mendedahkan rambut hadapan ni” Bangsat sekali pemikirannya membuat kesimpulan dangkal. Kebimbangannya nyata tak berasas.

Sejak dari dulu lagi Meena memang suka mendedahkan sedikit bukaan pada leher bajunya. Nampak seksi kata Ameng teman sekampusnya.

Meena bangga bila tubuhnya menarik mata-mata nakal lelaki untuk menjamahnya. T-Shirt ketat saiz XS jenama Toyota sering dijadikan pilihan untuk membalut tubuhnya.
Seluar legging hitam itu sering menjadi salah satu koleksi yang sering dipakainya. Ada 12 pasang semuanya koleksi legging dalam almari pakaiannya. Cukup 12 warna seperti set pensel warna Luna 12 batang.

“ah, bukan luak pun. Tak hilang pun dara aku setakat orang tengok” Jantungnya berfalsafah songsang.

Dia bukan jenis yang tak tahu agama. Dia dulu pernah belajar kelas fardhu Ain semasa sekolah rendah.

Dia mahir membaca alif.. ba.. ta.. sampai Yaa.. sekali nafas sambil pejam mata pun dia mampu melakukannya. Tapi dia tak pernah berbangga-bangga dengan itu, takut riak katanya.
Cuma dia tergagap-gagap malah kadang-kadang tidak tahu bila membaca Surah selain Al-Fatihah dan Al- Ikhlas. Itu normal baginya. Ramai rakan sebayanya lagi teruk berbanding dirinya.




*********************** DUA ***********************

Dia menjenguk skrin komputernya.
“ &%^@%#$@%!! Dah 27 minit masih belum habis loading... ^%@%$%@!!!!” dia menyumpah seranah. Geram.

Dia menyambung tugas membelek wajah di cermin. Diambil henfon Nokia 3310 nya dan mengambil gambarnya di cermin.
Biarpun telah berpuluh keping gambar diambilnya tadi dalam tandas sebelah dewan kuliahnya , dia masih belum puas.

Duckface. Mulutnya dimuncungkan sepanjang-panjangnya. Diambilnya sebatang hanger dan disangkutkan ke muncungnya... Klik! Klik! Klik! Bertubi- tubi cahaya flash memancar dari Nokia 3310 nya.






Babyface. Dia menjegilkan biji matanya yang memang sedia bulat dengan bantuan contact lens itu. Hampir tersembul keluar bebola matanya. Klik! Klik! Klik!




Babiface (Pigface). Dia menonyoh-nonyoh hidungnya dengan ibu jari, menjelirkan lidah menjilat bibir atasnya. Klik! Klik! Klik




Arabface. Dia menarik hujung tudungnya dan melilit membaluti sebahagian wajahnya meninggalkan sedikit ruang untuk matanya. Pandangan matanya sedikit dilembutkan. Klik! Klik! Klik!



Meena cuba mengambil gambar dari posisi atas. Tangan kanannya memegang henfon diangkat tinggi. Kepala sedikit didongakkan. Senyuman ditarik sampai telinga. Hujung jari telunjuk kirinya diletakkan di pipi. Cuba beraksi comel. Dia menyelaraskan kedudukan supaya gambar diambil sampai ke paras dada.
Dia menjeling ke cermin.

“Ah, macam beruk!” tiba-tiba muncul rasa menyampah tehadap dirinya sendiri. Dia membatalkan hasrat untuk mengambil gambar pada posisi itu.
Dia lupa bahawa selama ini gambar pada posisi itulah yang selalu diuploadnya. Yang telah menarik beribu orang untuk add friend dan subscribe akaunnya. Juga followernya yang 49 ribu di blognya.

Dia puas hati. Itulah rutinnya sejak 2-3 tahun kebelakangan ini.  4 Jenis mimik muka ini memang membantu popularitinya di facebook, blog, tumblr  dan Instagram.

“Ok jugak yang Arabface ni. Ok boleh buat profile picture Fesbuk nii... Kalau tak dapat 3,000 like jangan panggil aku Meena la.” Sedikit rasa takbur menyelinap ke dalam hatinya.
“Omaigod... omaigodd... “ Meena menyesali rasa takburnya. Seakan perkataan itu menggantikan istighfarnya.

Matanya sekali lagi beralih ke skrin monitornya. Lega. Dah boleh bukak facebook dan blog.
Pantas dia menyambungkan kabel USB henfonnya ke CPU. Segera dia memindahkan gambar ke dalam folder ‘Meena Cun’ di komputernya.

Dia tak sabar hendak menguploadkan gambar-gambar itu ke akaun facebooknya.
Komen-komen positif, like dan share menjadi pembakar semangatnya untuk bergiat aktif dalam bidang perfacebookan ini.

Dia ikhlas mengupload gambarnya untuk tatapan umum. Dia mahu berkongsi kecantikan ciptaan Allah dengan semua orang.
Sekurang-kurangnya ada lelaki-lelaki yang komen “Subhanallah, cantiknya awak” . Dia berasa gembira bila dia berupaya membantu lelaki-lelaki follower dan likernya mengingati kebesaran Allah.





bersambung...
(Tamat pada Part 2.. pendek je pun)

CERPEN GRAFIK  :  AKU GADIS HOT (part 2-Akhir)




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...