Friday, 5 October 2012

Akhirnya....


Assalamualaikum...

Sejak dua menjak ni kereaktifan aku dalam dunia blogging ni agak merudum... update yg memang dah tak berapa nak rajin tu pun makin jarang skang nih.

Blogwalking pun sangat lah terhad kepada beberapa blog je... komen mengomen kat entri orang pun semakin payah nak jumpa.

Nak balas komen kat blog sendiri pun memang nampak sangat slow dan lembab.

mohon ampun dan jangan salahkan aku. haha. semua sebab talian internet yang terputus tak bersambung sejak lepas raya aidilfitri hari tu...

entah apa yang dibuat oleh pekerja TM sampai sebulan lebih baru selesai. Dah masuk 5-6 kali report.

Tapi akhirnya ... Alhamdulillah semua dah selesai. Dan internet telah kembali ke pangkuan aku dengan selamatnya.

Jadi bolehlah aku buat balik kerja2 seperti blogwalking, tegur menegur jiran tetangga , dan update mengupdate blog.

tapi kan... tapi kan... err... minggu ni, minggu depan dan minggu lagi depan agak sibuk dan mungkin jadual padat ngalahkan Datin Seri Rosmah.

Jadi awal2 nak minta maaf kepada yang selalu datang , jenguk, baca, komen, dan jenjalan kat blog aku yang tak best nih.

Jangan terasa hati kalau dah lama tak jenguk korang.

Rindu nak menggila dengan geng2 WLA dan Dudel Doodles

sekian saja ucapan saya untuk kali ini.

terima kasih. :)



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday, 4 October 2012

Jangan putus asa : Belajar dari seorang insan kecil....




Suatu ketika dulu, kita dilahirkan ke dunia tanpa apa2 kemahiran dan pengetahuan.
Sedikit demi sedikit kita mula belajar dan mengenal alam.



Belajar untuk ketawa, memegang benda2 kecil, belajar bagaimana untuk minum dan makan.
Betapa kita pernah keras berusaha untuk meniarap, merangkak, dan cuba untuk berdiri.



Entah berapa puluh kali kita terjatuh, namun kita tetap akan bangun semula, dan bertatih sedikit demi sedikit, selangkah demi selangkah.

Akhirnya, dengan usaha tanpa jemu, kita mampu berlari.



Hidup ini adalah satu proses. Kemajuan sedikit demi sedikit. Semakin hari semakin baik.

Tapi menginjak remaja dan dewasa, ramai mula lupa semangat juang yang tak kenal erti mengalah itu.

Rasa putus asa semakin kerap menjengah dalam hati. Berapa ramai yang mengalah sebelum mencuba. Tewas sebelum gendang perang dipalu.

Akhirnya tersungkur sebelum sempat bertemu lawan.

Kadangkala kita angkuh, terlalu yakin akan keupayaan diri sendiri, terlampau yakin akan perancangan dan strategi yang diatur.

Lalu, apabila perancangan itu gagal, mula menyalahkan takdir, hilang arah tuju, hilang tempat bergantung.


Akhirnya apabila habis segala usaha, sudah habis segala daya, baru teringat merintih kesal pada Allah. Sebagai jalan terakhir.

Sekali dua berdoa, dan doa masih belum dimakbulkan, kita mula berasa Allah tidak adil, menimpakan ujian yang sebegitu rupa buat kita sedangkan orang lain menikmati hidup dengan gembira.

Padahal kita lupa, betapa selama kehidupan kita dipenuhi dosa yang menyebabkan terhijabnya doa kita. Sedangkan doa seorang yang alim dan ahli ibadah pun mengambil masa sebelum dimakbulkan.


Sabda Nabi s.a.w :
« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).


Tapi tak mengapa, teruslah berdoa dan memohon kepada Allah, kerana Dia Maha Penerima Taubat.

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).
 

Adanya Allah sebagai tempat pergantungan yang paling utama.

Hati akan disirami cahaya ketenangan. Motivasi untuk meneruskan kehidupan akan terus meluapkan semangat juang untuk terus melangkah ke hadapan.

Dengan cinta dan rahmat-Nya. Putus asa tiada lagi.

Tiada lagi rasa stress yang akan menekan jiwa sehingga rasa terhimpit. Yang seringkali menyebabkan kita berasa seakan seisi dunia membenci kita.

Belajar itu ibadah, bekerja itu satu ibadah, rehat juga satu ibadah, setiap gerak geri boleh mendatangkan pahala.

Hidup ini indah, tiada ruang untuk kita bersedih.

Jika kita berputus asa, saat itu terimalah hakikat sememangnya kehidupan kita sudah berakhir.

Jika ada jalan bahagia, mengapa memilih jalan kecelakaan dan kebinasaan?

Hidup kita, kita yang akan menjalaninya, maka kita jugalah yang harus memilih, dan menentukannya. 



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 1 October 2012

Muhasabah : Andai aku nampak dosa itu...



Seorang lelaki sedang berjalan di sebuah taman, tiba- tiba lalu seekor burung dan melepaskan najis jatuh atas kepalanya.
Cepat-cepat dia berlari mencari paip air lalu membersihkan kotoran tersebut.

Seorang gadis sedang makan di sebuah restoran. Tanpa disengajakan, sedikit makanannya tertumpah lalu terkena baju.
Pantas si gadis bergegas ke sinki lalu membersihkan sedikit kotoran itu.

***********************************

Kekotoran. Sesuatu yang kita tak suka. Bila kita nampak kotoran itu, pasti kita tak senang dan akan berusaha untuk membersihkannya.

DOSA juga satu kekotoran. Yang boleh mendatangkan keresahan pada orang yang melakukannya.

Tapi sayang, dosa itu tak boleh kita nampak dengan mata zahir. Tiada bentuk fizikal.
Maka kita jarang sedar akan dosa kita meskipun hampir keseluruhan hati kita telah terpalit noda.

Jarang kita merasakan bahawa diri kita sebenarnya sangat kotor, hina dan jijik akibat dosa yang bertimbun.

Andai kita dapat nampak dosa itu ibarat kotoran pada baju, nescaya kita takkan berani dan mampu untuk melakukannya.

Pasti kita akan malu untuk melakukannya. Pasti kita sendiri akan jijik untuk mendekatinya.

Ada hikmah kenapa DOSA dan PAHALA itu tak dinampakkan secara zahir.

Untuk menguji keyakinan dan keimanan kita terhadap perkara yang di luar kemampuan pancaindera zahir kita.

DOSA memang tak nampak. Tapi boleh dirasa. Hadirnya dosa itu bersama keresahan hati yang tak kunjung hilang.

Hidup seakan terencat. Serba tak kena. Keresahan yang takkan mampu dihilangkan walau dengan segala jenis ubat dan terapi yang ada di dunia.

Cuma satu jalan membuang keresahan hati akibat dosa.

TAUBAT. Kembali kepada Allah. Pemilik hati kita.


*Ini nota buat diri sendiri.
Yang mula terasa beratnya langkah
akibat terlalu banyak menanggung beban dosa
yang semakin menimbun terpikul di bahu.
Susahnya mencari jalan pulang.
Meraba dalam gelap.
Kerana hati semakin malap.

Astaghfirullah alaziim. 






Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...