Showing posts with label KEMATIAN. Show all posts
Showing posts with label KEMATIAN. Show all posts

Sunday, 9 February 2014

Cerita Grafik : Teka - teki Malaikat

Kisah benar,

Hari Khamis. Macam biasa aku masuk ke kelas Tingkatan Dua.
Eh buat apa ko masuk kelas? ko student lagi ke? (mungkin ada yang tertanya-tanya macam tu)
Aku masuk kelas nak mengajar, sambil belajar. Aku kerja tukang repair je. Tukang repair budak -budak. Bagi elok tang mana yang patut. Paham dok?

Ok berbalik kepada cerita.
Ni kelas Pendidikan Islam. Aku pun tak paham macam mana aku yg belajar kos Math dan Kimia boleh terperangkap jadi ustaz jadi- jadian (sementara waktu je). Mungkin sebab ada janggut sejemput ni kot.

Jadi dipendekkan cerita, setelah merapu barang sepatah dua kata, dan setelah berkali-kali terkeluar topik dan masuk semula, aku pun tanya la satu soalan mudah.

Lukisan yang agak malas. Malas nak detailkan background


"Apa nama malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita?"

Pada mulanya aku jangka soalan kacang ni hanya perlukan masa 10 saat untuk dijawab. Tapi... tapi....

"Malaikat Israfil!" seorang murid menjawab.

"Er, salah. Israfil tugasnya meniup sangkakala. Tiupan yang akan menghancurkan dan kemudian tiupan kebangkitan" Aku bersangka baik. Budak-budak ni eksaited nak menjawab barangkali.

"Ustaz! Malaikat Jibril!"

"Alamak, kesian Jibril kena buat kerja cabut nyawa pulak. Jibril tugasnya menyampaikan wahyu" Husnudzon. Diorang lupa.

"Cikgu, eh ustaz.. Malaikat Ridhwan ke?"

Kesian bebudak ni mengalami kekonfiusan. Apabila cikgu Math mengajar Pendidikan Islam. Keliru nak panggil ustaz ke cikgu. haha. Hentam jela.

"Salah jugak. Malaikat Ridhwan tugasnya menjaga pintu Syurga. Macam mana ni kata nak masuk Syurga tapi tak kenal penjaga pintu syurga"

" Malaikat Israel!" tetibe seorang murid perempuan bersuara.

Aduh. Lagi sadis. Bersangka baik sekali lagi. Mungkin dia keliru ejaan dan sebutan yang hampir sama.

"Mana ada Malaikat Israel. Israel tu negara haram. Bangsa yang menindas rakyat Palestin tu"

Kelas gamat dengan bunyi ketawa.

Akhir sekali. Paling lejen dan rare:

"Malaikat Injil!" yakin sekali seorang murid lelaki menjawab.

Dan beliau digelakkan secara berjemaah oleh rakan-rakan sekelas.

"Injil tu nama kitab yang diturunkan kepada Nabi Isa" Aku tak mampu bersangka baik lagi dah.



Akhirnya aku terpaksa menjawab sendiri.

"Malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa adalah malaikat Izrail. Lain kali hafal lagu nasyid Selimut Putih Kumpulan Hijjaz"

"OOOOoooooooo..... kitorang memang nak sebut yang tu lah tadi.. hehe "

Kelas berjalan seperti biasa.



Di sebalik tabir (lah sangat) sketch pakai pensel




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 20 December 2013

Manusia... Makhluk yang Pelik

Assalamualaikum...


Traditional Art
(bila lah nak rajin lukis pakai tablet yg dah berkarat tu)


Putaran masa berlalu terlalu pantas. Sehingga kita tak sedar.
Usia kita takkan selamanya muda. Setiap hari bertambah tua.
Bertambah umur, maknanya baki waktu kehidupan kita di dunia makin kurang.
Aneh, ramai telah didatangkan tanda-tanda kematian, namun tetap cinta pada kehidupan.
Dipeluk erat dunia tanpa sedikit niat mahu melepaskannya.

Mati itu pasti. Akan mendatangi setiap kehidupan yang bernyawa.
Hidup. Bernafas. Bergerak. Itu tanda utama bahawa kita pasti mati.
Syarat utama untuk mati adalah bernyawa. Semua makhluk tidak akan kekal.
Bahkan mati juga akan mati.
Yang kekal hanyalah Allah.

Apakah kita sangka kita mampu berehat tenang di kuburan setelah mati, padahal jasad kita busuk dan hodoh bergelumang najis noda dan dosa?
Dunia ini juga. Dunia yang kita sibuk geluti ini juga sudah teramat tua. Terlalu tua.

Apakah kita masih menunggu tanda-tanda luarbiasa yang ajaib baru kita mahu bertaubat dari segala kejelikan dosa yang telah kita kumpulkan?
Apakah hanya dengan turunnya salji di Bumi Malaysia ini baru kita sedar petanda Kiamat?
Atau mahu tunggu Matahari terbit dari Barat?
Sibuk sungguh kita meneliti peristiwa aneh dan pelik kononnya petanda Kiamat . Belum cukupkah tanda-tanda kecil yang muncul di sekeliling kita?

Sebenarnya tanda yang paling pelik adalah apabila kita berasa pelik dan takjub dengan peristiwa pelik-pelik namun kita tak pernah berasa pelik mengenangkan diri yang tak pernah cuba mengambil iktibar biar sepelik mana pun kepelikan tersebut. Sungguh pelik.

Takutnya kita pada kiamat tp tak mengambil langkah mempersiapkan diri.
Kiamat itu sudah terlalu hampir tapi mati itu lebih dekat.
Belum sempat bertemu Kiamat, ajal dulu yang datang menjengah.

Kalaulah uban memutih belum cukup sebagai petanda...
Kalaulah kedut seribu di wajah belum cukup sebagai peringatan,
Kalaulah lelah dan ketidakupayaan kudrat belum cukup sebagai amaran,
Kalaulah hilangnya sensitif deria dan pancaindera belum mampu memberi keinsafan..
Kerana yang tua hanya jasad dan umur, sedangkan nafsu tetap kekal muda selamanya.
Maka tunggulah... tunggu sahaja saatnya nanti.

Saat Izrail datang berwajah bengis merentap roh dari jasad kita.
Saat kafan berlapis membalut tubuh kaku.
Saat manusia lain menyembahyangkan kita dengan empat takbir.
Saat sempit dan gelap terhimpit di dalam tanah berpacakkan nisan.
Saat gempita suara Munkar dan Nakir bertanyakan soalan bocor.

Tunggu sahaja waktu itu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 8 February 2013

Random Video : Kreatif dalam Dakwah

Assalamualaikum...

Macam yang pernah aku buat sebelum ni, video pilihan yang aku suka dan aku rasa banyak manfaatnya buat semua.

1. Test Dulu Api Dunia (Ust Azhar Idrus)




2.  Aku ingin Berubah.. Tapi...




 3. Istighfar dan keampunan Allah



Selamat menonton.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 31 December 2012

CERPEN GRAFIK : AKU GADIS HOT (part 2- akhir)

sambungan dari kisah ; CERPEN GRAFIK  : AKU GADIS HOT (part 1)





*********************** TIGA ***********************

“Hmmm, buhsannyeee” Dia menekan button post. Mahu menguji trafik di facebook.

Sebaris ayat pendek itu bertubi-tubi menerima like dalam sekelip mata. 527 likes dalam masa 1 minit. Meena tersenyum lebar.

Dia mula mengupload gambar pertama duckfacenya ke dalam album ‘Bila aq Buhsan’.
Captionnya macam biasa “ saya burok,  tak canteq macam girlfie kamoo”... ayat yang menjadi taktik ramai  gadis belasan tahun untuk menarik banyak komen dan like.

Bibirnya menggetap geram sambil memandang broadband yang kadangkala dipanggil “Berukband” kerana kelajuannya yang hampir sama dengan kelajuan seekor siput babi memanjat Tembok Besar China.

5 minit menunggu. “Siput babi.. siput babi.. siput babi... siput babi...” Meena menggerutu.
Akhirnya gambar berjaya diupload.
Meena pejam mata. 1...2...3.... dia buka matanya semula. Tersengih.
999 likes terpampang di skrin. Dan angka itu terus bertambah. Meena menekan hidungnya yang mula kembang, bimbang terkoyak.

“ mana ada buruk, cantik la awak ni”
“ fuuuh, perempuan Malaria terakhir, boleh berkenalan?”
“Rambut you nice laa... seswai dengan muka u”
“Subhanallah, cantiknya...”
“aww, akaq santek sanad2.. adeq jelly taw”

Dan banyak lagi komen yang menambah bunga-bungaan di taman hati Meena.
99% komen dari kaum lelaki.



Meena tambah semangat untuk upload gambar kedua.

Chatboxnya mula dihujani sapaan mesra bertalu-talu sama ada dari orang yang dia kenal mahupun tidak.
Meena leka sendiri melayan karenah lelaki-lelaki gatal yang cuba mengayat dan mengoratnya.

Dia cukup lemah bila dipuji. Dirasakan seperti mahu terbang. Langkahnya bagaikan tak  mencecah tanah. Terbang bagaikan pontianak harum yang menyundal di tengah malam.

Meena sendiri pun kadangkala lupa berapa ramai lelaki yang menjadikannya sebagai adik angkat. Itupun selepas menerima tapisan ketat darinya.
Baginya dia tak memilih, cukuplah handsome dan berduit. Yang rupa paras tak menarik semuanya Meena dah ‘block’ awal-awal.

“pegi matilah. Dahlah muka tak hensem, poket pun kering. Ada hati nak tackle aku. Haktuihh” Meena meludah ke lantai. Kahak hijau pekat berlendir itu seakan satu terapi buat Meena setiap kali berasa marah.

Meena sekilas menjeling jam di dinding. 3.45 petang. Maknanya dah hampir 4 jam dia mengadap skrin komputer.
Dia teringat bahawa dia belum menunaikan Solat Zohor lagi.

“Takpe. Kejap lagila aku sembahyang. Kesian pulak nak tinggal mamat-mamat ni yang tengah syok layan aku chat” Sifat belas kasihan Meena yang tinggi menyebabkan dia terus melayan.




*********************** EMPAT ***********************

Ah! Tiba-tiba Meena melompat dari katil. Lagaknya bagai kucing terkejut bila disergah.
Dia teringat sesuatu. Hari ini dia ada temujanji dengan Zaki, jejaka idaman dambaan semua gadis di kampusnya.

Zaki, berjaya dipikatnya dengan lenggok dan gaya menggodanya. Zaki tewas. Dan Meena tersenyum bangga bila ramai yang cemburu kepadanya.

Biarpun Meena mempunyai ramai teman lelaki, namun semuanya tak seistimewa Zaki. Zaki anak ahli perniagaan tersohor. Keluarganya kaya-raya. Meena berharap dapat menumpang kemewahan Zaki.
Dia berjanji akan berjumpa Zaki pukul 4.00 petang. Ada lebih kurang 10 minit lagi.

Meena pantas mencapai perfume ASADI haruman Ultra Light. Meena kesuntukan masa. Dia pantas membetul-betulkan rambutnya tanpa sempat memakai tudung.
Sambil berlari-lari menuruni tangga dia membuka cemin kecilnya, dan mengenakan gincu dan segala alat make-upnya.

Meena bertuah kerana kebiasaannya tidak menanggalkan make-up walaupun ketika berada di rumah menyebabkan dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap.

Mujurlah dia berjanji menunggu Zaki menjemputnya di taman permainan kanak-kanak yang hanya terletak di seberang jalan berhadapan dengan kolejnya.

Dalam kegopohan itu, Meena mengabaikan kewujudan jejantas yang biasanya dia gunakan untuk melintas jalan di kawasan itu.
Melihat kereta dari arah kanannya masih jauh, Meena pantas berlari melintas jalan.

Namun nasibnya malang apabila kasut tumit tingginya menyebabkan dia tergelincir. Berkerut dahinya menahan sakit. Meena terhenti di tengah-tengah jalan itu.

Pada masa itu juga, sebuah Proton Alphard meluncur laju ke arahnya. Pemandu itu tidak sempat membrek namun dia sempat memulas stereng sekuat hati untuk mengubah haluan mengelakkan Meena.

Kereta itu terbabas ke arah laluan bertentangan dan terus merempuh sebuah kedai serbaneka di tepi jalan seberang sana.
Meena terselamat . Mulutnya terlopong. Namun sempat menarik nafas lega.

Proton Alphard yang terbabas tadi rupanya menyebabkan pemandu sebuah kereta Perodua Ferrari dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas ke laluan tempat Meena masih terpaku.



Kereta itu terus merempuh Meena dan menyebabkan Meena terpelanting berpuluh-puluh meter ke hadapan. Kereta itu berputar-putar, merempuh tebing dan terbalik.
Suasana kecoh serta merta.




*********************** LIMA ***********************


Meena tercampak ke depan. Kepalanya terhentak keras ke jalan raya. Dia bergolek- golek seperti bola boling yang menuju longkang. Semuanya berlaku sekelip mata.

Meena terbaring lemah. Darah merah membuak2 keluar dari seluruh tubuhnya. Matanya terbeliak.
Meena menggeletik bagai cacing kepanasan di gurun Sahara. Dia cuba membuka matanya.

Dia terpandang seorang pakcik tua penjual buku agama yang pernah dihalaunya dulu semasa menawarkan buku-buku yang baginya membosankan.

Kelihatan pakcik itu terlopong melihat situasi yang mengejutkan itu...

Tiba- tiba dia teringat akaun Facebooknya ... “Alangkah bagusnya kalau komputer aku ada di sini. Aku mahu update pasal kemalangan ini” Dia merintih.

Jadah. Aku dah nak mati masih ingat update facebook. Petanda betapa teruk ketagihannya terhadap Facebook.

Pandangannya makin kabur. Kelam. Gelap.
Tiba-tiba satu cahaya memancar terang. Menyilaukan pandangan. Dia merasakan bagai berada di sebuah pawagam.

Meena meninjau-ninjau. Ada sesuatu sedang ditayangkan pada skrin di hadapannya.
Segala aksi buruknya terpampang jelas pada sebuah layar putih. Bagai sebuah cerita yang dilakonkan sendiri olehnya. Meena kaget.



Dia malu sendiri melihat kelakuan jeleknya selama ini. Bagaimana dia menggunakan kecantikan paras rupanya untuk menggoda lelaki-lelaki yang dirasakan boleh dipergunakan untuk mencapai matlamatnya.

Dia melihat pembaziran masanya yang banyak dihabiskan di depan skrin komputer.

Dia melihat kembali pembohongan dan penipuannya kepada ibu dan ayahnya semata-mata mahu menutup kelakuannya. Berkali-kali.

Meena tak sanggup lagi menontonnya. Dia jijik dengan dirinya. Dia cuba menutup mata denga kedua belah telapak tangannya.

Malangnya, tayangan itu seakan semakin jelas. Biarpun dengan mata terpejam, Meena masih mampu melihat semuanya.

Meena teresak-esak. Air matanya mengalir tiada henti. Laju menuruni kolam matanya membasahi pipinya. Tak pernah seumur hidupnya dia berasa ketakutan seperti ini.

Bayangan-bayangan menakutkan lagi mengerikan mula menggantikan tayangan tadi. Api marak menjulang tinggi membakar apa saja di laluannya. Ular-ular besar dan segala jenis binatang berbisa yang tak pernah terbayang muncul seakan mahu membaham dirinya.

Azan Asar berkumandang. Dalam kesamaran fikirannya Meena teringat Solat Zuhur yang belum sempat dia tunaikan.

Nafas Meena tersekat-sekat. Nyawanya hanya tinggal di kerongkong. Matanya terbelalak menahan azab sakaratul Maut.

Suara-suara orang ramai yang cuba mengajarkan kalimah syahadah kepadanya bagaikan tak membawa apa-apa erti kepadanya. Kalimah suci itu dirasakan terlalu asing pada pendengarannya. Lidahnya kelu tak mampu mengikut bacaan itu.

Akhirnya Meena terkulai.  Rohnya berpisah dari badan. Kembali menghadap Allah, Tuhan pemilik sekalian nyawa.

Klik! Klik! Klik! Jurugambar polis dan wartawan Utusan Malaria, Berita Hairan, Megatron, Sinar Durian tak putus-putus menekan butang kamera.

Esoknya terpampang di semua akhbar melaporkan kemalangan ngeri itu.

Zaki yang kebetulan terbaca berita itu terkesima. Terkejutnya bukan kepalang. Barulah dia teringat akan temujanjinya dengan Meena.

Kesibukannya menguruskan urusan pertunangannya yang akan berlangsung minggu depan menyebabkan dia terlupa temujanjinya itu. Dia akan bertunang dengan Sheela, gadis rupawan anak tokoh korporat pilihan hati ibu dan ayahnya.
Meena, baginya hanya tempat dia melampiaskan nafsunya. Gadis itu terlalu senang dikaburi wang dan kemewahan.

Zaki hanya menganggap Meena sama seperti gadis-gadis lain yang hanya mampu singgah sekejap di hatinya, dan diusir pergi bila dia tak lagi memerlukannya.




*********************** EPILOG ***********************

Sedang di alam maya, akaun facebook, blog, Twitter, Instagram, Myspace  Meena saban waktu diakses dan dilihat beribu-ribu orang sehari. Gambar-gambar Meena terus-terusan dilike, didownload dan disimpan  oleh ribuan manusia.

Tiada seorang pun tahu password, e-mail bagi semua akaunnya itu. Ibu bapanya yang buta IT itu langsung tidak tahu kewujudan semua itu.

Dan masa terus berlalu. Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti bateri baru. Bila jam rosak, jam pula diganti baru.

Meena, merintih sendiri di kuburannya. Gelap. Sempit. Menghimpit. Sesalnya tak berpenghujung.

“Ya Allah, kembalikan aku ke dunia. Aku berjanji akan menggunakan masa aku sebaik-baiknya. Hanya untuk beribadat kepada-Mu”

Rintihan sayu meruntun hati itu kedengaran bertalu-talu dipohon. Bersahut-sahutan dari satu kubur ke kuburan yang lain.

Semuanya sudah terlambat. Masa dan waktu yang dipinjamkan kepadanya sudah habis digunakan.

Dan masa hanya akan terus bergerak ke hadapan, mengikut aliran waktu, takkan sesekali berundur ke belakang.

Kecantikan, anugerah Allah untuk hambanya... yang hanya bersifat sementara.

Syaitan akan cuba menghasut dan mengaburi pandangan manusia dengan nafsu. Cantik itu anugerah, tapi kesilapan menggunakannya boleh mendatangkan bencana.



--- TAMAT ---


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 19 May 2012

JOM FIKIR TENTANG MATI!!!!! (Kalau takut jangan baca)





Mati...
Perkataan yang kita sering lupa...
Atau sengaja dilupakan
Kerana bunyinya sudah cukup meremangkan roma
Benda yang kita takut dan kita tak suka
Biasanya akan cuba kita lupakan
Paling kurang buat-buat lupa
Kalau boleh, ramai yang tak nak mati
Atau kalau mati, biarlah boleh hidup semula
Macam kepercayaan sesetengah agama
Dihidupkan semula sebagai pokok, burung, atau orang lain
Kalaulah wujud Dragon Ball... kalaulah....

Sebab tu kita rasa selesa
Kononnya hidup rasa macam panjang lagi
Sebab umur masih muda, boleh enjoy
Dah tua nanti boleh taubat
Masa tu barulah fokus pada ibadat
Tu pun kalau sihatlah, kalau tak uzur
Tapi ramai jugak orang tua , jiwanya masih “muda”
Nafsunya masih tetap muda
Sampai ke tua tak tua-tua

Aku pun sama jugak, macam kebanyakan orang
Ada masa ingat, ada masa lupa
Masa lupa, seronok semua benda nak dicuba,
Masa teringat MATI, insaf kejap
Beria bertaubat teresak-esak
Lepas tu lupa balik
Kembali kepada perangai asal
Biasalah, manusia kan mudah lupa.

Hari ni buat dosa, tapi rasa biasa-biasa
Takde rasa berdosa buat dosa
Tenang je sebab dah terbiasa
Alah, orang lain pun ada yang lebih teruk
Aku ni kira baik, oklah lagi
Maka terus selesa dalam berdosa
Tiada rasa bersalah atau serba salah
Hari ini berlalu normal, macam semalam

Hari ini nampak orang buat maksiat,
Biasalah, orang muda zaman sekarang
Kita dulu pun pernah muda, sama jugak
Nanti bila dah matang dan pandai berfikir insaflah tu
Itu perkara biasa, tak perlu diheboh
Nanti kau dicop ketinggalan arus moden
Orang moden dan maju kena berfikiran terbuka

HOI!!!!
 kau,kau...kau dan kau... termasuk aku...
Walaupun majoriti penduduk dunia buat perkara sebegitu
Kalau salah tetap salah
Kalau dosa tetap dosa
Bukan kira biasa atau tidak
Jangan nak amalkan prinsip demokrasi suara majoriti kat semua tempat
Cukuplah di parlimen nak berbahas pasal demokrasi
Tau tak, majoriti penduduk dunia ni PENGHUNI NERAKA?
Ikutlah sangat majoriti tu


Tadi kau buat dosa, bercium berpeluk dengan “bakal tulang rusuk ko”
“atau bakal pemilik tulang rusuk ko”
Pastu tersengih puas, lepas nafsu dilampias,
Tetibe ko MATI
MATI.... berpisah roh dari jasad
Agak-agak boleh rileks ke dalam kubur tu?
Agak-agak lepas tak nak masuk syurga?
Agak-agak boleh lepas ke dari tergelincir ke NERAKA?
Eh, lupa ko dah sembahyang Asar dah sebelum keluar dating tadi
Mungkin boleh masuk Syurga kot. Mungkinlaa....
Jangan tanya aku, aku pun tak tau...
Aku pun belum tentu mana hala tuju nanti

Itu hanya contoh,
Yang dipilih dari banyak-banyak contoh
Tak payah nak terasa sangat.

Bila dah lupa tentang mati,
Sebab terlalu seronok dan cinta pada dunia,
Hati akan mati
Bila hati mati
Susah nak menangis bila teringat dosa
Susah menangis bila terkenang azab Allah
Itu tandanya hati dah hitam
Gelap dan legap
Tak payah scan. Tengok akhlak pun dah tau


Bertaubatlah, berubahlah!
Takpe, tunggu ESOK...
Esok masih ada...
Tapi...
ESOK SELALU DATANG
TAPI TAK PERNAH TIBA
Mungkin apabila “STOK ESOK” sudah habis
Baru nak menggelabah,
Time tu dah terlambat
Sebab kau dah MATI.
Atau KIAMAT sudah datang.


HAHAHAHA! Padan muka korang! 
Syaitan-syaitan bersorak menang.








Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...