Showing posts with label cerpen grafik. Show all posts
Showing posts with label cerpen grafik. Show all posts

Sunday, 9 February 2014

Cerita Grafik : Teka - teki Malaikat

Kisah benar,

Hari Khamis. Macam biasa aku masuk ke kelas Tingkatan Dua.
Eh buat apa ko masuk kelas? ko student lagi ke? (mungkin ada yang tertanya-tanya macam tu)
Aku masuk kelas nak mengajar, sambil belajar. Aku kerja tukang repair je. Tukang repair budak -budak. Bagi elok tang mana yang patut. Paham dok?

Ok berbalik kepada cerita.
Ni kelas Pendidikan Islam. Aku pun tak paham macam mana aku yg belajar kos Math dan Kimia boleh terperangkap jadi ustaz jadi- jadian (sementara waktu je). Mungkin sebab ada janggut sejemput ni kot.

Jadi dipendekkan cerita, setelah merapu barang sepatah dua kata, dan setelah berkali-kali terkeluar topik dan masuk semula, aku pun tanya la satu soalan mudah.

Lukisan yang agak malas. Malas nak detailkan background


"Apa nama malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita?"

Pada mulanya aku jangka soalan kacang ni hanya perlukan masa 10 saat untuk dijawab. Tapi... tapi....

"Malaikat Israfil!" seorang murid menjawab.

"Er, salah. Israfil tugasnya meniup sangkakala. Tiupan yang akan menghancurkan dan kemudian tiupan kebangkitan" Aku bersangka baik. Budak-budak ni eksaited nak menjawab barangkali.

"Ustaz! Malaikat Jibril!"

"Alamak, kesian Jibril kena buat kerja cabut nyawa pulak. Jibril tugasnya menyampaikan wahyu" Husnudzon. Diorang lupa.

"Cikgu, eh ustaz.. Malaikat Ridhwan ke?"

Kesian bebudak ni mengalami kekonfiusan. Apabila cikgu Math mengajar Pendidikan Islam. Keliru nak panggil ustaz ke cikgu. haha. Hentam jela.

"Salah jugak. Malaikat Ridhwan tugasnya menjaga pintu Syurga. Macam mana ni kata nak masuk Syurga tapi tak kenal penjaga pintu syurga"

" Malaikat Israel!" tetibe seorang murid perempuan bersuara.

Aduh. Lagi sadis. Bersangka baik sekali lagi. Mungkin dia keliru ejaan dan sebutan yang hampir sama.

"Mana ada Malaikat Israel. Israel tu negara haram. Bangsa yang menindas rakyat Palestin tu"

Kelas gamat dengan bunyi ketawa.

Akhir sekali. Paling lejen dan rare:

"Malaikat Injil!" yakin sekali seorang murid lelaki menjawab.

Dan beliau digelakkan secara berjemaah oleh rakan-rakan sekelas.

"Injil tu nama kitab yang diturunkan kepada Nabi Isa" Aku tak mampu bersangka baik lagi dah.



Akhirnya aku terpaksa menjawab sendiri.

"Malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa adalah malaikat Izrail. Lain kali hafal lagu nasyid Selimut Putih Kumpulan Hijjaz"

"OOOOoooooooo..... kitorang memang nak sebut yang tu lah tadi.. hehe "

Kelas berjalan seperti biasa.



Di sebalik tabir (lah sangat) sketch pakai pensel




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 16 November 2013

Cerita Grafik : Sebuah Mini Cooper dan Senaskhah Al-Quran





Haikal termenung jauh ke luar jendela. Pandangannya menerobos ke ruang langit menembusi lapisan awan yang kelihatan mendung. Sebagaimana mendung hatinya tika ini.

Digenggam erat keputusan UPSR di tangannya. Entah mengapa, keputusan 5A yang diraihnya tak membawa kegembiraan  sebagaimana yang dia sangkakan. Haikal mengeluh buat kesekian kalinya.

Dia terguris. Hatinya rasa sakit setiap kali memandang hadiah yang masih berbungkus rapi di atas meja tulisnya itu. Itulah hadiah daripada ibu dan ayahnya tanda ucapan tahniah atas kejayaannya.

Dia tahu di dalam bungkusan itu ada permainan Playstation 8 yang menjadi idamannya selama ini. Tapi entah syaitan apa yang merasuknya kala ini sehingga dia tidak berterima kasih pun kepada ibu dan ayahnya yang telah bersusah payah membelikannya hadiah itu.

Dia terbayang wajah bangga Aiman rakan sekelasnya yang juga mendapat 5A. dia mendapat hadiah sebuah motosikal  Yamaha LC135 pink yang cool.

Terngiang-ngiang lagi suara jeritan Aisyah .
“Yahooo, aku dapat 5A! mommy dan daddy dah janji belikan aku laptop Apple, iphone 7 dan bawa aku melancong ke Planet Marikh!”




Hati Haikal bertambah cemburu bila melihat seorang lagi kawannya mendapat hadiah kereta mini cooper  yang berharga lebih rm200,00. Padahal mereka semua mendapat 5A. sama je.
Heboh seluruh Negara bercerita tentang kawannya itu.

Paling Haikal tak boleh terima apabila Budin yang hanya mendapat 4A 1B mendapat hadiah yang lebih mahal dah hebat daripadanya.

“Tok, tok, tok!!” bunyi ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya tak dihiraukannya.

“Haikal, jomlah turun makan malam, dah sejuk makanan tu. Ibu masak lauk kegemaran Haikal ni”
Sayu suara Mak Jah memujuk Haikal. Sudah masuk 10 jam Haikal melancarkan mogok lapar. Mak Jah sendiri bingung memikirkannya.

“Tak nak! Mak ngan ayah tak sayang  Haikal! Kalau mak sayang Haikal, belikan Haikal motosikal sama macam yang Aiman dapat tu!” Jerit Haikal sekuat hati.



Berdesing telinga Pak Mail mendengar jeritan anaknya itu. Diikutkan rasa amarahnya mahu sahaja ditendangnya pintu bilik Haikal dan dibelasahnya budak itu sampai lembik.

Namun imannya masih mampu mengawal kewarasan akalnya. Istighfar masih tak lekang daripada  lidahnya.

Keluarga Pak Mail bukanlah keluarga berada. Hasil simpanannya dapatlah dia membelikan hadiah PS8 yang diminta oleh Haikal. Tapi lain pula jadinya. Ibarat diberi betis minta peha.

Sedangkan sebelum ini Haikal anak yang mendengar kata. Faham akan keadaan keluarga mereka. Buntu Pak Mail memikirkan sebabnya.


……………………………………………………..


Haikal cemburu melihat kawan-kawannya mendapat hadiah yang lebih mahal biarpun keputusannya lebih baik daripada mereka.
Ditambah pula dia diejek dan diapi-apikan oleh beberapa kawannya.

“Hek eleh setakat PS 5 tu dah lama dah bapak aku belikan” Suara Syahir bagaikan halilintar membelah pendengaran Haikal.

“Haikal, ko mintak la bapak ko belikan motosikal, nanti boleh kita pergi sekolah menengah sama-sama nanti” Hasut Aiman anak Tauke stesen minyak yang kaya raya.

Suara-suara tersebut silih berganti bermain-main di kotak fikirannya. Emosinya tambah celaru.
Haikal bertambah tertekan.

“Tok,tokk, tokk” bunyi ketukan pada pintu bergema lagi. Kali ini lebih kuat.

“Haikal, ni Hafiz call, dia kata nak cakap dengan Haikal, keluarlah kejap nak” Lembut suara Mak Jah memujuk.

Hafiz! Hampir terlupa Haikal akan teman baiknya itu. Dia sampai terlupa untuk bertanyakan keputusan UPSR Hafiz tadi kerana ingin cepat pulang akibat tidak tahan dengan sikap kawan-kawannya.

Haikal tahu pasti Hafiz mendapat 5A juga kerana selama ini Hafiz sentiasa menjadi pelajar terbaik di sekolahnya. Malah jauh lebih baik daripada Haikal sendiri.

Perlahan-lahan dibukanya pintu bilik. Dihulurnya kepala menjenguk keluar.
Pantas telefon bimbit bertukar tangan daripada Mak Jah ke tangan Haikal. Sempat Mak Jah melirikkan senyuman buat anak kesayangannya itu. Haikal adalah benih harapan buat keluarga mereka.



Haikal masuk semula ke biliknya bersama telefon itu.
“Helo, Haikal… tahniah, aku dengar ko dapat 5A. Aku tumpang gembira” Suara hafiz sayup-sayup kedengaran di sebalik talian.

“Er, Fiz, ko dapat berapa? Mesti 5A jugak kan? Ko kan best student”  tergagap sedikit suara Haikal.
“Alhamdulillah, aku Berjaya dapat 5A. Tak sia-sia usaha kita selama ni. Mak ayah happy giler”
Riang sekali Hafiz mengkhabarkan berita gembira itu.

“Haikal, mesti ko dah dapat kan PS8 yang ko minta sebagai hadiah tu? Mesti best kan?”

“A’ah… err .. dah. Ok la…”
“Fiz, aku nak Tanya… ko dapat hadiah apa? Mesti lagi best kan? Ko mintak apa?”
Haikal bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.
“Haa… aku pun dapat hadiah tau. Walaupun aku tak pernah minta apa-apa”

“Waah, ko dapat apa? Mini cooper ke? Motor superbike ke?”

“Eh ko ni, aku ni basikal pun tak berapa lepas, inikan pulak nak bawa kereta haha”
“Haikal, ko ingat tak aku pernah cerita lepas tamat sekolah rendah aku nak masuk Sekolah Tahfiz? Aku nak jadi seorang hafiz!” semangat sekali suara Hafiz menceritakan impiannya.

“Alhamdulillah, ayah aku menghadiahkan aku sebuah al-Quran tafsir per kata. Dia bersetuju nak hantar aku ke sekolah tahfiz”

“Eh, takkan al-quran je kot? Ko kan dapat 5A” Haikal bagaikan tidak percaya.

“Bagi aku itupun sudah cukup. Ayah aku bukannya orang kaya. Allah dah bagi apa yang aku perlukan. Jadi kenapa aku perlu jadi hamba yang tak bersyukur, betul tak?” Petah sekali bicara Hafiz, sesuai dengan jawatannya sebagai Ketua Murid di sekolah mereka.

Haikal terkedu. Hampir terlepas telefon dalam genggamannya.



Ah, Hafiz, seindah nama, semulia itu juga akhlakmu. Tiba –tiba Haikal bagaikan terbangun daripada mimpi yang panjang.
Baru dia teringat, keluarga Hafiz lebih susah daripadanya, tapi tak pernah sekalipun dia mendengar rungutan daripada sahabat baiknya itu.

Fikirannya yang sejak tadi merusuh seakan hilang segala keruhnya. Kembali jernih dan tenang.

Kata-kata Hafiz sebentar tadi melenyapkan keangkuhan dan kedegilannya. Haikal betul-betul malu pada dirinya sendiri.
Betapa pemikiran materialistik telah mengelabui kejernihan hatinya sehingga dia hilang kewarasan dalam membuat pertimbangan yang rasional.

Padahal semua itu telah saban hari telah diajar dan dipateri kukuh dalam dirinya sejak kecil lagi. Ayah dan ibunya selalu berpesan supaya bersyukur dengan apa yang ada. Sesungguhnya orang yang bersyukur itu akan ditambah keberkatan rezekinya.

“Fiz, terima kasih. Nanti kita  jumpa lagi”
Haikal mematikan talian meninggalkan Hafiz terpinga-pinga.

Segunung penyesalan dan rasa bersalah terhadap ibu dan ayahnya menyelinap ke segenap penjuru hatinya. Haikal sebak.

“Kejayaan dalam peperiksaan bukanlah penentu kejayaan kita di akhirat. Kalau mendapat 100A pun tak berguna kalau Allah tak redha. Kalau hati ibu dan ayah kita sakiti” Haikal teringat pesanan Ustazah Khadijah hampir setiap kali kelas Pendidikan Islam.

“Ingat, bila kita Berjaya, semua itu bukanlah hasil usaha kita seorang. Itu hasil doa ibu dan ayah, guru-guru dan kawan-kawan. Kejayaan itu sendiri adalah hadiah paling bermakna buat kita dan orang-orang yang saying akan kita. Sepatutnya kita yang menghadiahkan mereka yang banyak berkorban untuk kejayaan kita, bukannya minta hadiah yang bukan2 daripada mereka.
Tapi kalau dah orang bagi tu ambil jela” kata-kata Cikgu Yusuf disambut dengan gelak ketawa murid2 Tahun 6 Amanah.

Semua ingatan itu menginsafkan Haikal.

Perlahan dicapainya bungkusan hadiah di atas meja itu. Dipeluknya erat bersama esakan kecil yang sayu.



Haikal bergegas keluar dari bilik. Separuh berlari menuju ke ruang tamu tempat ayah dan ibunya berada.
Pantas digenggam erat tangan ibunya. Dikucupnya bertubi-tubi.

“Mak, ayah.. Haikal minta maaf. Haikal berdosa buat ayah sakit hati, buat mak sedih. Maafkan Haikal”
Tidak terbendung lagi tangisan Haikal. Dia menangis semahu-mahunya.

Mak Jah turut menangis. Dipeluk erat anaknya. Diusap lembut ubun-ubun Haikal.
Pak Mail menarik nafas lega.




“Ayah, Haikal sebenarnya tak perlukan semua hadiah tu. Cukuplah kejayaan ini sebagai hadiah buat Haikal. Buat Mak. Buat ayah”
Haikal menerpa Pak Mail. Diraihnya tangan kasar ayahnya dan diciumnya penuh kasih sayang.

“Ayah, izinkan Haikal menyambung pelajaran ke sekolah Tahfiz. Haikal mahu jadi seorang hafiz. Haikal mahu jadi anak yang soleh”

Pak Mail sedikit terperanjat. Bibirnya tak henti mengucapkan syukur.

Air mata lelaki Pak Mail tumpah jua. Dipeluk erat anak sulungnya itu. Dia tahu Haikal anak yang baik. Dia sendiri mendidik anaknya dengan ilmu agama yang cukup.

Biarpun mereka tidak berharta, namun keluarga mereka kaya dengan ketinggian pekerti. Kaya dengan kasih sayang yang tak pernah berkurang.



Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat-Mu yang tak ternilai ini.
Kami tak perlukan limpahan kemewahan harta, cukuplah dengan rezeki yang berkat, tubuh yang sihat  dan keluarga yang bahagia.




P/S : Kalau ibubapa nak bagi hadiah kpd anak2 takde masalah, cuma kena fikirkan kesesuaian dengan tahap pemikiran dan anak .
Tapi oklah kalau harta sendiri dan mampu. Yang menjadi masalah bila ada menteri menyuap anak bini dengan harta rakyat marhain. Itu yang lebih patut kita bisingkan.


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Tuesday, 12 November 2013

Cerita Grafik : Cinta Suci bawah Umur


Waktu cuti.
Melayan karenah adik2 , anak saudara dan sepupu yang masih kecil tak pernah membosankan.
Kepada anak2 itu, kita mengajar sesuatu, dan daripada anak2 itu, kita belajar sesuatu.

Alkisah.

Aku sedang bersantai ditemani sebuah buku yang mempunyai banyak gambar  yang dihiasi buih-buih dialog.
Datang sepupu aku yg berumur 4 tahun. Perempuan.



“Abang Long, Faiz mana?” mulut kecilnya pelat bertanya.
Abang Long, gelaran untuk aku. Faiz adik aku yang keempat. Selamba je panggil nama direct.

“Eh, kan dia dah takde. Pergi Kedah” Aku jawab acuh tak acuh.

“Kenapa nak cari Faiz?” Sambil mata masih menatap buku yang dibaca dari kanan ke kiri itu.

“Nak cinta “ Pantas sahaja dia menjawab.
Aku melongo. Aku dongakkan kepala. Pandang tepat pada wajah innocent itu.

“Haa? Nak apa? Aku mahu kepastian.

“Nak cinta ngan Faiz laa”
Sah pendengaranku tak menipu aku.

“Hahahahaha!” Aku gelak kuat-kuat.
Dia mula menunjukkan wajah masam. Mencebik.

"Hahahahahaha!!" aku sambung gelak.

.......................
...................
............


“Err.. cinta tu apa?”
Soalan aku kedengaran bodoh sekali. Ah, biarlah, asal aku dapat kepastian.
Mana la tahu “cinta” yang dimaksudkannya itu adalah jenama biskut, atau nama anak patung Barbie, takpun sejenis alat mainan.

Cinta tu KAWEN laaa!”



Dengan nada dan ekspresi muka marah dan merajuk kerana terasa dipermainkan, dia berlalu dengan kaki yang dihentak-hentak keras ke permukaan lantai.
Aku garu kepala. Dari mana dia belajar semua itu? Mustahil daripada umminya. Tak mungkin dari abahnya.

TV. Hanya jawapan itu yang kukira paling logik.

Definisi cinta budak 4 tahun.
CINTA itu KAHWIN. Maksudnya Cinta itu perlu diniatkan untuk kahwin. Mungkin.

Ah, terasa disekolahkan oleh seorang budak.
Aku menyambung semula bacaan yang tergendala.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 31 December 2012

CERPEN GRAFIK : AKU GADIS HOT (part 2- akhir)

sambungan dari kisah ; CERPEN GRAFIK  : AKU GADIS HOT (part 1)





*********************** TIGA ***********************

“Hmmm, buhsannyeee” Dia menekan button post. Mahu menguji trafik di facebook.

Sebaris ayat pendek itu bertubi-tubi menerima like dalam sekelip mata. 527 likes dalam masa 1 minit. Meena tersenyum lebar.

Dia mula mengupload gambar pertama duckfacenya ke dalam album ‘Bila aq Buhsan’.
Captionnya macam biasa “ saya burok,  tak canteq macam girlfie kamoo”... ayat yang menjadi taktik ramai  gadis belasan tahun untuk menarik banyak komen dan like.

Bibirnya menggetap geram sambil memandang broadband yang kadangkala dipanggil “Berukband” kerana kelajuannya yang hampir sama dengan kelajuan seekor siput babi memanjat Tembok Besar China.

5 minit menunggu. “Siput babi.. siput babi.. siput babi... siput babi...” Meena menggerutu.
Akhirnya gambar berjaya diupload.
Meena pejam mata. 1...2...3.... dia buka matanya semula. Tersengih.
999 likes terpampang di skrin. Dan angka itu terus bertambah. Meena menekan hidungnya yang mula kembang, bimbang terkoyak.

“ mana ada buruk, cantik la awak ni”
“ fuuuh, perempuan Malaria terakhir, boleh berkenalan?”
“Rambut you nice laa... seswai dengan muka u”
“Subhanallah, cantiknya...”
“aww, akaq santek sanad2.. adeq jelly taw”

Dan banyak lagi komen yang menambah bunga-bungaan di taman hati Meena.
99% komen dari kaum lelaki.



Meena tambah semangat untuk upload gambar kedua.

Chatboxnya mula dihujani sapaan mesra bertalu-talu sama ada dari orang yang dia kenal mahupun tidak.
Meena leka sendiri melayan karenah lelaki-lelaki gatal yang cuba mengayat dan mengoratnya.

Dia cukup lemah bila dipuji. Dirasakan seperti mahu terbang. Langkahnya bagaikan tak  mencecah tanah. Terbang bagaikan pontianak harum yang menyundal di tengah malam.

Meena sendiri pun kadangkala lupa berapa ramai lelaki yang menjadikannya sebagai adik angkat. Itupun selepas menerima tapisan ketat darinya.
Baginya dia tak memilih, cukuplah handsome dan berduit. Yang rupa paras tak menarik semuanya Meena dah ‘block’ awal-awal.

“pegi matilah. Dahlah muka tak hensem, poket pun kering. Ada hati nak tackle aku. Haktuihh” Meena meludah ke lantai. Kahak hijau pekat berlendir itu seakan satu terapi buat Meena setiap kali berasa marah.

Meena sekilas menjeling jam di dinding. 3.45 petang. Maknanya dah hampir 4 jam dia mengadap skrin komputer.
Dia teringat bahawa dia belum menunaikan Solat Zohor lagi.

“Takpe. Kejap lagila aku sembahyang. Kesian pulak nak tinggal mamat-mamat ni yang tengah syok layan aku chat” Sifat belas kasihan Meena yang tinggi menyebabkan dia terus melayan.




*********************** EMPAT ***********************

Ah! Tiba-tiba Meena melompat dari katil. Lagaknya bagai kucing terkejut bila disergah.
Dia teringat sesuatu. Hari ini dia ada temujanji dengan Zaki, jejaka idaman dambaan semua gadis di kampusnya.

Zaki, berjaya dipikatnya dengan lenggok dan gaya menggodanya. Zaki tewas. Dan Meena tersenyum bangga bila ramai yang cemburu kepadanya.

Biarpun Meena mempunyai ramai teman lelaki, namun semuanya tak seistimewa Zaki. Zaki anak ahli perniagaan tersohor. Keluarganya kaya-raya. Meena berharap dapat menumpang kemewahan Zaki.
Dia berjanji akan berjumpa Zaki pukul 4.00 petang. Ada lebih kurang 10 minit lagi.

Meena pantas mencapai perfume ASADI haruman Ultra Light. Meena kesuntukan masa. Dia pantas membetul-betulkan rambutnya tanpa sempat memakai tudung.
Sambil berlari-lari menuruni tangga dia membuka cemin kecilnya, dan mengenakan gincu dan segala alat make-upnya.

Meena bertuah kerana kebiasaannya tidak menanggalkan make-up walaupun ketika berada di rumah menyebabkan dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap.

Mujurlah dia berjanji menunggu Zaki menjemputnya di taman permainan kanak-kanak yang hanya terletak di seberang jalan berhadapan dengan kolejnya.

Dalam kegopohan itu, Meena mengabaikan kewujudan jejantas yang biasanya dia gunakan untuk melintas jalan di kawasan itu.
Melihat kereta dari arah kanannya masih jauh, Meena pantas berlari melintas jalan.

Namun nasibnya malang apabila kasut tumit tingginya menyebabkan dia tergelincir. Berkerut dahinya menahan sakit. Meena terhenti di tengah-tengah jalan itu.

Pada masa itu juga, sebuah Proton Alphard meluncur laju ke arahnya. Pemandu itu tidak sempat membrek namun dia sempat memulas stereng sekuat hati untuk mengubah haluan mengelakkan Meena.

Kereta itu terbabas ke arah laluan bertentangan dan terus merempuh sebuah kedai serbaneka di tepi jalan seberang sana.
Meena terselamat . Mulutnya terlopong. Namun sempat menarik nafas lega.

Proton Alphard yang terbabas tadi rupanya menyebabkan pemandu sebuah kereta Perodua Ferrari dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas ke laluan tempat Meena masih terpaku.



Kereta itu terus merempuh Meena dan menyebabkan Meena terpelanting berpuluh-puluh meter ke hadapan. Kereta itu berputar-putar, merempuh tebing dan terbalik.
Suasana kecoh serta merta.




*********************** LIMA ***********************


Meena tercampak ke depan. Kepalanya terhentak keras ke jalan raya. Dia bergolek- golek seperti bola boling yang menuju longkang. Semuanya berlaku sekelip mata.

Meena terbaring lemah. Darah merah membuak2 keluar dari seluruh tubuhnya. Matanya terbeliak.
Meena menggeletik bagai cacing kepanasan di gurun Sahara. Dia cuba membuka matanya.

Dia terpandang seorang pakcik tua penjual buku agama yang pernah dihalaunya dulu semasa menawarkan buku-buku yang baginya membosankan.

Kelihatan pakcik itu terlopong melihat situasi yang mengejutkan itu...

Tiba- tiba dia teringat akaun Facebooknya ... “Alangkah bagusnya kalau komputer aku ada di sini. Aku mahu update pasal kemalangan ini” Dia merintih.

Jadah. Aku dah nak mati masih ingat update facebook. Petanda betapa teruk ketagihannya terhadap Facebook.

Pandangannya makin kabur. Kelam. Gelap.
Tiba-tiba satu cahaya memancar terang. Menyilaukan pandangan. Dia merasakan bagai berada di sebuah pawagam.

Meena meninjau-ninjau. Ada sesuatu sedang ditayangkan pada skrin di hadapannya.
Segala aksi buruknya terpampang jelas pada sebuah layar putih. Bagai sebuah cerita yang dilakonkan sendiri olehnya. Meena kaget.



Dia malu sendiri melihat kelakuan jeleknya selama ini. Bagaimana dia menggunakan kecantikan paras rupanya untuk menggoda lelaki-lelaki yang dirasakan boleh dipergunakan untuk mencapai matlamatnya.

Dia melihat pembaziran masanya yang banyak dihabiskan di depan skrin komputer.

Dia melihat kembali pembohongan dan penipuannya kepada ibu dan ayahnya semata-mata mahu menutup kelakuannya. Berkali-kali.

Meena tak sanggup lagi menontonnya. Dia jijik dengan dirinya. Dia cuba menutup mata denga kedua belah telapak tangannya.

Malangnya, tayangan itu seakan semakin jelas. Biarpun dengan mata terpejam, Meena masih mampu melihat semuanya.

Meena teresak-esak. Air matanya mengalir tiada henti. Laju menuruni kolam matanya membasahi pipinya. Tak pernah seumur hidupnya dia berasa ketakutan seperti ini.

Bayangan-bayangan menakutkan lagi mengerikan mula menggantikan tayangan tadi. Api marak menjulang tinggi membakar apa saja di laluannya. Ular-ular besar dan segala jenis binatang berbisa yang tak pernah terbayang muncul seakan mahu membaham dirinya.

Azan Asar berkumandang. Dalam kesamaran fikirannya Meena teringat Solat Zuhur yang belum sempat dia tunaikan.

Nafas Meena tersekat-sekat. Nyawanya hanya tinggal di kerongkong. Matanya terbelalak menahan azab sakaratul Maut.

Suara-suara orang ramai yang cuba mengajarkan kalimah syahadah kepadanya bagaikan tak membawa apa-apa erti kepadanya. Kalimah suci itu dirasakan terlalu asing pada pendengarannya. Lidahnya kelu tak mampu mengikut bacaan itu.

Akhirnya Meena terkulai.  Rohnya berpisah dari badan. Kembali menghadap Allah, Tuhan pemilik sekalian nyawa.

Klik! Klik! Klik! Jurugambar polis dan wartawan Utusan Malaria, Berita Hairan, Megatron, Sinar Durian tak putus-putus menekan butang kamera.

Esoknya terpampang di semua akhbar melaporkan kemalangan ngeri itu.

Zaki yang kebetulan terbaca berita itu terkesima. Terkejutnya bukan kepalang. Barulah dia teringat akan temujanjinya dengan Meena.

Kesibukannya menguruskan urusan pertunangannya yang akan berlangsung minggu depan menyebabkan dia terlupa temujanjinya itu. Dia akan bertunang dengan Sheela, gadis rupawan anak tokoh korporat pilihan hati ibu dan ayahnya.
Meena, baginya hanya tempat dia melampiaskan nafsunya. Gadis itu terlalu senang dikaburi wang dan kemewahan.

Zaki hanya menganggap Meena sama seperti gadis-gadis lain yang hanya mampu singgah sekejap di hatinya, dan diusir pergi bila dia tak lagi memerlukannya.




*********************** EPILOG ***********************

Sedang di alam maya, akaun facebook, blog, Twitter, Instagram, Myspace  Meena saban waktu diakses dan dilihat beribu-ribu orang sehari. Gambar-gambar Meena terus-terusan dilike, didownload dan disimpan  oleh ribuan manusia.

Tiada seorang pun tahu password, e-mail bagi semua akaunnya itu. Ibu bapanya yang buta IT itu langsung tidak tahu kewujudan semua itu.

Dan masa terus berlalu. Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti bateri baru. Bila jam rosak, jam pula diganti baru.

Meena, merintih sendiri di kuburannya. Gelap. Sempit. Menghimpit. Sesalnya tak berpenghujung.

“Ya Allah, kembalikan aku ke dunia. Aku berjanji akan menggunakan masa aku sebaik-baiknya. Hanya untuk beribadat kepada-Mu”

Rintihan sayu meruntun hati itu kedengaran bertalu-talu dipohon. Bersahut-sahutan dari satu kubur ke kuburan yang lain.

Semuanya sudah terlambat. Masa dan waktu yang dipinjamkan kepadanya sudah habis digunakan.

Dan masa hanya akan terus bergerak ke hadapan, mengikut aliran waktu, takkan sesekali berundur ke belakang.

Kecantikan, anugerah Allah untuk hambanya... yang hanya bersifat sementara.

Syaitan akan cuba menghasut dan mengaburi pandangan manusia dengan nafsu. Cantik itu anugerah, tapi kesilapan menggunakannya boleh mendatangkan bencana.



--- TAMAT ---


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...