Showing posts with label lukisan tangan. Show all posts
Showing posts with label lukisan tangan. Show all posts

Tuesday, 12 August 2014

DOODLE: KNOWLEDGE IS POWER!

Assalamualaikum...

Lamanya tak update blog (cesss.. tulah ayat ngko tiap kali update blog. Pemalas!)

Dah jarang menulis ni dah terkial-kial nak taip panjang -panjang. So aku ringkaskan entri ni.
Biar lukisan yang berbicara, terjemahkan ikut kefahaman sendiri. (Alasan malas menaip)

Lukisan dudel ni pun dah sebulan lebih terperap dlm sketchbook. Mood melukis pakai tablet pulak dah memang tak muncul2 semula dah. Entah2 dah rosak dah benda tu...


Sketch pakai pensel, inking pakai Pen Artline dan Pilot.








Walaupun masih belum berpuas hati, tapi harap2 mesejnya sampai.

Berpinar bijik mata sebab tak biasa lukis banyak2 benda macam tu..

Ilmu.. sehebat mana pun kita, setinggi mana pun sijil dan kelulusan, kalau tak membawa kita tunduk dan sujud kepada Tuhan Pemilik Segala Ilmu... maka sia-sialah semuanya.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday, 26 June 2014

Poster :Berkawan sampai ke Syurga?

Assalamualaikum...

Fuuh kemain lama tak update, nasib baik tak lupa password je.
Lukisan ni pun dah lama peram dalam sketchbook baru ada masa nak update.



Kita selalu dengar orang kata “Friend till jannah” atau “harap kita kekal berkawan sampai ke syurga” atau “saya sayang kawan saya kerana Allah”.
Tapi kebanyakan kata-kata tu tak selari dengan perbuatan.
Mulut kata nak ke Syurga tapi bila lepak atau bersama dengan kengkawan yang kononnya nak masuk syurga bersama-sama tu biasanya untuk buat perkara yang tak berfaedah atau membuang masa.

Anehnya juga bila kawan buat salah atau maksiat tak pernah ditegur.
Pelik juga bila berbuat baik tak pernah diajak kawan tu bersama.
Mungkin ayat tu dituturkan semata kerana bunyinya indah, cool dan menyenangkan.

Aku pun bukannya seorang sahabat yang baik, yang mampu menjadi contoh yang baik kepada orang lain.
Tapi Alhamdulillah Allah izinkan aku mempunyai ramai kawan yang baik terutamanya kawan waktu zaman sekolah menengah.
Sebab tu sampai sekarang kitorang masih lagi berhubung dan sedaya upaya akan rancang program reunion tiap kali waktu yang kebetulannya ramai yang cuti.

Kawan yang baik, bila kita bersama-sama dengan mereka, kita akan rasa malu untuk melakukan benda-benda jahat/maksiat yang biasa kita lakukan masa berseorangan atau dengan orang lain.
Atau membuatkan kita lebih semangat untuk berbuat kebaikan.

Kawan yang kurang baik, kita masih lagi buat perkara buruk  time bersama dengan diorang walaupun kawan tu tak ikut sekali buat benda yang sama.

Kawan yang tak berguna adalah bila kita bersama diorang kita jadi lebih berani melakukan perkara jahat atau maksiat kerana dorongan dan ajakan mereka.

Ramai antara kita mengaku kawan padahal dalam masa yang sama bertindak sebagai perosak yang menjahanamkan kawan.
Kononnya sama-sama buat perkara rare dan pelik2 dan gila-gila itu tanda sehati sejiwa member kamceng sampai mati. Pastu sembang kencang friends till jannah.
Kadang-kadang mulut cakap till jannah, tapi perangai macam sama-sama nak till jahannam.
Moga dijauhkan. Nauzubillahi min zaalik.

Mungkin ramai yang akan kata, susah nak dapat kawan jenis yang pertama tu (kawan yang baik).. nak jumpa memang susah kononnya jenis macam ni spesies yang hampir pupus.
Petuanya senang sahaja, kalau kita nak jadi baik, kita niatkan nak jadi baik, dan in sya Allah , Allah akan hantar orang yang baik- baik untuk membantu kita jadi baik.

Kalau dah mulut asyik kutuk orang , suka gosip cakap mencarut mestilah kita pun akan cari geng yang lebih kurang sama perangai macam kita jugak kan?
Kalau ada member yang cakap sopan berbudi bahasa konfem orang jenis mulut gosip ni akan rasa macam serba tak kena dan akan blah cepat2. Jadi macam mana korang nak dapat kawan yang baik kalau sentiasa lari dari diorang?

Dan kalau memang susah sangat nak cari kawan yang baik, apa kata kita je yang jadi jenis kawan yang baik tu?
Biarlah kalau ada orang duduk dekat dengan kita, diorang rasa segan nak buat jahat.
Aku pun ramai kawan yang jenis liat solat atau jenis tangan liar atau nakal ni.
Tapi sekurang-kurangnya diorang reti hormat kita bila berada bersama kita dan tak buat perkara yang diorang biasa buat kerana segan dengan kita.

Kawan yang paling lahazelnut perangainya adalah yang jenis suka cabar member buat benda jahat.
Contoh :
“Kalau ko nak geng ngan kitorang ko kena try rokok ni sebatang”

“Apa barang takde awek, kalau jantan ko pegi tackle minah tu sekarang, baru kitorang respek”

“Nak join kitorang, tukar nama hujung jadi Evan’s ke, Hudson ke, Vienna ke, baru kelasss!” (ok yang ni merapu)

“Kalau ko boleh wheelie 13 batang tiang letrik baru kitorang mengaku ko kawan kitorang”

Kalau kita tak cukup kuat, cepat2lah tinggalkan orang macam ni. Takde kawan pun takpelah.

Jadi carilah kawan yang berilmu yang suka beri nasihat.
Atau berkawanlah dengan orang yang kurang ilmu, tapi mampu terima nasihat.

Kalau nak berkawan sampai ke Syurga, berakhlaklah seperti seorang calon ahli Syurga.

 Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu Ta'ala 'Anhu, pembantu Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, dari Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, beliau bersabda:  "Tidak beriman salah seorang kalian sampai dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri."
(HR. Bukhari dan Muslim)




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday, 21 May 2014

PANDA yang bertuah

Assalamualaikum..

Sempena Hari Panda SeMalaysia hari ni, aku secara tak sengaja terconteng makhluk ni ...



Rintihan seorang pakcik duda beranak lapan penoreh getah hujung kampung:

Untunglah ko Panda, ramai orang sayang,
Makan minum kau mewah, ada orang jaga, aku? kriik kriik kriik
Rumah besar ada air-cond,  (jeling kipas berhabuk bunyi kriuk kriuk berpusing lelah atas siling)
Orang sanggup habiskan berjuta-juta untuk ko... (ekor mata melirik bil-bil letrik dan air tertunggak berbulan-bulan)
Ko warga asing, tapi diberi kelebihan berbanding aku anak peribumi..
kenapa Panda? kenapa?
Akhirnya pakcik terlelap bersama mimpi ngeri dihambat bil-bil hutang yang tiba-tiba tumbuh kaki berlari mengejar.


Kata Panda:

eh yang ko jeles sangat dengan aku tu apsal?
Aku lambang perhubungan diplomatik dua negara,
Aku simbol persahabatan yang akrab.
Kau apa ada?
Tahu komplen je.
BR1M kan adooo..


Ok. Aku takde apa-apa.


p/s : Percayalah! Kedatangan Panda ke negara kita sangat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Kenapa? Sebab sekarang kita tak lagi perlu membayar mahal2 untuk ke luar negara semata2 nak tengok Panda. Bercukurlah! eh bersyukurlah !!

Mohon jangan ada yang komen racis dan bersifat perkauman seperti " hantar balik Panda ke negara asal! ini Tanah untuk Melayu je!"



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday, 8 May 2014

Upacara Menguburkan azam yang berkecai...

Assalamualaikum...

Pantas sungguh masa berlalu. Dah masuk bulan ke-5 dalam kalendar 2014.
Makin lama makin pemalas pulak aku update blog ni. Hangat -hangat taik lembu sungguh perangai aku.


Berbekalkan bukti printscreen kat atas tu, maka dengan ini aku mengisytiharkan berkecainya dan terkuburnya salah satu AZAM TAHUN 2014 aku.
Azam yang satu ni aku tanam senyap2 awal tahun hari tu sebab tak berapa nak percaya kat diri sendiri.

Sekarang dah terbukti. Azam aku untuk mengupdate paling kurang 5 entri setiap bulan secara istiqamah dan konsisten nampaknya tak terlaksana. Bulan Mac 3 entri. Bulan April berlalu tanpa secebis nukilan.

Alasan : Bulan Mac dan April adalah bulan klimaks kesibukan setiap tahun. Tapi nampaknya tahun ni kesibukan tu akan lebih berpanjangan dengan bertambahnya amanah yang terpaksa dipikul. sobs sobs.

Entri ringkas ni cuma nak mengisytiharkan bahawa aku masih hidup. Jangan nak sibuk berebut harta pusaka. Belum masa korang buat majlis tahlil untuk aku. Teruskan saja doa yang baik-baik supaya aku baik- baik saja.


Moga manfaat yang masih tersisa dari blog ini masih mampu dipergunakan sampai ke kuota broadband yg terakhir.

Ah, tapi kalau aku benar-benar mati nanti... sila sedekahkan doa banyak-banyak. Aku tak rasa dengan amal aku yang sikit ni mampu bawa aku ke Syurga. Masih mengharap rahmat Tuhan.


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 18 January 2014

Sakit Tanda Allah Sayang

Assalamualaikum...


Kat lukisan tu ada satu kecacatan yg besar. Nak buat macam mana, penconteng amatur macam ni la. Dah siap baru perasan :p

If you don't thank Allah for every smile, then you have no right to complain about every tear.



“Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan”
-Pepatah-



Allah SWT berfirman:

“Tidak ada satu kesusahan, yang menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” 
(Surah Al-Hadid ayat 22-23.)


“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu” 
(Surah Asy-Syura ayat 30.)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya" 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Jika kita rasa Allah tidak mempedulikan kita dan hanya membiarkan kita menderita kesakitan maka kita silap. Allah itu sangat dekat dengan hamba-Nya :


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan).”
(Surah al-Baqarah ayat ke-186,)



"Sakit itu kaffarah dosa"






Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 30 December 2013

AMBANG 2014 : SAMBUTAN TAHUN GULING- GULING


Assalamualaikum..









2013 hampir melabuhkan tirainya. Apabila tabir disingkap menjelmalah tahun 2014.
2013 akan kita tinggalkan bersama azam-azam lama yang mungkin telah tercapai, mahu diteruskan pencapaiannya ataupun berkubur sekadar azam yang bertukar angan.
2013. Banyak kontroversi dan fenomena  besar yang melanda negara kita yang tercinta. Suka yang sama- sama kita kecapi. Ada juga duka yang sama-sama kita ratapi.

ERA PASCA-PILIHANRAYA

Peristiwa paling besar bagi aku adalah Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan pertempuran sengit di bidang siasah dan politik.
Kehidupan era pasca –pilihanraya nyata seperti edisi-edisi sudah hanya indah khabar dari rupa.
Kita sebagai rakyat menjadi pemerhati dan penilai berapa banyak janji yang sudah dilaksana dan berapa banyak pula yang dimungkiri tanpa rasa bersalah.

Aku rindu suasana sebelum PRU. Semuanya kedengaran manis dan indah. Mimpi bersinar, angan membunga, impian menggunung.

Aneh, kitaran janji-tipu-janji-tipu menjadi makanan rutin rakyat. Ada yang sedar dan ramai juga yang terkebil-kebil keliru.
Dua- dua pihak masih tak terlepas daripada fenomena “terpaksa memungkiri janji”. Pihak yang menang menjadi kerajaan mahupun yang kalah terpaksa menjadi pembangkang.

Rentetan kenaikan harga barang dan kos sara hidup di hujung baki tahun 2013 ternyata menyesakkan rongga dada rakyat marhaen yang terpaksa bernafas lelah di celah-celah sempit kehidupan di bawah payung sistem kapitalisme ini.
Kapitalisme menyebabkan kita menjadi hamba materialistik. Hamba kepada wang.

Cukai naik dan subsidi dikurangkan. Syukurlah sekurang-kurangnya rasionalisasi subsidi gula (baca: harga gula naik) telah mengurangkan kes-kes diabetes secara mendadak.
Alternatif kenaikan petrol, sudah ramai yang mula beralih kepada kenderaan dan jet peribadi yang tak menggunakan RON 95, 97 ataupun diesel. Diorang gunakan kerosin. Atau minyak sawit perah sendiri.
Tol naik? Guna sahaja laluan untuk motosikal. Atau jalan denai celah hutan belantara yang bebas tol.
Tarif elektrik meningkat? Kita negara iklim khatulistiwa. Disimbah cahaya matahari sepanjang tahun. Tenaga solar penyelesaian terbaik. Biar TNB bangkrap. Padan muka.

Menteri? Persetankan mereka yang tak pernah merasa mengeluarkan duit sendiri membeli keperluan asas. Tak pernah berasa gelisah mahu mencatu segala perbelanjaan harian. Hanya mahu mencuba derita rakyat secara bermusim. Itu pun hanya bermuka-muka.
Yang menteri tahu hanya menggunakan otak bebal mereka mengeluarkan kata-kata dan kenyataan bodoh yang mengguris hati rakyat yang telah sedia terluka. Darah luka lama masih mengalir, ditebuk pula luka yang baru.
Dan mereka terus berdekah-dekah ketawa di atas kerusi empuk amanah yang telah hitam legam dengan pengkhianatan dan korupsi.
Kroni? Mereka berada pada kelas tersendiri. Kasta mereka lebih tinggi berbanding rakyat biasa. Mereka lebih mulia dari kita semua. Heh.

HIMPUNAN GULING KERAJAAN

Penghujung era 2013 kita dikejutkan desas desus kencang bertiup di media tentang sebuah perhimpunan yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan!
Dengar saja sudah cukup menggerunkan. Aku dah membayangkan sekumpulan besar manusia berarak dengan ganas membawa senjata berbahaya bersama sekelompok batalion tentera yang berpaling tadah.
Bergerak menuju ke pusat pentadbiran dan menyerang segala apa yang menghalang kemaraan mereka. Pertempuran sengit tercetus. Nyawa melayang.
Err, mungkin aku terlampau banyak menonton cerita perang.

Dan sejujurnya bila dengar nama “Himpunan Guling Kerajaan” sudah mampu membuat orang guling-guling ketawa. Lucu. TURUN tiba-tiba menjadi GULING.
Hebat sungguh sentimen meniupkan api keresahan dan kebimbangan yang dimainkan oleh media. Aku hampir hampir percaya 2%.

Aku masih belum menjumpai ayat-ayat hasutan daripada pihak penganjur supaya menggunakan kekerasan dan keganasan menuntut kerajaan sedia ada melepaskan takhta pemerintahan yang sekian lama selesa dipegang.
Kalau ada pun hasutan ianya datang daripada individu dan bloggers yang boleh dipersoalkan kredibilitinya. Malang, akhbar,TV dan media utama menjadi pencedok menyebarkan berita yang belum tentu sahih. Media nyata selevel majalah tabloid gosip murahan penyebar fitnah.
Sehina Majalah Mangga dan rancangan Melodi.

Ini dunia akhir zaman. Zaman fitnah. Zaman di mana fitnah berleluasa dan digunapakai sebagai fakta.

Senjata paling canggih yang diseru supaya dibawa pun mungkin hanya garam dan air mineral. Takkan hanya dengan itu sahaja mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang cukup hebat dari segi ketenteraan dan persenjataan?
Hantar saja sebuah Scorpene sudah cukup menghapuskan sekelompok manusia itu. Eh silap. Scorpene bukan alat ketenteraan. Ianya artifak lagenda zaman berzaman.

Atau mungkin aku silap. Maklumat aku belum cukup. Korang nilaikan sendiri. Ataupun kita tunggu dan lihat.

Yang pasti aku tak sertai himpunan sama ada guling kerajaan mahupun guling akhlak.

HIMPUNAN GULING AKHLAK

Sambutan Ambang Tahun Baru kalau masih diteruskan tradisinya seperti tahun-tahun lepas nyata jauh lebih berbahaya daripada “Himpunan Berguling-guling Bersama Kerajaan”.

Himpunan muda mudi menyambut tahun baru dengan program maksiat lebih berbahaya kepada akhlak dan akidah. Ianya HIMPUNAN GULING AKHLAK. Mungkin lebih dahsyat GULING AKIDAH. Amalan agama apakah yang menggalakkan umatnya berhibur secara melampau untuk menyambut ketibaan awal Masihi? Belum cukup sambutan 1 Muharram? Itupun kalau teringat nak sambut.

Pujalah artis yang kamu suka itu. Agungkanlah hedonisme yang telah menjadi raja itu. Sembahlah nafsu yang hampir menobatkan dirinya sebagai Tuhan itu.
Mungkin jika korang bernasib baik, korang akan dihimpunkan bersama artis-artis yang korang cinta itu. Bila? Apabila semua manusia berhimpun dalam satu himpunan mega yang paling besar di akhirat kelak.

HIMPUNAN GULINGKAN KEBATILAN.
HIMPUNAN GULINGKAN PENDERHAKA.
HIMPUNAN GULINGKAN MANUSIA KUFUR.
HIMPUNAN DI PADANG MAHSYAR.


#Maaf artikel terlalu panjang. Mungkin tiada yang sanggup membaca. Sekadar luahan pendapat peribadi. Mungkin hanya pendapat aku sorang. Mungkin tak sehaluan dengan korang.

SELAMAT TAHUN BARU 2014.
Penat menaip. Mahu guling-guling atas tilam sebentar.


 *Lupa. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog aku. Biarpun banyak merapu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 20 December 2013

Manusia... Makhluk yang Pelik

Assalamualaikum...


Traditional Art
(bila lah nak rajin lukis pakai tablet yg dah berkarat tu)


Putaran masa berlalu terlalu pantas. Sehingga kita tak sedar.
Usia kita takkan selamanya muda. Setiap hari bertambah tua.
Bertambah umur, maknanya baki waktu kehidupan kita di dunia makin kurang.
Aneh, ramai telah didatangkan tanda-tanda kematian, namun tetap cinta pada kehidupan.
Dipeluk erat dunia tanpa sedikit niat mahu melepaskannya.

Mati itu pasti. Akan mendatangi setiap kehidupan yang bernyawa.
Hidup. Bernafas. Bergerak. Itu tanda utama bahawa kita pasti mati.
Syarat utama untuk mati adalah bernyawa. Semua makhluk tidak akan kekal.
Bahkan mati juga akan mati.
Yang kekal hanyalah Allah.

Apakah kita sangka kita mampu berehat tenang di kuburan setelah mati, padahal jasad kita busuk dan hodoh bergelumang najis noda dan dosa?
Dunia ini juga. Dunia yang kita sibuk geluti ini juga sudah teramat tua. Terlalu tua.

Apakah kita masih menunggu tanda-tanda luarbiasa yang ajaib baru kita mahu bertaubat dari segala kejelikan dosa yang telah kita kumpulkan?
Apakah hanya dengan turunnya salji di Bumi Malaysia ini baru kita sedar petanda Kiamat?
Atau mahu tunggu Matahari terbit dari Barat?
Sibuk sungguh kita meneliti peristiwa aneh dan pelik kononnya petanda Kiamat . Belum cukupkah tanda-tanda kecil yang muncul di sekeliling kita?

Sebenarnya tanda yang paling pelik adalah apabila kita berasa pelik dan takjub dengan peristiwa pelik-pelik namun kita tak pernah berasa pelik mengenangkan diri yang tak pernah cuba mengambil iktibar biar sepelik mana pun kepelikan tersebut. Sungguh pelik.

Takutnya kita pada kiamat tp tak mengambil langkah mempersiapkan diri.
Kiamat itu sudah terlalu hampir tapi mati itu lebih dekat.
Belum sempat bertemu Kiamat, ajal dulu yang datang menjengah.

Kalaulah uban memutih belum cukup sebagai petanda...
Kalaulah kedut seribu di wajah belum cukup sebagai peringatan,
Kalaulah lelah dan ketidakupayaan kudrat belum cukup sebagai amaran,
Kalaulah hilangnya sensitif deria dan pancaindera belum mampu memberi keinsafan..
Kerana yang tua hanya jasad dan umur, sedangkan nafsu tetap kekal muda selamanya.
Maka tunggulah... tunggu sahaja saatnya nanti.

Saat Izrail datang berwajah bengis merentap roh dari jasad kita.
Saat kafan berlapis membalut tubuh kaku.
Saat manusia lain menyembahyangkan kita dengan empat takbir.
Saat sempit dan gelap terhimpit di dalam tanah berpacakkan nisan.
Saat gempita suara Munkar dan Nakir bertanyakan soalan bocor.

Tunggu sahaja waktu itu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 16 November 2013

Cerita Grafik : Sebuah Mini Cooper dan Senaskhah Al-Quran





Haikal termenung jauh ke luar jendela. Pandangannya menerobos ke ruang langit menembusi lapisan awan yang kelihatan mendung. Sebagaimana mendung hatinya tika ini.

Digenggam erat keputusan UPSR di tangannya. Entah mengapa, keputusan 5A yang diraihnya tak membawa kegembiraan  sebagaimana yang dia sangkakan. Haikal mengeluh buat kesekian kalinya.

Dia terguris. Hatinya rasa sakit setiap kali memandang hadiah yang masih berbungkus rapi di atas meja tulisnya itu. Itulah hadiah daripada ibu dan ayahnya tanda ucapan tahniah atas kejayaannya.

Dia tahu di dalam bungkusan itu ada permainan Playstation 8 yang menjadi idamannya selama ini. Tapi entah syaitan apa yang merasuknya kala ini sehingga dia tidak berterima kasih pun kepada ibu dan ayahnya yang telah bersusah payah membelikannya hadiah itu.

Dia terbayang wajah bangga Aiman rakan sekelasnya yang juga mendapat 5A. dia mendapat hadiah sebuah motosikal  Yamaha LC135 pink yang cool.

Terngiang-ngiang lagi suara jeritan Aisyah .
“Yahooo, aku dapat 5A! mommy dan daddy dah janji belikan aku laptop Apple, iphone 7 dan bawa aku melancong ke Planet Marikh!”




Hati Haikal bertambah cemburu bila melihat seorang lagi kawannya mendapat hadiah kereta mini cooper  yang berharga lebih rm200,00. Padahal mereka semua mendapat 5A. sama je.
Heboh seluruh Negara bercerita tentang kawannya itu.

Paling Haikal tak boleh terima apabila Budin yang hanya mendapat 4A 1B mendapat hadiah yang lebih mahal dah hebat daripadanya.

“Tok, tok, tok!!” bunyi ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya tak dihiraukannya.

“Haikal, jomlah turun makan malam, dah sejuk makanan tu. Ibu masak lauk kegemaran Haikal ni”
Sayu suara Mak Jah memujuk Haikal. Sudah masuk 10 jam Haikal melancarkan mogok lapar. Mak Jah sendiri bingung memikirkannya.

“Tak nak! Mak ngan ayah tak sayang  Haikal! Kalau mak sayang Haikal, belikan Haikal motosikal sama macam yang Aiman dapat tu!” Jerit Haikal sekuat hati.



Berdesing telinga Pak Mail mendengar jeritan anaknya itu. Diikutkan rasa amarahnya mahu sahaja ditendangnya pintu bilik Haikal dan dibelasahnya budak itu sampai lembik.

Namun imannya masih mampu mengawal kewarasan akalnya. Istighfar masih tak lekang daripada  lidahnya.

Keluarga Pak Mail bukanlah keluarga berada. Hasil simpanannya dapatlah dia membelikan hadiah PS8 yang diminta oleh Haikal. Tapi lain pula jadinya. Ibarat diberi betis minta peha.

Sedangkan sebelum ini Haikal anak yang mendengar kata. Faham akan keadaan keluarga mereka. Buntu Pak Mail memikirkan sebabnya.


……………………………………………………..


Haikal cemburu melihat kawan-kawannya mendapat hadiah yang lebih mahal biarpun keputusannya lebih baik daripada mereka.
Ditambah pula dia diejek dan diapi-apikan oleh beberapa kawannya.

“Hek eleh setakat PS 5 tu dah lama dah bapak aku belikan” Suara Syahir bagaikan halilintar membelah pendengaran Haikal.

“Haikal, ko mintak la bapak ko belikan motosikal, nanti boleh kita pergi sekolah menengah sama-sama nanti” Hasut Aiman anak Tauke stesen minyak yang kaya raya.

Suara-suara tersebut silih berganti bermain-main di kotak fikirannya. Emosinya tambah celaru.
Haikal bertambah tertekan.

“Tok,tokk, tokk” bunyi ketukan pada pintu bergema lagi. Kali ini lebih kuat.

“Haikal, ni Hafiz call, dia kata nak cakap dengan Haikal, keluarlah kejap nak” Lembut suara Mak Jah memujuk.

Hafiz! Hampir terlupa Haikal akan teman baiknya itu. Dia sampai terlupa untuk bertanyakan keputusan UPSR Hafiz tadi kerana ingin cepat pulang akibat tidak tahan dengan sikap kawan-kawannya.

Haikal tahu pasti Hafiz mendapat 5A juga kerana selama ini Hafiz sentiasa menjadi pelajar terbaik di sekolahnya. Malah jauh lebih baik daripada Haikal sendiri.

Perlahan-lahan dibukanya pintu bilik. Dihulurnya kepala menjenguk keluar.
Pantas telefon bimbit bertukar tangan daripada Mak Jah ke tangan Haikal. Sempat Mak Jah melirikkan senyuman buat anak kesayangannya itu. Haikal adalah benih harapan buat keluarga mereka.



Haikal masuk semula ke biliknya bersama telefon itu.
“Helo, Haikal… tahniah, aku dengar ko dapat 5A. Aku tumpang gembira” Suara hafiz sayup-sayup kedengaran di sebalik talian.

“Er, Fiz, ko dapat berapa? Mesti 5A jugak kan? Ko kan best student”  tergagap sedikit suara Haikal.
“Alhamdulillah, aku Berjaya dapat 5A. Tak sia-sia usaha kita selama ni. Mak ayah happy giler”
Riang sekali Hafiz mengkhabarkan berita gembira itu.

“Haikal, mesti ko dah dapat kan PS8 yang ko minta sebagai hadiah tu? Mesti best kan?”

“A’ah… err .. dah. Ok la…”
“Fiz, aku nak Tanya… ko dapat hadiah apa? Mesti lagi best kan? Ko mintak apa?”
Haikal bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.
“Haa… aku pun dapat hadiah tau. Walaupun aku tak pernah minta apa-apa”

“Waah, ko dapat apa? Mini cooper ke? Motor superbike ke?”

“Eh ko ni, aku ni basikal pun tak berapa lepas, inikan pulak nak bawa kereta haha”
“Haikal, ko ingat tak aku pernah cerita lepas tamat sekolah rendah aku nak masuk Sekolah Tahfiz? Aku nak jadi seorang hafiz!” semangat sekali suara Hafiz menceritakan impiannya.

“Alhamdulillah, ayah aku menghadiahkan aku sebuah al-Quran tafsir per kata. Dia bersetuju nak hantar aku ke sekolah tahfiz”

“Eh, takkan al-quran je kot? Ko kan dapat 5A” Haikal bagaikan tidak percaya.

“Bagi aku itupun sudah cukup. Ayah aku bukannya orang kaya. Allah dah bagi apa yang aku perlukan. Jadi kenapa aku perlu jadi hamba yang tak bersyukur, betul tak?” Petah sekali bicara Hafiz, sesuai dengan jawatannya sebagai Ketua Murid di sekolah mereka.

Haikal terkedu. Hampir terlepas telefon dalam genggamannya.



Ah, Hafiz, seindah nama, semulia itu juga akhlakmu. Tiba –tiba Haikal bagaikan terbangun daripada mimpi yang panjang.
Baru dia teringat, keluarga Hafiz lebih susah daripadanya, tapi tak pernah sekalipun dia mendengar rungutan daripada sahabat baiknya itu.

Fikirannya yang sejak tadi merusuh seakan hilang segala keruhnya. Kembali jernih dan tenang.

Kata-kata Hafiz sebentar tadi melenyapkan keangkuhan dan kedegilannya. Haikal betul-betul malu pada dirinya sendiri.
Betapa pemikiran materialistik telah mengelabui kejernihan hatinya sehingga dia hilang kewarasan dalam membuat pertimbangan yang rasional.

Padahal semua itu telah saban hari telah diajar dan dipateri kukuh dalam dirinya sejak kecil lagi. Ayah dan ibunya selalu berpesan supaya bersyukur dengan apa yang ada. Sesungguhnya orang yang bersyukur itu akan ditambah keberkatan rezekinya.

“Fiz, terima kasih. Nanti kita  jumpa lagi”
Haikal mematikan talian meninggalkan Hafiz terpinga-pinga.

Segunung penyesalan dan rasa bersalah terhadap ibu dan ayahnya menyelinap ke segenap penjuru hatinya. Haikal sebak.

“Kejayaan dalam peperiksaan bukanlah penentu kejayaan kita di akhirat. Kalau mendapat 100A pun tak berguna kalau Allah tak redha. Kalau hati ibu dan ayah kita sakiti” Haikal teringat pesanan Ustazah Khadijah hampir setiap kali kelas Pendidikan Islam.

“Ingat, bila kita Berjaya, semua itu bukanlah hasil usaha kita seorang. Itu hasil doa ibu dan ayah, guru-guru dan kawan-kawan. Kejayaan itu sendiri adalah hadiah paling bermakna buat kita dan orang-orang yang saying akan kita. Sepatutnya kita yang menghadiahkan mereka yang banyak berkorban untuk kejayaan kita, bukannya minta hadiah yang bukan2 daripada mereka.
Tapi kalau dah orang bagi tu ambil jela” kata-kata Cikgu Yusuf disambut dengan gelak ketawa murid2 Tahun 6 Amanah.

Semua ingatan itu menginsafkan Haikal.

Perlahan dicapainya bungkusan hadiah di atas meja itu. Dipeluknya erat bersama esakan kecil yang sayu.



Haikal bergegas keluar dari bilik. Separuh berlari menuju ke ruang tamu tempat ayah dan ibunya berada.
Pantas digenggam erat tangan ibunya. Dikucupnya bertubi-tubi.

“Mak, ayah.. Haikal minta maaf. Haikal berdosa buat ayah sakit hati, buat mak sedih. Maafkan Haikal”
Tidak terbendung lagi tangisan Haikal. Dia menangis semahu-mahunya.

Mak Jah turut menangis. Dipeluk erat anaknya. Diusap lembut ubun-ubun Haikal.
Pak Mail menarik nafas lega.




“Ayah, Haikal sebenarnya tak perlukan semua hadiah tu. Cukuplah kejayaan ini sebagai hadiah buat Haikal. Buat Mak. Buat ayah”
Haikal menerpa Pak Mail. Diraihnya tangan kasar ayahnya dan diciumnya penuh kasih sayang.

“Ayah, izinkan Haikal menyambung pelajaran ke sekolah Tahfiz. Haikal mahu jadi seorang hafiz. Haikal mahu jadi anak yang soleh”

Pak Mail sedikit terperanjat. Bibirnya tak henti mengucapkan syukur.

Air mata lelaki Pak Mail tumpah jua. Dipeluk erat anak sulungnya itu. Dia tahu Haikal anak yang baik. Dia sendiri mendidik anaknya dengan ilmu agama yang cukup.

Biarpun mereka tidak berharta, namun keluarga mereka kaya dengan ketinggian pekerti. Kaya dengan kasih sayang yang tak pernah berkurang.



Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat-Mu yang tak ternilai ini.
Kami tak perlukan limpahan kemewahan harta, cukuplah dengan rezeki yang berkat, tubuh yang sihat  dan keluarga yang bahagia.




P/S : Kalau ibubapa nak bagi hadiah kpd anak2 takde masalah, cuma kena fikirkan kesesuaian dengan tahap pemikiran dan anak .
Tapi oklah kalau harta sendiri dan mampu. Yang menjadi masalah bila ada menteri menyuap anak bini dengan harta rakyat marhain. Itu yang lebih patut kita bisingkan.


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday, 28 July 2013

EMOSI (doodles) : Melahirkan Emosi dengan Cara Betul

Assalamualaikum...


Ni Artwork lama... buat untuk aktiviti Group WeLoveArt...

Manusia memang diciptakan bersama2 dengan sekeping hati yang boleh menjelmakan pelbagai emosi dan perasaan.. yang kemudiannya diterjemahkan kepada mimik muka atau riak wajah.

Emosi, bila dipamerkan dan ditunjukkan pada waktu dan tempat yang betul maka baiklah kesannya. Namun jika diletakkan di tempat dan masa yg salah, buruklah kesannya.

Contoh :

1. Gembira.

Betul : Seorang pelajar gembira kerana mendapat keputusan cemerlang dalam exam.
Salah : Seorang pelajar gembira kerana Boypren nya mengajak dating di pavi.


2. Marah.

Betul : Seorang pemuda marah apabila mendengar berita kezaliman dan pembunuhan umat Islam di Palestin, Syria dan Mesir dan berazam untuk turut sama berjihad.
Salah : Seorang gadis Melayu tak bertudung marah apabila seorang lelaki menegur supaya menutup aurat lalu dia menyumpah seranah supaya tak jaga tepi kain mini skirt dia serta mengatakan kubur masing-masing.
Manakala ayah gadis itu pula mengugut untuk membakar kitab Bible kerana marah penggunaan isu Kalimah Allah.


3. Terharu 

Betul : seorang anak terharu bila melihat emaknya bersusah payah menyiapkan makanan untu sahur walaupun tengah demam lalu menolong emaknya di dapur.
Salah : Seorang gadis Melayu terharu apabila fake relaynya melamar dia untuk dijadikan gelifren (girlfren @ real relay) dengan berlutut dan mencium tangannya.


4. Sedih 

Betul : Ahmad berasa sedih kerana bulan Ramadhan hampir ke penghujungnya dan akan berlalu meninggalkan kita.
Salah : Murni sedih kerana  ibunya tak membelikannya baju raya ketat idamannya yang berharga RM400 itu kerana tidak cukup wang.


5. Takut 

Betul : Seorang hamba Allah yg takut akan Allah akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah dengan memperbanyak ibadah dan menjauhkan maksiat.
Salah : Akibat takut kehilangan pangkat dan kedudukannya seorang menteri sanggup menyebarkan fitnah terhadap lawan politiknya serta merasuah pengundi.


6. Teruja 

Betul : Budin sangat teruja bila mendapat berita kehamilan isterinya lantas dia melakukan sujud syukur.
Salah : Minah Evans dan Kiah Hudson berasa teruja lalu  terloncat-loncat, terkinja-kinja dan tergedik-gedik macam beruk sebaik sahaja penyanyi K-Pop pujaannya Joong Mang Kook serta penyanyi remaja Jusuh Bieber tiba di lapangan terbang KLIA.


7. Malu 

Betul : Amira menutup aurat denga sempurna setiap kali keluar dari rumah kerana dia malu jika menarik pandangan lelaki ajnabi . Dia juga malu untuk berbuat dosa.
Salah : Seorang gadis mengupload 29 keping gambarnya yg beraksi menutup mulut dgn tangan, berambut perang tapi beraksi tidak memandang kamera serta beberapa keping gambar bertudung dan berniqab (guna selendang) lalu meletakkan caption "Kite Pemalu" .

8. Ragu-ragu

Betul : Akibat ragu-ragu untuk membuat keputusan sama ada mahu melanjutkan pelajaran ke matriks atau universiti, Safuan melakukan solat sunat istikharah memohon petunjuk.
Salah : Sudah empat kali Pak Mat mengangkat takbir kerana ragu-ragu(was was) dengan bacaan niat solatnya.


9.Terkejut 

Betul :
Nasir terkejut apabila disergah kawannya lalu dia mengucapkan istighfar.
Salah : Syarifah terkejut apabila disergah cucunya lalu dia melatah dan mencarut "p**** mak kau! mampus ko aku tikam! opocot tut tut.. tut ...tut tut tut...tuuuuuuuuuuuuuuut" (biasakan diri menyebut perkataan baik, in sha Allah sewaktu melatah pun akan keluar benda baik)

(AMARAN : Abaikan kesalahan tatabahasa pada ayat2 di atas. Fokus pd mesejnya)


Ok di bawah ni aku sertakan Peta minda "Cara mengawal perasaan Marah"


sebenarnya peta minda ni aku buat untuk Kelas IT ajar bab  cara buat peta minda









SELAMAT BERAMAL di 10 MALAM TERAKHIR



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 26 July 2013

Give Away | Bagi Belah Kartunster #2

Assalamualaikum...


Tema : Kenangan Ramadan, Raya & Aku



Zaman aku berpuasa dan beraya masa kecik-kecik dulu best gila.
Aku ingat lagi, masa tu walaupun adik beradik aku tak ramai lagi cam sekarang tapi puasa dan raya tetap meriah.

Masa kecik dulu, aku selalu tido rumah nenek aku (sebelah rumah aku je) sebab aku memang rapat dengan nenek dan makcik sedara aku.

Tapi kat situ aku kena paksa (time skolah rendah) mengaji Quran 3-4 kali sehari. Pastu malamnya pulak kena kejut awal untuk sahur dan tak boleh tido lepas sahur. Azabnya mata tahan ngantuk.
Tapi nasib baik waktu Subuh nenek aku dan ayah aku akan pergi masjid. Jadi aku bleh la ambik kesempatan masa sepanjang ketiadaan nenek aku untuk lelap barang seketika. Bila dengar je enjin motor aku cepat2 bangun dan buat2 mengaji al-Quran. Tapi sepandai-pandai kanggaroo melompat akhirnya tersadung akar jua.

Antara babak2 yg membengangkan time puasa adalah bila adik aku yg kecik tu tak puasa. Dahla tak pose, dia boleh plak menunjuk2 makan eskrem ke cekelat or cekedis depan aku yang tengah tahan lapar. Memang nak kena lah. 2-3 minit lepas tu berlakula tragedi tragis di mana makanan tersebut bergelimpangan atas lantai akibat diterajang serta situasi seorang budak kecik menangis meraung-raung kekecewaan. Har har har. Agak kejam di situ.

camnilah situasinya...

Walaupun ada lagi nak mengarut tapi nampaknya patah perkataan amat mencemburui aku. jadi tamat.


*Aku tak kisah tak menang pun janji dapat kad raya yg spesel tu. haha. (sebenarnya kesuntukan masa menaip laju2)


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...