Showing posts with label Negaraku. Show all posts
Showing posts with label Negaraku. Show all posts

Sunday, 6 July 2014

Puasa Si Miskin VS Puasa Si Kaya













Puasa Si miskin,
Sahurnya alas perut, sekadar tuntutan Sunnah.
Puasa Si kaya,
Sahurnya memenuhkan perut, bimbang kelaparan tak larat melangkah.

Puasa Si miskin,
Seperti hari-hari biasa, makanannya dicatu
Puasa Si kaya,
Lebih daripada biasa, juadah istimewa membangkitkan nafsu.

Puasa Si miskin,
Berbukanya tertanya-tanya, mahu makan apa.
Puasa Si kaya,
Berbukanya berkira-kira, mahu makan  di mana.

Puasa Si miskin,
Bukan hanya sebulan Ramadhan, tapi sepanjang tahun
Puasa Si kaya,
Laparnya sekejap, kenyangnya berpanjangan

Puasa Si miskin,
Di madrasah Ramadhan mereka berzikir,
Puasa Si kaya,
Di bazar Ramadhan mereka membazir.

Puasa Si miskin,
Tak pernah risau akan kelaparan
Puasa Si kaya,
Selalu kebimbangan diet yang terancam.

Puasa Si miskin,
Menjadikannya kuat, lebih sihat
Puasa Si kaya,
Memaksa sistem pencernaannya lebih penat.

Puasa Si miskin,
Tak pernah mati dek kelaparan
Puasa Si kaya,
Selalu mati kerana kekenyangan.

Puasa Si miskin,
Lebih indah jika ada yang berempati
Puasa Si kaya,
Lebih barakah jika tangannya memberi.


*Tapi bagaimana mahu bersedekah, kalau menghulur dianggap jenayah? Opsss mohon jangan jadikan alasan

Puasa Si Mukmin,
Mendekatkan dirinya kepada Tuhan,
Puasa yang bermuka- muka,
Menambah kemurkaan Tuhan.




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 8 February 2014

Bola Sepak dan Politik di Malaysia


Dua topik yang aku perhatikan paling rancak diperkatakan dan evergreen sepanjang masa tak kira musim atau cuaca adalah topik Bola Sepak dan Politik.

Banyak persamaan dan keserasian antara dua topik ni. Sama ada yang baik ataupun yang buruk. Aku cuma senaraikan secara umum. Malas nak ulas detail-detail.

1. Strategi


Kedua-duanya perlukan percaturan strategi yang terancang dan teliti. Ada masa merancang strategi, Ada masa bertahan dan ada masa menyerang. Ada perancang strategi di luar padang yang menjadi mastermind setiap corak serangan atau pertahanan.
Ada juga penganalisis setiap peristiwa/perlawanan yang bajet tahu serba-serbi. Ada masa boleh pakai dan diterima ada masa ke laut.

2. Ketaksuban




Kedua-dua bidang ini masing-masing mempunyai pengikut tersendiri. Bola Sepak dengan pasukan-pasukan sama ada kelab atau negeri ada penyokong yang ramai. Biasanya dengan semangat kenegerian. Masing-masing taksub dan berbangga dengan pasukan negeri masing-masing.
Tak salah. Yang menjadi salah apabila saling kutuk mengutuk caci mencaci ugut-mengugut antara pasukan negeri A dengan pasukan negeri B atau C mahupun D. Ya, semua berpunca daripada ketaksuban para penyokongnya.

Politik juga sama, perbezaan fahaman parti menyebabkan perbalahan sama ada di kedai kopi, di laman fesbuk. Twitter atau di pentas ceramah. Masing-masing mahu menang dan tak mengaku kalah.
Terlalu taksub dengan Parti atau pemimpin (mungkin pembodek) menyebabkan mereka menelan bulat2 apa yang diperkatakan oleh pihak mereka dan menolak secara total apa jua pelan dan cadangan pihak lawan.
Ego dan kebodohan menjadi tunjang ketaksuban.

Bahasa saintifik untuk pentaksub yang gila ini adalah "MACAI".

3. Masalah Badan induk



Kalau bola sepak badan tertinggi di Malaysia adalah FAM.
Politik pula selalunya dikaitkan dengan pilihanraya yang dikendalikan SPR.
Kedua-dua badan induk ini kebanyakan masanya berkongsi nasib yang sama. Selalu kena maki dan menjadi tempat diluahkan segala ketidakpuasan hati.
Biasanya dikaitkan dengan keputusan berat sebelah atau pengurusan yang kurang cekap.

4. Fitnah menfitnah
Politik, biasalah. Untuk survival kerjaya dan kedudukan masing-masing, fitnah menfitnah tu perkara biasa. Buatlah apa saja asal pengaruh pihak lawan dapat disekat.
Bola sepak pun tak terlepas. Bila ada kekecohan dan pergaduhan selepas sesuatu perlawanan, mula la masing-masing jadi penglipur lara pereka cerita. Yelah, masing-masing nak menang, benang basah pun cuba ditegakkan.

5. keyboard warrior



Pihak masing-masing punya keyboard warrior sendiri. Berdegar-degar update status kat Facebook, Twitter dan blog. Kritik sana, kutuk sini, orang ni salah, orang tu tak betul.
Bila disuruh bagi cadangan atau penambahbaikan terus senyap. Cakap je lebih tapi bila disuruh buat dia buat tak tahu je. Padahal dengar-dengar cakap orang je.

6. Medium Penyatupaduan.



Apabila semangat kenegerian dan kepartian diketepikan sementara, ternyata Bola sepak dan politik adalah medium terbaik untuk penyatupaduan dan integrasi.
Contoh, apabila Pasukan Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia iaitu dalam mimpi  menentang pasukan Sepanyol, maka seluruh bangsa dan etnik termasuk para pendatang asing juga akan bersatu hati menyokong pasukan negara tanpa mengira apa fahaman dan agama mereka.


Begitu juga politik, apabila umat Islam di Palestin diganyang Israel, maka seluruh Parti di Malaysia sama ada di pihak Kerajaan atau pembangkang akan bersatu mengecam dan mengutuk tindakan celaka Israel tersebut. Sama-sama mengumpul dana dan menghulur sumbangan dalam satu tabung.



Rakyat Malaysia masih belum mampu membebaskan fikiran daripada terbelenggu dengan budaya politik tidak matang dan mentaliti kelas kedua.
Berpolitik macam nak bertumbuk. Main Bola macam nak berperang.
Pemimpin boleh je dok makan semeja. Bertekak hanya dalam gelanggang.
Pemain2 pun ok je boleh bergambar bersama. Biasala tersepak terajang dalam padang.
Penyokong je yang lebih.





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 30 December 2013

AMBANG 2014 : SAMBUTAN TAHUN GULING- GULING


Assalamualaikum..









2013 hampir melabuhkan tirainya. Apabila tabir disingkap menjelmalah tahun 2014.
2013 akan kita tinggalkan bersama azam-azam lama yang mungkin telah tercapai, mahu diteruskan pencapaiannya ataupun berkubur sekadar azam yang bertukar angan.
2013. Banyak kontroversi dan fenomena  besar yang melanda negara kita yang tercinta. Suka yang sama- sama kita kecapi. Ada juga duka yang sama-sama kita ratapi.

ERA PASCA-PILIHANRAYA

Peristiwa paling besar bagi aku adalah Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan pertempuran sengit di bidang siasah dan politik.
Kehidupan era pasca –pilihanraya nyata seperti edisi-edisi sudah hanya indah khabar dari rupa.
Kita sebagai rakyat menjadi pemerhati dan penilai berapa banyak janji yang sudah dilaksana dan berapa banyak pula yang dimungkiri tanpa rasa bersalah.

Aku rindu suasana sebelum PRU. Semuanya kedengaran manis dan indah. Mimpi bersinar, angan membunga, impian menggunung.

Aneh, kitaran janji-tipu-janji-tipu menjadi makanan rutin rakyat. Ada yang sedar dan ramai juga yang terkebil-kebil keliru.
Dua- dua pihak masih tak terlepas daripada fenomena “terpaksa memungkiri janji”. Pihak yang menang menjadi kerajaan mahupun yang kalah terpaksa menjadi pembangkang.

Rentetan kenaikan harga barang dan kos sara hidup di hujung baki tahun 2013 ternyata menyesakkan rongga dada rakyat marhaen yang terpaksa bernafas lelah di celah-celah sempit kehidupan di bawah payung sistem kapitalisme ini.
Kapitalisme menyebabkan kita menjadi hamba materialistik. Hamba kepada wang.

Cukai naik dan subsidi dikurangkan. Syukurlah sekurang-kurangnya rasionalisasi subsidi gula (baca: harga gula naik) telah mengurangkan kes-kes diabetes secara mendadak.
Alternatif kenaikan petrol, sudah ramai yang mula beralih kepada kenderaan dan jet peribadi yang tak menggunakan RON 95, 97 ataupun diesel. Diorang gunakan kerosin. Atau minyak sawit perah sendiri.
Tol naik? Guna sahaja laluan untuk motosikal. Atau jalan denai celah hutan belantara yang bebas tol.
Tarif elektrik meningkat? Kita negara iklim khatulistiwa. Disimbah cahaya matahari sepanjang tahun. Tenaga solar penyelesaian terbaik. Biar TNB bangkrap. Padan muka.

Menteri? Persetankan mereka yang tak pernah merasa mengeluarkan duit sendiri membeli keperluan asas. Tak pernah berasa gelisah mahu mencatu segala perbelanjaan harian. Hanya mahu mencuba derita rakyat secara bermusim. Itu pun hanya bermuka-muka.
Yang menteri tahu hanya menggunakan otak bebal mereka mengeluarkan kata-kata dan kenyataan bodoh yang mengguris hati rakyat yang telah sedia terluka. Darah luka lama masih mengalir, ditebuk pula luka yang baru.
Dan mereka terus berdekah-dekah ketawa di atas kerusi empuk amanah yang telah hitam legam dengan pengkhianatan dan korupsi.
Kroni? Mereka berada pada kelas tersendiri. Kasta mereka lebih tinggi berbanding rakyat biasa. Mereka lebih mulia dari kita semua. Heh.

HIMPUNAN GULING KERAJAAN

Penghujung era 2013 kita dikejutkan desas desus kencang bertiup di media tentang sebuah perhimpunan yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan!
Dengar saja sudah cukup menggerunkan. Aku dah membayangkan sekumpulan besar manusia berarak dengan ganas membawa senjata berbahaya bersama sekelompok batalion tentera yang berpaling tadah.
Bergerak menuju ke pusat pentadbiran dan menyerang segala apa yang menghalang kemaraan mereka. Pertempuran sengit tercetus. Nyawa melayang.
Err, mungkin aku terlampau banyak menonton cerita perang.

Dan sejujurnya bila dengar nama “Himpunan Guling Kerajaan” sudah mampu membuat orang guling-guling ketawa. Lucu. TURUN tiba-tiba menjadi GULING.
Hebat sungguh sentimen meniupkan api keresahan dan kebimbangan yang dimainkan oleh media. Aku hampir hampir percaya 2%.

Aku masih belum menjumpai ayat-ayat hasutan daripada pihak penganjur supaya menggunakan kekerasan dan keganasan menuntut kerajaan sedia ada melepaskan takhta pemerintahan yang sekian lama selesa dipegang.
Kalau ada pun hasutan ianya datang daripada individu dan bloggers yang boleh dipersoalkan kredibilitinya. Malang, akhbar,TV dan media utama menjadi pencedok menyebarkan berita yang belum tentu sahih. Media nyata selevel majalah tabloid gosip murahan penyebar fitnah.
Sehina Majalah Mangga dan rancangan Melodi.

Ini dunia akhir zaman. Zaman fitnah. Zaman di mana fitnah berleluasa dan digunapakai sebagai fakta.

Senjata paling canggih yang diseru supaya dibawa pun mungkin hanya garam dan air mineral. Takkan hanya dengan itu sahaja mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang cukup hebat dari segi ketenteraan dan persenjataan?
Hantar saja sebuah Scorpene sudah cukup menghapuskan sekelompok manusia itu. Eh silap. Scorpene bukan alat ketenteraan. Ianya artifak lagenda zaman berzaman.

Atau mungkin aku silap. Maklumat aku belum cukup. Korang nilaikan sendiri. Ataupun kita tunggu dan lihat.

Yang pasti aku tak sertai himpunan sama ada guling kerajaan mahupun guling akhlak.

HIMPUNAN GULING AKHLAK

Sambutan Ambang Tahun Baru kalau masih diteruskan tradisinya seperti tahun-tahun lepas nyata jauh lebih berbahaya daripada “Himpunan Berguling-guling Bersama Kerajaan”.

Himpunan muda mudi menyambut tahun baru dengan program maksiat lebih berbahaya kepada akhlak dan akidah. Ianya HIMPUNAN GULING AKHLAK. Mungkin lebih dahsyat GULING AKIDAH. Amalan agama apakah yang menggalakkan umatnya berhibur secara melampau untuk menyambut ketibaan awal Masihi? Belum cukup sambutan 1 Muharram? Itupun kalau teringat nak sambut.

Pujalah artis yang kamu suka itu. Agungkanlah hedonisme yang telah menjadi raja itu. Sembahlah nafsu yang hampir menobatkan dirinya sebagai Tuhan itu.
Mungkin jika korang bernasib baik, korang akan dihimpunkan bersama artis-artis yang korang cinta itu. Bila? Apabila semua manusia berhimpun dalam satu himpunan mega yang paling besar di akhirat kelak.

HIMPUNAN GULINGKAN KEBATILAN.
HIMPUNAN GULINGKAN PENDERHAKA.
HIMPUNAN GULINGKAN MANUSIA KUFUR.
HIMPUNAN DI PADANG MAHSYAR.


#Maaf artikel terlalu panjang. Mungkin tiada yang sanggup membaca. Sekadar luahan pendapat peribadi. Mungkin hanya pendapat aku sorang. Mungkin tak sehaluan dengan korang.

SELAMAT TAHUN BARU 2014.
Penat menaip. Mahu guling-guling atas tilam sebentar.


 *Lupa. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog aku. Biarpun banyak merapu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 2 November 2013

Bekerja Untuk ke Syurga, Layakkah Kita?


Kerja oh kerja...
Untuk hidup pada zaman kapitalisme ini memang perlu mengerah kudrat yang lebih untuk bekerja.
Kos sara hidup yang semakin meningkat sedang nilai mata wang makin rendah dibandingkan kadar peningkatan harga barang.

Dihimpit tekanan, ramai yang terpaksa menjadi materialistik, mengejar dunia hingga kelelahan.
Ada yang sebenarnya dilimpahkan rezeki yang sudah mencukupi, namun masih juga tak puas.
Mahukan pangkat, kuasa dan pengaruh untuk kekal berada di atas,
Mengerah kudrat empat kerat tak kira siang dan malam,
Akhirnya terlupa akan kewajiban sebagai seorang hamba, tugas sebenar sebagai khalifah di muka bumi.

Gaji berpuluh ribu sebulan, kenapa masih dirasakan tak mencukupi?
Kenapa masih resah gelisah dibebani hutang yang menimbun?
Kenapa selalu saja berasa kurang dan belum puas?
Tak lain tak bukan itu semua kerana nafsu,
Juga kerana hilangnya berkat dalam rezeki yang dikutip.

Bila aku dengar lagu Tegar yang baru : "PANTASKAH SYURGA UNTUKKU"
terasa terpukul dan tersentak. Menyentap jantung. Sinis dan mendalam.


Mengapa begitu berat 
jalankan segala perintah Mu
Begitu banyak rintangan
tuk mengarahkan wajah
bersujud kepadamu Tuhan
wooo ooo
Indahnya dunia ini
membuat orang terlena
Bekerja terus bekerja
Tak kenal waktu dan tak kenal lelah
hoooo
Gema adzan Subuh, aku lelap tertidur
Gema adzan Dhuhur, aku sibuk bekerja
Gema adzan Ashar, aku geluti dunia
Tuhan, pantaskah surga untukku
Gema adzan Subuh, aku lelap tertidur
Gema adzan Dhuhur, aku sibuk bekerja
Gema adzan Ashar, aku geluti dunia
Tuhan, pantaskah surga untukku
Gema adzan Maghrib, aku di perjalanan
Gema adzan Isya',lelah tubuhku Tuhan
Tak pernah lagi ku baca firman MU
Tuhan tolonglah hambamu uuhuu
Tuhan



Kita sibuk berbangga kerja kita itu ibadah, kerja mulia yang banyak membantu mempermudah urusan orang lain.
Tapi pada masa yang sama kita lupa menyimpan sedikit ruang untuk melaksanakan ibadah yang wajib apatah lagi sunat.
Alasan sibuk dengan kerja menjadi ayat paling kerap kita tuturkan. Alangkah tak malunya kita beralasan sebegitu pada Tuhan yang memberikan kita rezeki-Nya tanpa berkira sedikitpun dengan kita.

Solat itu sebenarnya terapi terbaik untuk kelelahan tubuh dan otak kita yang telah dipaksa beroperasi hampir sepanjang hari.
Tapi kita angkuh, kononnya mengganggu waktu produktif kita.
"Tunggu sebentar, aku mahu selesaikan tugas dulu, solat kemudian"

Dan solat ditangguh -tangguh hingga penghujung waktu malah kadang2 terlepas begitu sahaja tanpa apa-apa sebab yang darurat. Mudahnya kita.

Kekayaan harta , kadang2 ditukar ganti dengan hilangnya rasa tenang dalam hati, andai tiada berkat di sisi Ilahi.

Sungguh beruntung orang yang dilimpahkan rezeki dan harta kekayaan yang banyak, dan dia tak pernah lupa untuk bersyukur dan menunaikan kewajibannya sebagai orang yang berharta.



Firman Allah swt : 
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." 
(Surah Ibrahim Ayat 7)



Video "Pantaskah Syurga Untukku"





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 6 July 2013

Doodle Poster Ramadhan : Salam Ramdahan

Assalamualaikum...


Paint Tool Sai + Adobe Photoshop



























1 Ramadhan dah dekat, tapi belum tentu lagi kita sempat menyambutnya. Ajal maut boleh bertandang menjemput kita kembali kepada Sang Pencipta bila2 masa saja.

Tapi biarpun kita tak sempat biarlah kita sempat menzahirkan keterujaan dan kegembiraan kita menyambut bulah penuh barakah ini. Moga keghairahan itu Allah kira sebagai pahala :)

Azam kita, jadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan tahun2 sebelumnya. Kalau ada kekurangan dalam mengharungi Ramadhan tahun2 sebelum ini, biar kita tampung lompang2 itu kali ini.

Semoga tarbiyah Ramadhan mampu mengendurkan gejolak nafsu, mengekang keinginan2 dan kegilaan terhadap dunia yang akan hancur bila2 masa ini.

Kita, mungkin masih boleh menyambut Ramadan dengan senyuman dan kesenangan. Tapi kena ingat, terlampau ramai saudara2 seagama dengan kita di luar sana yang menyambut Ramadhan dengan air mata dan tumpahan darah. Mereka ditindas dan dizalimi musuh- musuh Allah.

Mari kita gunakan kesempatan mustajabnya doa di Bulan Ramadhan untuk mendoakan saudara seaqidah kita. Moga mereka tabah dan teguh melaungkan semboyan jihad. Moga bantuan Allah segera tiba.

Pergolakan dan peperangan ini,
adalah warkah cinta dari Allah,
untuk umat yang alpa, yang lalai,
untuk menjentik hati kita supaya sedar,
setelah terlalu lama diulit nyanyian dunia.

Biar iman tak seteguh Pejuang Badar,
Biar hati tak sesuci para Penakluk Konstantinopel,
Biar jiwa tak sehebat Mujahidin Al-Qassam,
Tapi semangat dan roh perjuangan mereka itu,
biarkan bertiup dan mengalir dalam hati kita,
Kerana Allah bersama dengan orang yang benar.

Doakan Palestin.
Doakan Rohingya,
Doakan Mesir,
Doakan Syiria,
Doakan untuk semua umat Islam.

Doakan MALAYSIA!


Entri Lepas :
MyPoster : Transformasi Ramadhan
Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday, 12 May 2013

Peti Ajaib yang Pandai Berbohong...

Assalamualaikum...

Dulu-dulu waktu kecik rumah aku takde TV macam rumah orang lain. Maklumlah bukan orang senang.
Last -last adala sorang pakcik aku ni sedekahkan TV dia yang lama, sebab dia beli yang baru.

Lebih kurang macam ni la rupanya.. TV hitam putih tanpa warna.


Bukak pun bukan selalu. Sebab mak marah, membazir letrik katanya. Ada masa-masa dan rancangan tertentu sahaja yang dibenarkan tengok.

Tapi entah kenapa aku rasa TV dulu lebih menenangkan, lebih selamat untuk ditonton.
Biarpun kurang menarik tanpa warna warni dan  bunyi yang canggih, tetapi "Peti Ajaib" ini lebih jujur berbicara.

Cerita-cerita yang dipaparkan selamat ditonton seisi keluarga, tidak perlu risau unsur keseksian yang keterlaluan dan ada pengajaran yang dapat dikutip, biarpun sedikit.
Kalau sesekali ada gambar yang sedikit seksi, serentak kami adik beradik tunduk ke bawah, tak sanggup dan malu untuk menontonnya. Comel kan ? haha

Bila tiba waktu Berita, mak ngan ayah aku memang akan tercongok di depan tv. Kadang2 aku tumpang sekaki.
Waktu itu, beritanya benar-benar berita, melaporkan isu dan kejadian yang berlaku di seluruh negara dan dunia.
Biarpun ada ketikanya wujud manipulasi, tetapi masih lagi terkawal. Biasalah tv nak tarik penonton.

Tapi hari ini semua dah berubah. TV makin canggih, warna makin cantik, bunyi lebih hebat.
Tapi sayang, isi penyampaian turut sama berubah.

TV, pemberi maklumat yang setia mula pandai berbohong. Sudah berubah.
Aku makin ragu dan hilang percaya padanya.
Mahu tonton cerita, perlu tapis dulu. Banyak unsur hina dan keji bergelumang dalamnya.
Ada rancangan, penuh dengan hiburan. Hedonisme disajikan sebagai makanan jiwa.

Menteri TV nyata pemalas buat kerja. Tiada tapisan dan garis panduan jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh  ditayangkan kepada umum. (nasib baik beliau dah tak jadi menteri tv lagi)

Berita? penuh pembohongan dan penipuan. Manipulasi dan provokasi menjadi bahan utama.
Penonton dimomokkan berita palsu membentuk persepsi janggal dan negatif.

Aku pun sudah lupa bila kali terakhir aku buka dan tonton tv terutama berita. Sudah terlalu lama.
Kecuali la kat kedai yang aku order nasi goreng dan air kopi ais tu pasang, terpaksalah tengok.

PETI AJAIB itu, makin hilang keajaibannya. Makin hilang wibawanya.
Tapi ada aku kisah? aku ada Peti lain yang lebih ajaib. Yang lebih pantas dan hebat. Cuma perlukan akal untuk menapis maklumat daripadanya.


Peti Ajaib yang baru. Lebih adil.
Tapi AWAS!! Ia tetap lebih berbahaya dan menakutkan, andai disalahguna.


(akhirnya berjaya update entri... huh)



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday, 24 April 2013

KELANTAN DARUL MISKIN



:: KELANTAN DARUL MISKIN ::.


Di negeri miskin itulah,
Mempunyai seorang Sultan, kesayangan rakyat.

Di negeri miskin itulah,
Seorang ulama' memimpin penuh hikmah.

Di negeri miskin itulah,
Jual beli dihentikan bila azan berkumandang..

Di negeri miskin itulah,
Selebriti wanita popular tanah air bertudung ayu..

Di negeri miskin itulah,
Berebut ibu ayah mendaftar anak di Maahad..

Di negeri miskin itulah,
Diperkenalkan sistem gadaian Islam Ar-Rahnu menolak riba..

Di negeri miskin itulah,
Kerja 5 hari seminggu mula berkuatkuasa..

Di negeri miskin itulah,
Hari Jumaat dijadikan hari menuntut ilmu agama..

Di negeri miskin itulah,
Cuti bersalin mula ditambah dari 40 ke 60 hari..

Di negeri miskin itulah,
Elaun Menteri Besar dipotong untuk Tabung Serambi Mekah..

Di negeri miskin itulah,
Amalan memberi cenderamata kepada pemimpin dihentikan..

Di negeri miskin itulah,
Waktu bekerja pada bulan Ramadhan dipendekkan..

Di negeri miskin itulah,
Cuti iddah diberikan khusus kepada kakitangan wanita yang kematian suami..

Di negeri miskin itulah,
Tak mungkin sekali kelihatan pawagam dan tempat hiburan..

Di negeri miskin itulah,
Papan tanda cara menjaga aurat ditayangkan..

Di negeri miskin itulah,
qaryah ramadhan dibina..

Di negeri miskin itulah,
Peringatan waktu solat di sepanjang jalan..

Di negeri miskin itulah,
Ramai orang mula mengenal Tuhan..

Di negeri miskin itulah,
Lahirnya tokoh-tokoh islam terkenal..

credit :Facebook 



Amanah dijunjung atas jemala
Laba dan rasuah bukan amalan
Pemimpin adil kita damba
Pemerintah berjiwa rakyat kita KEKALkan.




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday, 14 April 2013

Politik, manifesto, provokasi , fitnah , Pornografi dan kebodohan.




Parlimen Bubar. Gendang perang dipalu. Gegak gempita.
PRU-13. Manifesto dicanang. Kempen bermula.

Politik membosankan? Penuh kekotoran? Benci politik?
Apa pun pandangan kita terhadap dunia politik, kita kena akur bahawa apa yang kita kecapi hari ini hasil perjuangan memerah keringat politik generasi sebelum kita. Bermula pada zaman Rasulullah SAW  lagi.
Dan sekarang kita bersama generasi kini berjuang untuk kemakmuran dan kebaikan generasi mendatang.

Dulu-dulu, masa sekolah rendah dan menengah cikgu2 selalu pesan suruh tengok berita untuk tambah ilmu. Baca akhbar untuk dapatkan ilmu dan informasi.
Tapi itu dulu. Bukan hari ini. Hari ini media penuh dengan penipuan. Hiburan dan hedonisme.

Membentang manifesto. Sama ada manifesto asli atau cetak rompak, hasil logik akal atau selepas kajian terperinci, 3 jam atau 10 minit, janji , akurjanji mahupun gula2, memberi  peluang kepada seluruh rakyat menilai dan membuat perbandingan bijak yang mana lebih baik dan munasabah.

Aku? Takkan tertarik pada manifesto yang hanya menjanjikan imbuhan bersifat kapitalisme yang menyesakkan dada semata. Manifesto yang menjanjikan pengurangan kos sara hidup tampak lebih meyakinkan.

Budaya kempen kotor.

Cuma yang menjelikkan hari ini adalah budaya kotor dalam kempen. Fitnah, caci mencaci, maki- memaki, provokasi melampau, sabotaj, kelucahan,

Budaya mendedahkan dan menyebarkan aib peribadi, sama ada benar atau sekadar fitnah mula menjadi sinonim dalam kempen pilihanraya sejak siri pilihanraya yang lalu.
Dan pada kali ini lebih dahsyat.

Semata-mata untuk menjatuhkan lawan politik, video seks dan gambar lucah disebar di blog dan youtube yang boleh diakses bukan saja oleh golongan yang disasarkan malah anak2 remaja yang masih di bangku sekolah.

Seolah2 sengaja mahu menjadikan porno sebagai bahan makanan minda generasi muda.
Penyebaran porno ini satu jenayah sosial dan moral  yang bukan saja membahayakan karier politik orang2 yang disasarkan malah mampu merosak pemikiran anak2 muda generasi baru.

Generasi yang terbiasa dengan hiburan serta pornografi bakal melahirkan generasi bebal, bodoh dan tolol. Mereka akan menjadi kurang cakna dengan masalah –masalah umat. Fikiran menjadi pasif dan senang diperkotak- katikkan. Menjadi lembik dan payah bangkit bila kemungkaran perlu dicegah di depan mata.

Menjadi pak turut yang mengangguk dan mengiyakan sebarang kata. Mementingkan keseronokan dan kesenangan bersifat individualistik.

Pada zaman Mustapa kamal Ataturk di Turki, media2 digunakan untuk menyebarkan hiburan dan gambar2 perempuan seksi dan lucah supaya rakyatnya dilalaikan. supaya rakyat terlupa kezaliman pemerintah. supaya rakyat terleka dan hanyut, mudah diperbodoh dan kurang sensitiviti terhadap masalah ummat.
Dan situasi itu semakin menjadi di negara kita. Mahukah kita merelakan nasib Negara kita menjadi seperti Turki?

Jika benarlah seperti dakwaan bahawa orang yang dituduh dalam video2 seks itu bersalah, mari kita aminkan doa supaya yg bersalah itu tumbang demi kemaslahatan ummah, dan supaya Allah membalasnya dan diberi hukuman setimpal.

Tapi jika semua ini hnya fitnah, maka semoga Allah mengampunkan kita semua kerana buruk sangka serta bersubahat menyebarkan aib orang. semoga apa yg kita lakukan ini tak menyebabkan aib kita terselak sama.



Firman Allah yang bermaksud: 
"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." 
(Surah Al-Hujurat: Ayat 6)












"SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA BUDAYA POLITIK KOTOR, MAKI HAMUN, KAFIR MENGKAFIR DAN PORNOGRAFI"


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 1 March 2013

Anak Kecil Main Api (Versi Baru)

Assalamualaikum...

Virus kesibukan yang melanda aku 2-3 menjak ni menyebabkan mood mengupdate terbantut. Nak menconteng kat SAI n Photoshop pun hilang nafsu.

Tapi datang pulak mood memutarbelitkan lagu. Jadi sambil2 nak tido tu aku pun ubahsuai lirik lagu Anak Kecil Main Api... alaa lagu yg femes tuu... Yg tiap kali orang UMNO nyanyi mesti keluar air mata darah dan hingus hijau tu... ahaks.

Versi asal boleh rujuk SINI


Lirik diubahsuai supaya lebih seimbang dunia akhirat (ceh yela sangat)

Aku rasa dengan pengubahsuaian ini maka adalah lebih berbaloi untuk ahli2 Parti Politik Pro-Kerajaan, Pro-Pembangkang, calon Bebas, peserta perhimpunan, pelajar sekolah, mahasiswa universiti, peserta kursus motivasi, peserta PLKN, penyanyi2 lagu patriotik untuk menangis, meratap dan berkabung tiap kali menyanyi lagu ni.

Walaupun ayat yang aku gubah tu tak seindah yang asal tapi asalkan maksudnya sampai, lantakla.

Ok yang bawah ni versi heavy metal, seswai dinyanyikan kumpulan rock dan geng2 Black Mental :
ok, music pliss...

Anak gadis Melayu main cinta,
Terjerat hatinya yang sepi,
sperma berenang bercampur ovum,
Dara dijaga dirampas orang.


Datuk Nenek tua Bangka,
Tergadai seluruh emas permata
Akibat angkara si cucu derhaka,
Menjadi hamba dadah dan ganja.

(chorus)
Anak kecil Malaysia main iPad, 
Anak Melayu main nyanyi-nyanyi, 
Anak kecil Syiria main senjata api, 
Anak Palestin main hafal al-Quran.


Gendang perang sudah dipalu, gelombang perjuangan mengorak tari,
Arus perubahan ini, biarlah kita menjadi bahan pemangkinnya.







Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday, 31 January 2013

Argh.. sampahnya Drama dan Filem Melayu

ASSALAMUALAIKUM...




Skang ni tengah kecoh pasal sebuah drama terbitan Astro yg dikatakan mencemarkan imej islamik.
Aku tak heran pun. Sebab benda ni memang dah lama terjadi, Cuma orang je kurang perasan.

Dah lama cerita2 Melayu hilang identity ke Melayuannya, yg lebih sedih, hilang ciri ke Islamannya.
Cuma mungkin masih ada 2-3 cerita atau filem yang masih boleh dipertimbangkan untuk ditonton sesuai bagi tontonan sekeluarga.
Selebihnya SAMPAH. Jalan cerita SAMPAH. Nilai murni hampir ZERO. Kadang2 Cuma nak menonjolkan 1 jenis nilai murni tapi yang nilai KEJInya berlambak mengisi sepanjang tempoh tayangan.
 Ya, SAMPAH.
Dan tak keterlaluan menggelar penerbit filem dan pengarah sebegini sebagai tukang buat SAMPAH!

Memang, banyak filem Melayu yang boleh dikatakan agak tinggi kutipannya kebanyakannya juga SAMPAH.
Ko rasa filem Istanbul Aku Datang itu filem bagus? Maaf, aku tetap kategorikan sebagai sampah.
Aku tak Nampak cara hidup seorang wanita dan lelaki Islam yang cuba ditonjolkan dalam filem itu. Istanbul, bumi yg pernah bersinar gemilang dengan syiar Islam suatu masa dulu dijadikan latar bagi sebuah filem Cinta Romantik dengan jalan cerita yang aku kira level biasa. Cerita adaptasi drama Korea. Idea celup.

Korang rasa Filem Rempit, Bohsia itu bagus dan banyak menginsafkan Mat Rempit dan Bohsia di luar sana? Tak mungkin! Malah tak keterlaluan aku katakan ianya semakin menggalakkan kearah itu.
Buktinya? Anak2 remaja di bangku sekolah mula terikut2 bahasa rempit dan bohsia yang dituturkan dalam filem tersebut.

Tak payahlah berangan nak menyampaikan mesej baik melalui filem dan drama jika sekadar aksi 5 minit-10 minit itu yang dikatakan memberi pengajaran. Itupun dah sampai ending baru ada pengajaran. Lagi baki 1 jam lebih? SAMPAH.

Sama ada filem itu bercorak ISLAMIK ataupun tidak, sama saja. Andainya apa yang dipaparkan hanya pelakon sendat yang tak menutup aurat, atau pelakon bertudung tapi bergesel sana sini, apa bezanya?

Kita hanya reti melenting hanya bila ada filem corak Islamik tapi tak Islamik tingkah lakunya. Sebenarnya kebangangan ini dah lama berlaku. Cuma kita menganggapnya biasa. Terpaku di depan kaca TV tanpa mengira masa.

Filem dan drama Melayu dibuat secara cincai dan ala kadar. Sekadar memenuhi selera penonton. Tiada kajian terperinci dan nilai ilmiah untuk dibincangkan.
Hanya mengulang idea lapuk yang dirasakan mampu menarik hati penonton, BIAR BANGANG ASAL UNTUNG.

Kepada Tukang buat SAMPAH yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, berhentilah. Bumi ini sudah cukup tercemar dengan pelbagai pencemaran.
Apa nak dibanggakan kutipan berjuta jika kantung dosa lebih cepat penuh berisi berbanding kantung pahala? Atau memang dah lama korang mengabaikan konsep dosa pahala ini? Heh, patutlah.

Aku, dah lama kecewa dengan filem Melayu. Bukan kerana aksi dan grafiknya yang tak standing Negara luar. Bukan sebab tu. Tapi nilai moralnya yang telah lama diabaikan.
Ah, rindu pulak drama dan filem dulu2. Biar hitam putih tapi mesejnya sampai.







Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 26 January 2013

Segmen : Saya Blogger Negeri .......

Assalamualaikum..

Dah lama aku tengok segmen ni baru terfikir nak join sebab baru je terlepas dari hari2 yg menyibukkan.



Asal : KELANTAN

Ada Apa dengan Kelantan?

Kelantan ni negeri yang sentiasa heboh dengan kontroversi (kat media massa, elektronik dan media cetak) walaupun pada hakikatnya negeri ni amatlah aman dan damai.

Kelantan ni kalau korang datang "INDAH RUPA DARI KHABAR". Walaupun dicop negeri termiskin oleh... eh sapa ye yg cop tu? kehkeh...

Skang ni banyak kawasan tengah dimajukan dengan kewujudan bandar2 satelit. Shopping kompleks pun makin banyak.

Aku tinggal area KETEREH, yg kat pekannya tu ada tugu/arca buah gajus (buah tere) besar gedabak tu haa.

Kat Kelantan ni femes dengan Tuan Guru Nik Aziz, bukan sebab beliau Menteri Besar tapi juga merangkap guru agama.

Kat sini jugak ada RED WARRIORS yang menang treble tahun lepas tp tahun ni tengah trouble ngan masalah ketumpulan barisan hadapan. hoho.

Makanan? Nasi kerabu, nasi dagang, Nasi Kak Wok, budu... banyak lagi. Aku ni jenis perut kelate, kalau masuk makanan lain payah sikit nak telan.  Kalau bermnastautin negeri mana2 pun kena cari masakan Kelantan baru ada selera besar sket :P

cukup le tu. panjang org menyampah pulak. Tamat.

Tag oghe Kelate jugok :
3noGreeny
AminAizuddin



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 12 January 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 vs Kejatuhan Blog aku...

Assalamualaikum...

Hari ni 12 Jan 2013... satu peristiwa besar yg bakal tercatat dalam sejarah negara kita sedang berlangsung...

Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112.... puluhan malah mungkin ratusan ribu rakyat berkumpul untuk menyuarakan ketidakpuasan hati, melaungkan apa yang terpendam selama ini...

Semoga semuanya lancar tanpa provokasi dan sebarang keganasan.

maklumat lengkap www.malaysiakini.com



Tapi... hari ni jugak satu peristiwa besar berlaku kat blog Ilusi Dunia ni...
Blog ini TELAH DIPROVOKASI!!! huh... *tunduk pandang lantai.

Korang bleh nampak tak header kat atas tu? ada ke takde? ke aku sorang je yang takleh view header blog sendiri dan semua gambar yang aku upload dengan penuh kasih sayang selama ini hilang lenyap camtu je...

Untuk pengetahuan anda, imej atau gambar seakan simbol "no entry" kat header tu bukanlah header terbaru aku, melainkan gambar asal header tu telah hilang tanpa dpt dikesan.

Rasanya masalah kat picasa web album.. ke ada kemungkinan lain?

kalau ada sesapa yg boleh bantu, mohon salurkan sumbangan ke akaun 100029826635.... eh silap. mohon salurkan idea bernas kat dalam ruangan komen.

testing upload gambar :

ada tak gambar? ada tak?

*tengah stress skang. duduk bersandar di penjuru bilik sambil menguis2 jari kaki. Ya, aku mula faham apa perasaan orng pompuan yg mengalami sindrom PMS... eh takde kaitan.

HKR KL112 pun takde kaitan dengan kehilangan gambar dan imej dalam blog ni. harap maklum.


- terpaksa upload semula gambar2 dlm entri lama. banyak wooo... nk tengok lepas ni kalau masalah yang sama berulang terpaksa la guna plan B -_-!
kalau plan B pun tak berhasil, jgn risau, ada bnyak lagi abjad C,D,E,F......sampai Z yang boleh digunakan.. haha




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Monday, 31 December 2012

Ambang 2013 : Negaraku Malaysia

Assalamualaikum...


2012. Sekelip mata berlalu.  




2013 menjelma. Bermakna baki umur yang dipinjamkan kepada kita berkurang setahun lagi.
Kalaulah Allah membuka hijab dan kita mampu menyemak baki umur kita… sepertimana kita menyemak baki top up telefon, maka huru haralah dunia.
Mereka yang berasa masih banyak masa yang tinggal akan melakukan segala jenis kejahatan dan mencuba segala jenis keseronokan dunia. Merancang bertaubat hanya bila sampai hujung waktu.
Maka, biarlah ajal maut itu menjadi salah satu rahsia Allah. Hikmah kebijaksanaan  percaturan Allah terhadap hamba-Nya.
Ramai mula menghitung hari, tidak sabar mahu menyambut ketibaan detik ambang 2013. Kononnya dengan azam dan semangat baru.
Betapa ramai juga menyesali pemergian 2012 akibat janji yang terbengkalai, azam yang tak kesampaian.
Detik dan waktu tak akan pernah terhenti putarannya. Meninggalkan mereka yang lambat terkapai-kapai kelemasan.

2012 menyimpan kenangan suka dukanya sendiri. Setia menjadi pemerhati dan pencatat sejarah dunia.
Andai 2013 menjadi titik noktah kehidupan kita, berdoalah supaya dimatikan dalam kebaikan, dalam keimanan, dalam rahmat-Nya.

Ambang 2013. Malaysia.
Stesen TV berlumba-lumba menyiarkan rancangan menarik dan hiburan tanpa henti.
Stesen radio memutarkan lagu-lagu bagaikan marathon tanpa penamat.
Konsert dan hiburan diluluskan segenap ceruk Negara. Artis dan ikon tanah air sibuk dengan jadual padat undangan persembahan konsert ambang Tahun Baru.
Remaja –remaja tonggak Negara teruja dengan keseronokan dan kemeriahan sambutan Tahun Baru.
Ibu-ibu mengandung berikhtiar mahu melahirkan anak mereka pada 1.1.2013.
Pelesit-pelesit jalanan bersemangat mahu mempertaruhkan nyawa di jalan raya di malam Tahun Baru.
Kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk sambutan Tahun Baru. Memeriahkan suasana dengan persembahan bunga api berwarna warni.
Pasangan-pasangan couple bercangkerama sebebas-bebasnya. Tanpa mempedulikan operasi serbuan pencegah maksiat yang tak cukup tangan.
Benih-benih haram hasil perzinaan juga banyak yang bakal bercambah pada malam ini.

Semoga Negara tercinta ini dilindungi Allah dari sebarang bencana.

Tapi dengarnya banyak juga program keagamaan dan ceramah sempena Sambutan Tahun Baru. Pilihlah mana yang dirasakan baik.
Kalau malas, duduk je kat rumah, main game lagi bagus.

2013. Moga membawa sinar baru.  
2013. Semoga kita lebih banyak menangis berbanding tertawa. Menangisi keterlanjuran dosa dan kekhilafan sebagai seorang hamba.

Selamat Tahun Baru 2013...

Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...