(entri tertunggak 3 hari sebab takde internet -_-)
(AWAS! ini
entri agak panjang dan agak serius. Tiada unsur hiburan dan mungkin
membosankan)
55 Tahun
yang lalu, Tanah Melayu telah diisytiharkan merdeka daripada sebarang
penjajahan. Dan sejak tarikh keramat itu, saban tahun kita menyambut Hari
Kebangsaan pada setiap 31 Ogos penuh gilang gemilang.
Err, intro
tu mengingatkan aku time skolah dulu. Cam intro untuk buat karangan esei 350
patah perkataan tu.
55 tahun.
Bukan satu tempoh yang sekejap. Bermacam jenis peristiwa pahit manis terpalit
dalam lipatan sejarah negara kita yang tercinta ni.
55 tahun tu
sebenarnya dah cukup tua, cukup matang, kalau kerja kerajaan tu dah pencen dah,
sebelum umur pencen dilanjutkan ke umur 60 tahun laa. Namun, Malaysia tetap
teguh berdiri, mengorak langkah maju ke hadapan.
Setiap tahun
kita melaungkan laungan kemerdekaan penuh lantang dan semangat, mengibarkan
jalur gemilang di segenap pelosok dan penjuru bangunan dan tempat, sama-sama
ikut berarak dan menyaksikan perarakan penuh bangga.
Tapi, berapa
ramai yang betul-betul menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan? Erti sebenar
sebuah kebebasan? Erti sebenar sebuah keamanan?
Nama
Malaysia semakin gah di persada antarabangsa, semakin harum dengan pelbagai
kejayaan yang tercipta dan dicapai.
Namun, dalam
keghairahan mengejar kemegahan dan kemasyhuran, ramai mula lupa perit dan
payahnya usaha mendapatkan kemerdekaan ini. Darah dan air mata yang tumpah
hasil perjuangan nenek moyang kita sedikit demi sedikit makin dilupakan
nilainya.
Tengoklah sendiri,
setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, sambutannya sangat gah dan meriah, tapi
semangat dan auranya bagaikan tiada erti.
Ramai yang
terpesong daripada tujuan sebenar sambutan hari Kemerdekaan. Kini ianya hanya
bagaikan pesta dan parti untuk bersuka ria.
Entahla, kat
mana silapnya. Tiap kali ambang kemerdekaan, maksiat berleluasa. Perkara dan
perilaku jahiliyyah bermaharajalela. Terutamanya di kalangan golongan muda dan
remaja.
KITA TELAH LAMA MERDEKA JASAD, NAMUN MINDA
SEMAKIN LAMA SEMAKIN TERJAJAH.
Mungkin kita
tak sedar, sedikit demi sedikit budaya dan nilai-nilai murni yang menjadi
pegangan dan amalan kita semakin terhakis dan pudar. Hilangnya berkadar
songsang dengan kadar kemajuan dan pembangunan yang terhasil.
Di kaca
televisyen pun tak kurang hebatnya, tayangan sempena Hari Kemerdekaan pun sangat
kurang unsur patriotiknya. Yang banyak berunsurkan hiburan dan rancangan bodoh
yang tak membina minda.
Konsert dan
pesta dah macam sinonim dengan sambutan kemerdekaan. Apalah sangat sumbangan
artis-artis ni dalam pembangunan dan kemajuan negara sampai didewa-dewakan
setiap kali sambutan Kemerdekaan?
Pejuang-pejuang
dan keluarga mereka masih ramai yang terpinggir tanpa pembelaan sewajarnya. Tapi
yang mendapat nama adalah generasi pemimpin yang hanya pandai berteori dan
membodek.
Kita perlu merdeka sekali lagi.
Merdeka
dalam erti kata sebenar. Merdeka dari segala aspek fizikal dan minda.
Merdeka
bukanlah kebebasan melakukan apa sahaja. Bukanlah bebas berbuat sesuka hati
kononnya ini negara milik kita. Negara ini bukan milik kita seorang, bukan
milik parti pemerintah, bukan milik satu kaum sahaja. Ini negara kita semua.
Kenapa perlu
kita musnahkan kemerdekaan ini dengan budaya sampah yang bukan amalan kita?
Yang bertentangan dengan prinsip rukun negara kita? Yang bertentangan dengan
prinsip Agama rasmi kita?
Kita mengaku
Islam sebagai agama rasmi, tapi belum mampu membebaskan sistem kehidupan daripada
amalan dan cara hidup yang bertentangan
dengan ajaran yang disyariatkan.
Kita menjadi Hamba di Bumi merdeka
Kita
merdeka, tapi masih menjadi hamba. Hamba kepada sistem ekonomi kapitalisme yang
menyesakkan hidup. Sehingga menyekat kelancaran kehidupan normal kita sebagai
seorang warganegara. Sistem ekonomi yang mementingkan keuntungan melebihi
segalanya. Biarpun terpaksa melanggar etika cara hidup bersyariat, mencabuli
hak saudara seagama kita.
Kita menjadi
hamba kepada hedonisme. Hamba kepada nafsu yang selalu ingin berhibur. Artis
dipuja. Budaya daripada Barat diagungkan.
Yang
terbaru, serangan dari Timur sendiri. Budaya K-Pop tiba-tiba menjadi virus
menggila. Biarpun budaya itu dari Timur, tapi dari awal telah dicemari anasir
luar. Sampai menteri pun gila k-pop,
kononnya berjiwa rakyat. Falsampah pemikiran kurang matang yang tak selayaknya
ada dalam kepala otak seorang pemimpin bangsa.
Kita perlu
merdeka daripada budaya politik kurang matang, budaya fitnah memfitnah, kutuk
mengutuk, mengaibkan seseorang atas kepentingan tertentu. Kita perlukan pentas
politik sihat yang menggunakan hujah, fakta dan bukti nyata. Debat adalah
contoh perkembangan budaya politik matang. Biarpun ada yang menganggap ia bukan
budaya kita.
Malaysia
perlu bebas daripada rasuah. Negara tak akan bankrap hanya kerana mementingkan
kebajikan rakyat. Tapi percayalah, negara akan muflis jika pemimpin yang korup
dan kaki rasuah yang mentadbir negara. Yang hanya mengaut kekayaan negara ke
dalam kantung poket sendiri. Kekayaan untuk kroni dan kaki bodek.
Masih ada
masa, ruang dan peluang untuk kita membebaskan diri dari belenggu perhambaan
ini. Belenggu penjajahan bentuk moden. Senyap, halus penuh berstrategi. Cukup
tersusun dan terancang. Yang mahu melihat kita terus lalai, lemah dan hanyut
tanpa sedar.
Ini negara
kita, jangan kita turut sama menjadi sebahagian yang merosakkan dan
menghancurkan apa yang kita kecapi selama ini.
Kita berhak
mengubahnya untuk kehidupan yang lebih baik dan diberkati. Insya-Allah.
Entri
berkaitan :
Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)