Thursday 2 October 2014

Design Sticker yang penuh dengan kasih sayang.

Assalamualaikum..

Tajuk tu boleh menimbulkan syak wasangka betul, haha.
Aku cuma nak kongsi idea dan design yang boleh digunakan dan telah aku gunakan dalam kelas.

Bukan sebagai BBM (Bahan Bantu Mengajar) tapi lebih kepada tanda penghargaan dan motivasi.

Almaklumlah aku mengajar subjek yang paling kerap menghampakan dan meninggalkan trauma kepada pelajar2 sekolah se-Malaysia iaitu Matematik Tambahan.

Jadi budak2 kena sentiasa disuntik dengan sejenis ubat atau vaksin yg dikenali sebagai "kata-kata semangat" atau "motivasi"

Jadi apa yang aku buat adalah menggunakan sedikit kemahiran mendesign yang selama ini dijadikan hobi untuk menghasilkan sticker.

Lebih kurang camni laa...

Design untuk lelaki malas buat banyak2 sebab sangat jarang budak lelaki yang layak dapat sticker ni. 

Design boleh dibuat dalam Adobe Photoshop (lukis kartun dalam Paint Tool SAI) dan print pakai printer biasa atas kertas sticker yang boleh didapati di kedai2 alat tulis yang berdekatan.

Aku design, aku jugak tukang print, merangkap tukang potong (pakai gunting) dan juga sebagai tukang tampal kat buku latihan student.
Nampak tak kasih sayang yang mencurah-curah bagaikan limpahan coklat ke ladang gandum?

Bayangkan kalau orang serajin ni jadi menantu atau bakal suami? eh eh... tetibe. Mohon abaikan.


Contoh kegunaan , ditampal pd buku latihan pelajar yang lengkap, menarik, kemas dan terbaik.


Untuk menambah ke"eksaited"an maka aku tambah satu lagi design sticker. 
Sticker "BEST OF THE BEST"


Sticker "BEST OF THE BEST" ni ditampal pada cover depan buku latihan. Hanya student yang telah mengumpul 5 Sticker "EXCELLENT" yang layak mendapat sticker ni.

Rasanya dah beratus keping sticker yang digunakan untuk tahun ni. Boleh tahan penat la nak gunting ikut shape bulatan tu. Nak tempah macam leceh la pulak. Kalau kurang tak cukup pulak, kalau lebih macam membazir.

Biasanya cikgu2 lain gunakan rubber stamp yg ada tulisan dan corak tapi macam tak berapa best dan design takleh nak warna warni jadi aku buat keputusan untuk buat sendiri.

Mungkin entri ni boleh bagi idea sket2 kepada mereka yang tengah mencari alternatif untuk dilaksanakan dalam kelas.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Tuesday 12 August 2014

DOODLE: KNOWLEDGE IS POWER!

Assalamualaikum...

Lamanya tak update blog (cesss.. tulah ayat ngko tiap kali update blog. Pemalas!)

Dah jarang menulis ni dah terkial-kial nak taip panjang -panjang. So aku ringkaskan entri ni.
Biar lukisan yang berbicara, terjemahkan ikut kefahaman sendiri. (Alasan malas menaip)

Lukisan dudel ni pun dah sebulan lebih terperap dlm sketchbook. Mood melukis pakai tablet pulak dah memang tak muncul2 semula dah. Entah2 dah rosak dah benda tu...


Sketch pakai pensel, inking pakai Pen Artline dan Pilot.








Walaupun masih belum berpuas hati, tapi harap2 mesejnya sampai.

Berpinar bijik mata sebab tak biasa lukis banyak2 benda macam tu..

Ilmu.. sehebat mana pun kita, setinggi mana pun sijil dan kelulusan, kalau tak membawa kita tunduk dan sujud kepada Tuhan Pemilik Segala Ilmu... maka sia-sialah semuanya.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday 6 July 2014

Puasa Si Miskin VS Puasa Si Kaya













Puasa Si miskin,
Sahurnya alas perut, sekadar tuntutan Sunnah.
Puasa Si kaya,
Sahurnya memenuhkan perut, bimbang kelaparan tak larat melangkah.

Puasa Si miskin,
Seperti hari-hari biasa, makanannya dicatu
Puasa Si kaya,
Lebih daripada biasa, juadah istimewa membangkitkan nafsu.

Puasa Si miskin,
Berbukanya tertanya-tanya, mahu makan apa.
Puasa Si kaya,
Berbukanya berkira-kira, mahu makan  di mana.

Puasa Si miskin,
Bukan hanya sebulan Ramadhan, tapi sepanjang tahun
Puasa Si kaya,
Laparnya sekejap, kenyangnya berpanjangan

Puasa Si miskin,
Di madrasah Ramadhan mereka berzikir,
Puasa Si kaya,
Di bazar Ramadhan mereka membazir.

Puasa Si miskin,
Tak pernah risau akan kelaparan
Puasa Si kaya,
Selalu kebimbangan diet yang terancam.

Puasa Si miskin,
Menjadikannya kuat, lebih sihat
Puasa Si kaya,
Memaksa sistem pencernaannya lebih penat.

Puasa Si miskin,
Tak pernah mati dek kelaparan
Puasa Si kaya,
Selalu mati kerana kekenyangan.

Puasa Si miskin,
Lebih indah jika ada yang berempati
Puasa Si kaya,
Lebih barakah jika tangannya memberi.


*Tapi bagaimana mahu bersedekah, kalau menghulur dianggap jenayah? Opsss mohon jangan jadikan alasan

Puasa Si Mukmin,
Mendekatkan dirinya kepada Tuhan,
Puasa yang bermuka- muka,
Menambah kemurkaan Tuhan.




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday 27 June 2014

Ilmu Tentang Ramadhan yang Patut Kita Pelajari

Assalamualaikum...

Kat sini aku cuma nak kongsikan beberapa majalah yang biasa aku beli dan kebetulan pulak sempena Ramadhan ni ada artikel dan tulisan khas mengenai Ramadhan.

1. Majalah SOLUSI (isu 69)
Harga : RM 10/ RM 12 (Sbh Srwk)
Majalah ni memang wajib beli tiap bulan. Isi kandungannya memang best dan menarik.


2. Majalah i
Harga RM9.90
Terkejut tengok Majalah i tetibe jadi tebal, rupanya edisi istimewa Ramadhan.
Yang ni pun majalah wajib beli tiap bulan.



3. Majalah al-Ustaz isu 27
Harga RM 9 (sem. M'sia)
Yang ni pun In Sya Allah akan dijadikan majalah wajib beli jugak (bergantung budget -_-)


4. Majalah Q&A isu 31
Harga : RM 8 (Sem M'sia)
Majalah ni pun best cuma biasanya time beli tengok tajuk utama. Kalau belum dikupas dalam Majalah Solusi atau Majalah i baru beli. Save budget



5. Majalah i SIHAT isu 81
Harga : RM 5.50 (Sem. M'sia)
Majalah ni beli time tajuk2 yang best je.


6. Al- Qur'an tafsir per kata (Tafsir dan terjemahan Bahasa Melayu)
Harga : Lupa (RM 100++) lama dah beli
Al-Quran wajib ada bagi setiap orang. Yang biasa pun dah ok.
Yang ni best sebab ada terjemahan per kata. Pastu ada tafsir dan huraian asbabun Nuzul. Ada disertakan juga doa2 yang dipetik daripada ayat al-Quran dan hadis.
Nak belajar tajwid pun mudah sebab tanda barisnya berwarna warni ikut hukum bacaan dan tajwid.



Sebenarnya banyak lagi majalah2 lain yang best dan ada pengisian tentang Ramadhan, cuma aku tak beli. Kang banyak2 tapi tak baca tak guna jugak.
Contohnya majalah Asuh, Jom dan Gen-Q. Kalau ada lagi korang boleh cadang kat ruangan komen.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday 26 June 2014

Poster :Berkawan sampai ke Syurga?

Assalamualaikum...

Fuuh kemain lama tak update, nasib baik tak lupa password je.
Lukisan ni pun dah lama peram dalam sketchbook baru ada masa nak update.



Kita selalu dengar orang kata “Friend till jannah” atau “harap kita kekal berkawan sampai ke syurga” atau “saya sayang kawan saya kerana Allah”.
Tapi kebanyakan kata-kata tu tak selari dengan perbuatan.
Mulut kata nak ke Syurga tapi bila lepak atau bersama dengan kengkawan yang kononnya nak masuk syurga bersama-sama tu biasanya untuk buat perkara yang tak berfaedah atau membuang masa.

Anehnya juga bila kawan buat salah atau maksiat tak pernah ditegur.
Pelik juga bila berbuat baik tak pernah diajak kawan tu bersama.
Mungkin ayat tu dituturkan semata kerana bunyinya indah, cool dan menyenangkan.

Aku pun bukannya seorang sahabat yang baik, yang mampu menjadi contoh yang baik kepada orang lain.
Tapi Alhamdulillah Allah izinkan aku mempunyai ramai kawan yang baik terutamanya kawan waktu zaman sekolah menengah.
Sebab tu sampai sekarang kitorang masih lagi berhubung dan sedaya upaya akan rancang program reunion tiap kali waktu yang kebetulannya ramai yang cuti.

Kawan yang baik, bila kita bersama-sama dengan mereka, kita akan rasa malu untuk melakukan benda-benda jahat/maksiat yang biasa kita lakukan masa berseorangan atau dengan orang lain.
Atau membuatkan kita lebih semangat untuk berbuat kebaikan.

Kawan yang kurang baik, kita masih lagi buat perkara buruk  time bersama dengan diorang walaupun kawan tu tak ikut sekali buat benda yang sama.

Kawan yang tak berguna adalah bila kita bersama diorang kita jadi lebih berani melakukan perkara jahat atau maksiat kerana dorongan dan ajakan mereka.

Ramai antara kita mengaku kawan padahal dalam masa yang sama bertindak sebagai perosak yang menjahanamkan kawan.
Kononnya sama-sama buat perkara rare dan pelik2 dan gila-gila itu tanda sehati sejiwa member kamceng sampai mati. Pastu sembang kencang friends till jannah.
Kadang-kadang mulut cakap till jannah, tapi perangai macam sama-sama nak till jahannam.
Moga dijauhkan. Nauzubillahi min zaalik.

Mungkin ramai yang akan kata, susah nak dapat kawan jenis yang pertama tu (kawan yang baik).. nak jumpa memang susah kononnya jenis macam ni spesies yang hampir pupus.
Petuanya senang sahaja, kalau kita nak jadi baik, kita niatkan nak jadi baik, dan in sya Allah , Allah akan hantar orang yang baik- baik untuk membantu kita jadi baik.

Kalau dah mulut asyik kutuk orang , suka gosip cakap mencarut mestilah kita pun akan cari geng yang lebih kurang sama perangai macam kita jugak kan?
Kalau ada member yang cakap sopan berbudi bahasa konfem orang jenis mulut gosip ni akan rasa macam serba tak kena dan akan blah cepat2. Jadi macam mana korang nak dapat kawan yang baik kalau sentiasa lari dari diorang?

Dan kalau memang susah sangat nak cari kawan yang baik, apa kata kita je yang jadi jenis kawan yang baik tu?
Biarlah kalau ada orang duduk dekat dengan kita, diorang rasa segan nak buat jahat.
Aku pun ramai kawan yang jenis liat solat atau jenis tangan liar atau nakal ni.
Tapi sekurang-kurangnya diorang reti hormat kita bila berada bersama kita dan tak buat perkara yang diorang biasa buat kerana segan dengan kita.

Kawan yang paling lahazelnut perangainya adalah yang jenis suka cabar member buat benda jahat.
Contoh :
“Kalau ko nak geng ngan kitorang ko kena try rokok ni sebatang”

“Apa barang takde awek, kalau jantan ko pegi tackle minah tu sekarang, baru kitorang respek”

“Nak join kitorang, tukar nama hujung jadi Evan’s ke, Hudson ke, Vienna ke, baru kelasss!” (ok yang ni merapu)

“Kalau ko boleh wheelie 13 batang tiang letrik baru kitorang mengaku ko kawan kitorang”

Kalau kita tak cukup kuat, cepat2lah tinggalkan orang macam ni. Takde kawan pun takpelah.

Jadi carilah kawan yang berilmu yang suka beri nasihat.
Atau berkawanlah dengan orang yang kurang ilmu, tapi mampu terima nasihat.

Kalau nak berkawan sampai ke Syurga, berakhlaklah seperti seorang calon ahli Syurga.

 Dari Abu Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu Ta'ala 'Anhu, pembantu Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, dari Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, beliau bersabda:  "Tidak beriman salah seorang kalian sampai dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri."
(HR. Bukhari dan Muslim)




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday 21 May 2014

PANDA yang bertuah

Assalamualaikum..

Sempena Hari Panda SeMalaysia hari ni, aku secara tak sengaja terconteng makhluk ni ...



Rintihan seorang pakcik duda beranak lapan penoreh getah hujung kampung:

Untunglah ko Panda, ramai orang sayang,
Makan minum kau mewah, ada orang jaga, aku? kriik kriik kriik
Rumah besar ada air-cond,  (jeling kipas berhabuk bunyi kriuk kriuk berpusing lelah atas siling)
Orang sanggup habiskan berjuta-juta untuk ko... (ekor mata melirik bil-bil letrik dan air tertunggak berbulan-bulan)
Ko warga asing, tapi diberi kelebihan berbanding aku anak peribumi..
kenapa Panda? kenapa?
Akhirnya pakcik terlelap bersama mimpi ngeri dihambat bil-bil hutang yang tiba-tiba tumbuh kaki berlari mengejar.


Kata Panda:

eh yang ko jeles sangat dengan aku tu apsal?
Aku lambang perhubungan diplomatik dua negara,
Aku simbol persahabatan yang akrab.
Kau apa ada?
Tahu komplen je.
BR1M kan adooo..


Ok. Aku takde apa-apa.


p/s : Percayalah! Kedatangan Panda ke negara kita sangat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. Kenapa? Sebab sekarang kita tak lagi perlu membayar mahal2 untuk ke luar negara semata2 nak tengok Panda. Bercukurlah! eh bersyukurlah !!

Mohon jangan ada yang komen racis dan bersifat perkauman seperti " hantar balik Panda ke negara asal! ini Tanah untuk Melayu je!"



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday 8 May 2014

Upacara Menguburkan azam yang berkecai...

Assalamualaikum...

Pantas sungguh masa berlalu. Dah masuk bulan ke-5 dalam kalendar 2014.
Makin lama makin pemalas pulak aku update blog ni. Hangat -hangat taik lembu sungguh perangai aku.


Berbekalkan bukti printscreen kat atas tu, maka dengan ini aku mengisytiharkan berkecainya dan terkuburnya salah satu AZAM TAHUN 2014 aku.
Azam yang satu ni aku tanam senyap2 awal tahun hari tu sebab tak berapa nak percaya kat diri sendiri.

Sekarang dah terbukti. Azam aku untuk mengupdate paling kurang 5 entri setiap bulan secara istiqamah dan konsisten nampaknya tak terlaksana. Bulan Mac 3 entri. Bulan April berlalu tanpa secebis nukilan.

Alasan : Bulan Mac dan April adalah bulan klimaks kesibukan setiap tahun. Tapi nampaknya tahun ni kesibukan tu akan lebih berpanjangan dengan bertambahnya amanah yang terpaksa dipikul. sobs sobs.

Entri ringkas ni cuma nak mengisytiharkan bahawa aku masih hidup. Jangan nak sibuk berebut harta pusaka. Belum masa korang buat majlis tahlil untuk aku. Teruskan saja doa yang baik-baik supaya aku baik- baik saja.


Moga manfaat yang masih tersisa dari blog ini masih mampu dipergunakan sampai ke kuota broadband yg terakhir.

Ah, tapi kalau aku benar-benar mati nanti... sila sedekahkan doa banyak-banyak. Aku tak rasa dengan amal aku yang sikit ni mampu bawa aku ke Syurga. Masih mengharap rahmat Tuhan.


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday 29 March 2014

GiveAway Contest Gila Buasir Otak: Artikel Pilihan

Assalamualaikum..

Nampak macam best je contest ni. Mudah pun mudah.


Memandangkan takde idea baru sekarang ni, jadi aku cuma kongsikan balik artikel dan artwork lama aku.
Sebab dalam syarat membenarkan asalkan karya original.

Original tu memang original, tapi kalau search kat Google mungkin ada la jumpa kat blog atau page orang lain, sebab aku tengok ada yg copy paste aku punya kartun ni. Tapi takpe memang untuk dikongsikan pun.

Situasi yang cuba aku gambarkan melalui lukisan kat atas tu bukanlah bermaksud perempuan yang seksi dan seksa ni langsung tak layak dibuat isteri. Tak, bukan camtu.

Cuma daripada apa yang aku perhati dan alami, hampir semua orang menginginkan pasangan hidup yang baik atau sekurang-kurangnya lebih baik daripada diri mereka sendiri.

Walaupun seorang Mat Rempit yang tiada hala tuju, tetap menginginkan..... (entri penuh di sini)



GiveAway Contest ini berjalan selama 2 minggu dan akan ditutup pada  
- Sabtu, 5 April 2014 jam 11.59 malam.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday 26 March 2014

Untuk Apa Aku MELUKIS?

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, setelah berbulan-bulan aku peram tablet Graphic Genius Easypen M610X akhirnya tergerak hati untuk serius menghasilkan satu artwork menggunakan tablet tu.
Artwork ni 100% terhasil kombinasi graphic tablet + Paint Tool SAI. Kecuali teks dan efek cahaya bersinar tu.

Aku gunakan gambar ni sebagai header blog yang baru


Cantik tak cantik itu perkara kedua. Yang penting mesej yang aku cuba bincangkan.

Sejak dua tiga menjak ni, aku percaya ramai orang perasan tumbuhnya pelukis-pelukis dan pendoodle sama ada kategori traditional art atau digital art  macam tumbuhnya kangkung di tepi paya. Cepat dan banyak. Er, faham tak maksud aku? Maknanya pelukis baru yg berbakat besar sangat ramai kat Malaysia ni.

Cuma agak menyedihkan, sama ada pelukis baru atau lama masih lagi gagal membebaskan diri dari belenggu pemikiran yang membejatkan kreativiti dalam menyampaikan mesej melalui lukisan.
Straight to da point, pelukis-pelukis komik, poster, doodle, kartun dan seumpamanya masih gagal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai orang ISLAM.

Sepatutnya karya seorang Islam mesti bercirikan Islam, beridentitikan kemurnian dan kecantikan seni Islam. Bukannya aku nak suruh lukis orang pakai jubah serban niqab berlatarkan masjid dan unta sepanjang masa. Jangan jumud dan tipikal sangat boleh tak?

Tengok sahaja majalah kartun tempatan, masih lagi terikat style lama, iaitu lawak semata-mata. Lebih tepat lawak bodoh tanpa pengajaran. Atau sekadar cerita yang tidak boleh dijadikan iktibar. Tapi beberapa tahun ni dah mula ada perkembangan ke arah yang sangat positif. Ana Muslim, Muslim Teens, Asuh, Kembara Ustaz dan Misi 10A antara contoh yang baik. Banyak lagi sebenarnya.

Pelukis potret, masih lagi melukis dan mengambil tempahan dari pelanggan yang tak menutup aurat dan agak terdedah pemakaiannya. Mungkin upahnya yang dikejar, tapi jangan lupa berkatnya juga tak kurang pentingnya.

Pelukis dan pereka fesyen, sama ada masih dalam pengajian atau sudah di peringkat profesional, juga ramai yang masih tak mengendahkan sama ada rekaan mereka menepati syariat dan ciri-ciri fesyen berlandaskan Islam.

Pelukis doodle yang paling ramai muncul di alam maya. Tapi ramai yang terlampau ghairah menghasilkan doodle yang comel semata-mata dan mengabaikan fakta bahawa betapa mereka mampu menggunakan bakat dan kemahiran mereka untuk menyampaikan sesuatu yang baik.

Mungkin ramai pelukis kartun yang menjadikan pelukis antarabangsa dari Jepun (Manga) , Korea(Manhwa), Amerika  dan sebagainya sebagai inspirasi dan sumber rujukan. Aku pun sama menjadikan Akira Toriyama, Hiro Mashima dan Eiichiro Oda sebagai inspirasi. Tapi kita tak perlu terikut gaya lukisan mereka yang banyak menonjolkan watak-watak perempuan yang seksi.


Impian aku, untuk melihat munculnya lebih banyak kartun animasi dan komik-komik di Malaysia yang berunsurkan pendidikan serta pengajaran yang baik seperti yang dah lama diwujudkan di Jepun dan Korea. Komik kadang-kadang dijadikan sebagai buku teks pendidikan. Kalau tak silap la. Ubah persepsi bahawa membaca komik membuang masa dan tak berfaedah.

Impian kedua aku, untuk melihat kawan-kawan seperjuangan yang menjadikan conteng-conteng dan seni ini sebaga hobi atau sumber pendapatan, menilai balik hasil karya mereka selama ini dan memperbetul apa yang patut. Harap-harap mereka faham dengan apa yang cuba aku sampaikan setiap kali aku menconteng dan tunjukkan pada mereka.

Jadi, mari kita sama perbetulkan niat kita. Ya, niat tak menghalalkan cara, tapi niat yang baik akan dipermudahkan untuk kita mencari jalan yang betul juga.

Tanyakan pada hati kita, UNTUK APA AKU MELUKIS?

Untuk suka-suka? Isi masa lapang? Untuk dipuji oleh orang lain? Untuk dapat untung? Sumber rezeki? Menyebarkan ilmu? Syok sendiri?

Selepas dapat jawapan, tanyakan satu soalan lagi..

Dengan cara dan niat aku ini... ADAKAH ALLAH REDHA?
Maaf, andai entri ini mengguris hati. Ini sebenarnya peringatan untuk diri sendiri yang acapkali terlanjur.

(untuk hukum melukis, boleh rujuk ustaz atau rujuk jawapan yang telah dibincangkan di laman web yang berkaitan dan berkredibiliti)


Ni aku kongsi step-step penghasilan.

# Doakan moga tersingkap hijab di sebalik peristiwa MH370
#Takziah untuk keluarga 529 Ahli Ikhwanul Muslimin yang dizalimi sehingga dijatuhkan hukuman mati. Moga syahid ganjarannya.




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday 9 March 2014

MH370 : Mencari hikmah di sebalik Musibah



Di saat kita rasa teknologi kita paling canggih,
Di saat kita kata alat kita paling hebat,
Di saat kita fikir ilmu kita sudah cukup tinggi,
Di saat kita hampir mendabik dada lupa pada kuasa yang lebih Agung...

Sebuah kapal terbang yang dicanang paling selamat,
Dipandu pilot cekap berpengalaman beribu2 jam di udara,
Dengan sistem keselamatan yang paling ketat,
Dengan reputasi syarikat penerbangan yang cukup gah,

Tup tup...dengan izin  Allah hilangnya MH370 dari radar,
Tak mampu dikesan walau teknologi paling canggih,
Terkapai-kapai kita kebimbangan hilang punca,
Tak tahu khabar berita yang mana satu harus percaya.

Tangisan ahli keluarga usahlah dicerita,
Kekalutan pekerja dan syarikat penerbangan tak payah dibicara,
Kelam kabut kerajaan menguruskan tak perlu diperkata,
Cukuplah kita nampak kebimbangan orang awam depan mata.

Dan kita mula tersedar, kita tak punya apa-apa,
Dengan kuasa Allah, yang mustahil terjadi belaka,
Akhirnya kita kembali muhasabah  diri kita,
Doa dan doa dalam sujud jua yang mampu kita pinta.

Yang pelik, dalam kita dok resah tak keruan, banyak pula yang ambil kesempatan.
Kesempatan jadi keyboard warrior yang hanya mengeruhkan keadaan.
Masing-masing berlumba menyebarkan berita palsu dan tidak sahih yang hanya berdasarkan “rasa-rasa”.
Dari sejahil-jahil manusia sampailah kepada sepandai-pandai ilmuan semua nak sembang buka cerita,
Kononnya dialah penyampai maklumat paling pantas dengan cerita paling rare,
Sedang keluarga mangsa terkebil-kebil nak menapis berita mana paling sahih.
Masing-masing mencipta teori konspirasi sendiri, last-last dibuktikan palsu tak reti pula nak minta maaf.
Kaki troll dan kaki lawak bangang tak ketinggalan menyumbang idea bodoh. Dari menteri sampailah budak sekolah.
Kaki tuding jari asyik mencari sasaran untuk dipersalahkan.

Wahai blogger-blogger gila trafik yang celaka!
Hentikan kerja gila dan bodohmu itu!
MH370 bukan mainan keyword dan SEO mu!
tamatkanlah teori konspirasi dan spekulasi  syok sendiri mu!
Apa guna dikejar trafik yang mencanak naik
Andai dosamu lebih cepat berlipat ganda.
Kau tak jujur dan amanah menyampaikan berita,
Pandai-pandailah kau jawab di Akhirat sana!



Ini petikan kata Kapten Hafiz Firdaus, seorang Pilot dan agamawan yang aku hormat:


Doakan mereka atas tikar sejadah, bukan setakat update "PRAY4MH370" kat fesbuk je.

Takziah untuk keluarga mangsa. Harap bersabar dengan ujian.

Pesawat hilang dari radar, kita terpinga- pinga.
Manusia yang hilang dari radar iman, tersesat dalam relung jahiliyyah, hanya hidayah Allah yang mampu menariknya ke jalan nyata.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday 19 February 2014

Hadiah Digital Potret

Assalamualaikum.

Entri pendek.
Terima kasih Pn. Azhafizah atas hadiah yang osem ni. Hadiah ni aku dapat sebab terpilih sebagai entri kreatif untuk GiveAway Birthday Azhafizah. Kreatif la sangat.
Pelik pulak bila dapat hadiah drpd besday girl. Terbalik sungguh.



Aku sengaja pilih gambar yang tak banyak kaler. Bagi senang nak buat. Tapi memang cepat Fiza lukis.
Aku bukan nak cepat pun. Dapat 2 tahun lagi pun aku tak kisah tapi tup tup dah siap.

Hujung tahun 2011, lebih kurang 2 tahun yang lalu, Fiza pernah lukis potret untuk aku. Boleh KLIK SINI dan comparekan skill beliau yang memang semakin hebat.

Sekali lagi. Terima kasih.






Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday 16 February 2014

Budak 8 Tahun Muat Turun Aplikasi Lucah. Salah siapa?

Assalamualaikum...

Hari ini aku terbaca satu berita yang bagi aku menakutkan. Cerita tentang seorang budak berumur 8 tahun yang sudah pandai mendownload bahan lucah dalam telefon pintar.

Muka depan Harian Metro 16 Feb 2014
8 tahun. Hingus hijau masih laju pekat meleleh. Zaman di mana ramai kanak2 sebaya masih mengorek tahi hidung, menggentel dan menjentik kepada rakan sekelas yang lain.
Usia di mana kalau ternampak gambar seksi di majalah, mereka akan menjerit: "Aiyook.. dosa.. dosa.. aiyookk!"
Umur yang mana sepatutnya bermain kejar-mengejar di tengah hujan bersama rakan selepas balik dari kelas mengaji muqaddam dengan tok guru yang garang tapi baik hati.
Tapi itu zaman aku dulu.. berbelas tahun yang lalu.. bukan zaman hari ini.

Kemajuan, mula menuntut dan menagih korban untuk dipersembah kepada sebuah kemodenan. Jika dulu membina jambatan atau bangunan menuntut korban darah mangsa malang yang dipenggal kepala, namun korban yang dituntut pada hari ini lebih dahsyat.
Sedikit demi sedikit kita mula menukarnya dengan keruntuhan moral dan akhlak. 



Sekarang ni ramai ibu bapa yang kaya dan mampu. Tapi yang biasa2 juga mampu sediakan gajet dan telefon pintar yang kini boleh didapati dengan harga yang agak murah.
Mak ayah sibuk bekerja. Jadi mereka kadang kala tersilap sangka bahawa gajet ini mampu menggantikan kasih sayang mereka buat anak-anak.
Senyuman seorang anak yang terbiar sunyi tak sama indahnya dengan senyuman seorang anak yang bahagia dalam pelukan kasih seorang ibu, prihatin seorang ayah. Takkan sama.

Bagi mak ayah yang mampu mengawal dan menunjukkan cara penggunaaan hanya ke arah kebaikan memang aku respek. Sangat susah tapi bukannya mustahil. Dan ramai yang sudah berjaya membuktikannya.

Masalahnya ramai yang gagal memantau. Ada juga ibubapa yang memberi alasan keselamatan iaitu supaya anak senang menghubungi mereka bila kecemasan.
Tapi apa relevannya sampai bagi ipad atau iphone atau Note 3 sorang satu? setakat  nak call Nokia cap ayam pun dah ok.

Boleh nak dedahkan kepada teknologi supaya anak lebih cepat berkembang tapi pastikan ibu bapa memantau semasa anak gunakan gajet2 tersebut.

Ok malas nak panjangkan lagi, akhir sekali ni ada sedikit TIPS MENGAWAL PENGGUNAAN INTERNET DAN GAJET TERHADAP ANAK-ANAK


Bila dah jadi macam ni, jangan hanya dok bergaduh cari salah siapa.... tapi carilah cara untuk memperbetulkan keadaan.


MyKomik : Ironi#5 : Ibubapa Dulu & Sekarang



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday 13 February 2014

Apabila Perempuan Perasan


Lukisan lama yang diberi nafas baru. Microsoft Office Excel 2007

Perempuan.
Bila datang penyakit perasan. Habis gambar diupload jadi paparan.
Bila datang penyakit perasan, anak remaja, dewasa dan mak orang pun penasaran.
Bila datang penyakit perasan. Gambar muka diedit hilang jerawat tanpa kesan.
Bila datang penyakit perasan. Mahukan pujian. Tersengih sendirian.
Bila datang penyakit perasan. Jangan sampai jadi murahan.
Perempuan perasan. Senjata syaitan merosakkan iman.

Penyakit perasan ni boleh menimpa sesiapa sahaja tak kira lelaki atau perempuan. Tapi biasanya perempuan lebih menonjol dan memberi lebih banyak mudarat serta berbahaya.
Kebiasaannya apabila seseorang perempuan bersolek, memakai pakaian baru, maka mereka berasa mereka lebih cantik dari kebiasaan dan mula terperasan.
Secara automatic akan timbul satu perasaan inginkan penghargaan atau inginkan pujian. Maka mereka cuba menunjukkan kecantikan itu kepada orang-orang terdekat dengan harapan supaya dipuji.
Itu normal.

Tapi bagi yang ada penyakit perasan tahap kronik, mereka tak mudah berpuas hati setakat menunjukkannya kepada orang terdekat di rumah. Mereka mula mengambil gambar selfie sambil membuat gaya-gaya yang diyakini paling comel dan paling menarik.
Ditambah dengan software photo editing atau camera 360 maka penyakit perasan itu akan meningkat ke satu darjat yang lebih menakutkan.
Mereka mula mengupload gambar bajet comel tersebut di laman sosial dengan tujuan mendapatkan perhatian. Apabila selalu dilakukan ianya bertukar menjadi kebiasaan dan tabiat.

Malah ada yang tak segan silu meng”tag” friends mereka pada gambar mereka dengan caption “kalau suka like la. Tak suka berambus. Komen yang murni-murni jew”
Hatta gambar yang diupload itu secara logiknya tak layak dikomen yang murni-murni (tiada definisi jelas bagaimana komen yg murni tersebut)

Pada mulanya aku menganggap komen seperti “ Awak, kalau awak tutup aurat pakai tudung lagi comel. Allah pun suka” itu sebagai komen murni tapi nyata silap apabila komen itu biasanya akan didelete dan pengomen akan dimaki malah di “blocked”.


Snap. Upload. Tag .
Snap. Upload. Tag.
Change profile picture. 
Change profile picture. 
Change profile picture.
Berulang –ulang.
Tabiat ini bukan saja menjadi ketagihan anak gadis remaja, malah yang dewasa dan mak-mak budak.

Yang paling menyedihkan ianya menjangkiti para niqabis bertudung labuh yang begitu teruja menjaja gambar mata yang disolek menggoda.
Maka terpaksa pula dibuka bab baru membincangkan bagaimana penyakit perasan niqabis ini menjadi fitnah buat tudung labuh dan niqabnya.
Kadang-kadang, gambar niqabis yang disolek menggoda itu lebih menggetarkan jiwa berbanding perempuan yang freehair.

Juga lukisan lama. Microsoft Excel.

Ternyata penyakit perasan ini menyerang tak pilih kasih. Anak gadis berambut perang, para niqabis yang nampak sopan, cikgu perempuan yang bergaya sakan, makcik pakai selendang bergelar isteri orang, atau janda berhias beranak sorang.
Sungguh, kecantikan dan kecomelan yang ditayang dan dipamerkan ini mampu menggoyahkan iman mana-mana lelaki yang rapuh iman. Tidak mustahil menerbangkan serban seorang imam.

Perempuan, janganlah terlalu bersangka baik dan berhusnudzon terhadap lelaki. Jangan menyangka bahawa kaum lelaki semuanya mampu menundukkan pandangan dan mempunyai iman yg teguh sehingga mampu membendung mata dari men"scan" tubuh badan mereka.
Sesungguhnya ramai lelaki memiliki "MATA SCAN" yg berteknologi tinggi yang mampu menembusi setiap lapisan pakaian anda.
Lagikan jubah boleh tembus apedehal setakat T-Shirt adik yang ketat sendat dan nipis tu.

Dan kalau masih berdegil juga, jangan meroyan menyalahkan sesiapa jika ada gambar-gambar gedik anda dilihat muncul di dalam page2 pengumpul koleksi gambar Gadis Melayu Cun atau Awek Seksi.
Redhalah, pasrahlah. Itu pilihan korang sendiri.
Juga, bila mati nanti, tolong jangan hadir ke dalam mimpi kawan-kawan atau mak ayah merayu supaya didelete akaun Facebook atau instagramnya. Seram tau. Seram!

Jelas, dengan hanya sedikit suntikan virus perasan, syaitan-syaitan sudah mampu bergelak ketawa, bersenang lenang bergoyang kaki menyaksikan strategi dan percaturan mereka mula membuahkan hasil yang cukup berkesan.


Perempuan yang dijangkiti virus perasan ini dengan rela menjadi senjata sang syaitan laknatullah untuk merosakkan iman mereka sendiri malah iman para lelaki yang kurang budiman.


Maaf kerana terpaksa menulis entri yang cukup mengguris hati ini.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday 12 February 2014

Segmen 12 Jam Bloglist #7 Mialiana.com


Pencarian bloglist bagi bulan Mac dan April 2014 di Mialiana.com bermula pada hari ini, 12 Februari 2014, iaitu tepat jam 11.00 pagi sehingga 11.00 malam nanti. Semua dijemput join.

Syarat-syaratnya :
  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com
  2. Buat entri bertajuk Segmen 12 Jam Bloglist #7 Mialiana.com
  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.
  4. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen INI
Senang dan mudah bukan?

12 blog yang bertuah akan dipilih oleh random.org dan kepada yang terpilih nanti diminta agar memasukkan blog Mialiana.com ke dalam bloglist mereka juga. Keputusan pemenang akan diumumkan pada 28 Februari 2014.

tunggu apa lagi... jom support Mia Liana ya...

Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Tuesday 11 February 2014

Borang Kebenaran Melakukan Maksiat [Free Download]

Assalamualaikum..

Tak payah buat muka terkejut la sangat,aku bukan nak buat fatwa baru pun.
Memandangkan umat Islam di Malaysia ni dah kemaruk sangat nak buat maksiat dan dosa jadi aku cuba la fikirkan cara untuk diorang melampiaskan nafsu kehaiwanan tu dalam bentuk paling legal dan berhemah.

Ramai anak-anak terutama remaja menghadapi masalah bila nak buat maksiat kerana tidak mendapat restu dari ibu bapa. Maka terpaksalah diorang lakukan senyap-senyap di luar pengetahuan penjaga diorang.

Jadi aku harap alternatif yang aku sediakan ni boleh membantu menyelesaikan sedikit sebanyak kebuntuan yang tercipta.

Cara-cara menggunakan borang ini :

1. Download /muat turun borang ni dan save.
2. Sambung kabel printer kepada komputer dan printkan borang ini. Dicadangkan diisi dalam 2 salinan. Satu untuk simpanan pemohon satu lagi simpanan pihak yang meluluskan permohonan. 
3. Borang ini hendaklah diisi oleh pemohon (pemohon terdiri daripada anak atau isteri)
4. Borang yang lengkap diisi diserahkan kepada bapa/ibu/suami/wali/penjaga untuk ditandatangani kelulusannya.
5. Kalau diluluskan bolehla teruskan perlakuan maksiat tanpa was-was dan bimbang kerana telah mendapat restu ibubapa/suami. Tapi bukan restu Allah ye.
6. Kalau tidak diluluskan boleh membuat rayuan permohonan. Sebaiknya redha dan pasrah. Kalau nak teruskan juga secara senyap-senyap dengan akibat ditanggung sendiri.


Borang Kebenaran Melakukan Maksiat (download)

Bagi mengelakkan kekeliruan, aku ada sediakan satu contoh borang yang telah siap diisi dan ditandatangani kat bawah ni. Bolehla dijadikan sebagai idola, eh silap.. jadikan rujukan.

contoh borang yang telah siap diisi

Aku harap borang ini membantu lebih-lebih lagi sempena ketibaan Hari Maksiat Sedunia iaitu Hari Valentine 14 Februari ni. 
Kumpulkan keberanian dan isi borang ini dengan segera. Pihak aku takkan bertanggungjawab atas apa-apa musibah yang menimpa pemohon sewaktu mengemukakan borang permohonan untuk ditandatangani. Sebarang kos rawatan sila tanggung sendiri.

PENJELASAN

Ibubapa dan suami berhak tahu maksiat dan dosa yang akan dilakukan oleh orang-orang di bawah tanggungan mereka. Kerana mereka akan turut sama menanggung dosa yang akan dilakukan tersebut  jika mereka gagal mendidik, menegur dan menasihati pelaku di bawah tanggungjawab mereka dengan baik.
Dengan kata lain, apabila ibu bapa sudah menunaikan tanggungjawab mereka dalam mendidik anak, mereka akan terlepas daripada dosa.

 “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka...” 
(Surah al-Tahrim, ayat 6) 


Cuma jika berlaku dosa disebabkan kecuaian ayah dan ibu, maka ayah dan ibu hanya menanggung KESALAHAN CUAI DALAM TARBIAH. bukannya menanggung dosa anak-anaknya.

Firman Allah yang bermaksud :
“Katakanlah: "(Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain(bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” 
(Al-An’am : 164)

Kecuali bagi mereka yang mengajar dan menunjukkan kepada jalan maksiat, maka di sana DASAR dalam syariat Islam yang sempurna ini mengatakan: SESIAPA YANG MENUNJUKKAN KEPADA SUATU DOSA, MAKA KE ATASNYA JUGA DOSA TERSEBUT. maka si ayah atau siibu yang mengajar anak-anaknya sesuatu amalan maksiat, lalu anak2 itu membuat maksiat dengan sebab ajaran ayahnya dan ibunya, maka tidak syak ayah dan ibu akan bersama2 menanggung dosa anaknya.

Bak kata pepatah " ke mana tumpahnya najis kalau bukan ke mangkuk tandas"

TETAPI bukan bererti ayahnya menanggung dosa anaknya, dan anaknya dikira terlepas dari dosa.. bahkan, kedua-dua mereka sama2 menanggung dosa yang sama.

wallahu a'lam. Tegur jika ada kesilapan.

Sebarkan borang ini kepada rakan anda juga. Ibubapa juga boleh print borang ni bagi kat anak-anak, nanti senang diorang nak isi bila memerlukan.
Jika mahu sebarkan borang ini dinasihatkan disebarkan sekali dengan artikel ni. Supaya tiada salah faham :)

*sebenarnya tanpa borang ni pun dah ramai ibu bapa yang meluluskan permohonan maksiat anak-anak mereka secara lisan .

Entri Valentine :
 ENTRI ROMANTIS BODOH : Valentine's Day....
 MyKOMIK 6 : Diari Cinta Buta
Demi CINTA, Lautan Neraka sanggup kurenangi


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Sunday 9 February 2014

Cerita Grafik : Teka - teki Malaikat

Kisah benar,

Hari Khamis. Macam biasa aku masuk ke kelas Tingkatan Dua.
Eh buat apa ko masuk kelas? ko student lagi ke? (mungkin ada yang tertanya-tanya macam tu)
Aku masuk kelas nak mengajar, sambil belajar. Aku kerja tukang repair je. Tukang repair budak -budak. Bagi elok tang mana yang patut. Paham dok?

Ok berbalik kepada cerita.
Ni kelas Pendidikan Islam. Aku pun tak paham macam mana aku yg belajar kos Math dan Kimia boleh terperangkap jadi ustaz jadi- jadian (sementara waktu je). Mungkin sebab ada janggut sejemput ni kot.

Jadi dipendekkan cerita, setelah merapu barang sepatah dua kata, dan setelah berkali-kali terkeluar topik dan masuk semula, aku pun tanya la satu soalan mudah.

Lukisan yang agak malas. Malas nak detailkan background


"Apa nama malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita?"

Pada mulanya aku jangka soalan kacang ni hanya perlukan masa 10 saat untuk dijawab. Tapi... tapi....

"Malaikat Israfil!" seorang murid menjawab.

"Er, salah. Israfil tugasnya meniup sangkakala. Tiupan yang akan menghancurkan dan kemudian tiupan kebangkitan" Aku bersangka baik. Budak-budak ni eksaited nak menjawab barangkali.

"Ustaz! Malaikat Jibril!"

"Alamak, kesian Jibril kena buat kerja cabut nyawa pulak. Jibril tugasnya menyampaikan wahyu" Husnudzon. Diorang lupa.

"Cikgu, eh ustaz.. Malaikat Ridhwan ke?"

Kesian bebudak ni mengalami kekonfiusan. Apabila cikgu Math mengajar Pendidikan Islam. Keliru nak panggil ustaz ke cikgu. haha. Hentam jela.

"Salah jugak. Malaikat Ridhwan tugasnya menjaga pintu Syurga. Macam mana ni kata nak masuk Syurga tapi tak kenal penjaga pintu syurga"

" Malaikat Israel!" tetibe seorang murid perempuan bersuara.

Aduh. Lagi sadis. Bersangka baik sekali lagi. Mungkin dia keliru ejaan dan sebutan yang hampir sama.

"Mana ada Malaikat Israel. Israel tu negara haram. Bangsa yang menindas rakyat Palestin tu"

Kelas gamat dengan bunyi ketawa.

Akhir sekali. Paling lejen dan rare:

"Malaikat Injil!" yakin sekali seorang murid lelaki menjawab.

Dan beliau digelakkan secara berjemaah oleh rakan-rakan sekelas.

"Injil tu nama kitab yang diturunkan kepada Nabi Isa" Aku tak mampu bersangka baik lagi dah.



Akhirnya aku terpaksa menjawab sendiri.

"Malaikat yang ditugaskan mencabut nyawa adalah malaikat Izrail. Lain kali hafal lagu nasyid Selimut Putih Kumpulan Hijjaz"

"OOOOoooooooo..... kitorang memang nak sebut yang tu lah tadi.. hehe "

Kelas berjalan seperti biasa.



Di sebalik tabir (lah sangat) sketch pakai pensel




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday 8 February 2014

Bola Sepak dan Politik di Malaysia


Dua topik yang aku perhatikan paling rancak diperkatakan dan evergreen sepanjang masa tak kira musim atau cuaca adalah topik Bola Sepak dan Politik.

Banyak persamaan dan keserasian antara dua topik ni. Sama ada yang baik ataupun yang buruk. Aku cuma senaraikan secara umum. Malas nak ulas detail-detail.

1. Strategi


Kedua-duanya perlukan percaturan strategi yang terancang dan teliti. Ada masa merancang strategi, Ada masa bertahan dan ada masa menyerang. Ada perancang strategi di luar padang yang menjadi mastermind setiap corak serangan atau pertahanan.
Ada juga penganalisis setiap peristiwa/perlawanan yang bajet tahu serba-serbi. Ada masa boleh pakai dan diterima ada masa ke laut.

2. Ketaksuban




Kedua-dua bidang ini masing-masing mempunyai pengikut tersendiri. Bola Sepak dengan pasukan-pasukan sama ada kelab atau negeri ada penyokong yang ramai. Biasanya dengan semangat kenegerian. Masing-masing taksub dan berbangga dengan pasukan negeri masing-masing.
Tak salah. Yang menjadi salah apabila saling kutuk mengutuk caci mencaci ugut-mengugut antara pasukan negeri A dengan pasukan negeri B atau C mahupun D. Ya, semua berpunca daripada ketaksuban para penyokongnya.

Politik juga sama, perbezaan fahaman parti menyebabkan perbalahan sama ada di kedai kopi, di laman fesbuk. Twitter atau di pentas ceramah. Masing-masing mahu menang dan tak mengaku kalah.
Terlalu taksub dengan Parti atau pemimpin (mungkin pembodek) menyebabkan mereka menelan bulat2 apa yang diperkatakan oleh pihak mereka dan menolak secara total apa jua pelan dan cadangan pihak lawan.
Ego dan kebodohan menjadi tunjang ketaksuban.

Bahasa saintifik untuk pentaksub yang gila ini adalah "MACAI".

3. Masalah Badan induk



Kalau bola sepak badan tertinggi di Malaysia adalah FAM.
Politik pula selalunya dikaitkan dengan pilihanraya yang dikendalikan SPR.
Kedua-dua badan induk ini kebanyakan masanya berkongsi nasib yang sama. Selalu kena maki dan menjadi tempat diluahkan segala ketidakpuasan hati.
Biasanya dikaitkan dengan keputusan berat sebelah atau pengurusan yang kurang cekap.

4. Fitnah menfitnah
Politik, biasalah. Untuk survival kerjaya dan kedudukan masing-masing, fitnah menfitnah tu perkara biasa. Buatlah apa saja asal pengaruh pihak lawan dapat disekat.
Bola sepak pun tak terlepas. Bila ada kekecohan dan pergaduhan selepas sesuatu perlawanan, mula la masing-masing jadi penglipur lara pereka cerita. Yelah, masing-masing nak menang, benang basah pun cuba ditegakkan.

5. keyboard warrior



Pihak masing-masing punya keyboard warrior sendiri. Berdegar-degar update status kat Facebook, Twitter dan blog. Kritik sana, kutuk sini, orang ni salah, orang tu tak betul.
Bila disuruh bagi cadangan atau penambahbaikan terus senyap. Cakap je lebih tapi bila disuruh buat dia buat tak tahu je. Padahal dengar-dengar cakap orang je.

6. Medium Penyatupaduan.



Apabila semangat kenegerian dan kepartian diketepikan sementara, ternyata Bola sepak dan politik adalah medium terbaik untuk penyatupaduan dan integrasi.
Contoh, apabila Pasukan Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia iaitu dalam mimpi  menentang pasukan Sepanyol, maka seluruh bangsa dan etnik termasuk para pendatang asing juga akan bersatu hati menyokong pasukan negara tanpa mengira apa fahaman dan agama mereka.


Begitu juga politik, apabila umat Islam di Palestin diganyang Israel, maka seluruh Parti di Malaysia sama ada di pihak Kerajaan atau pembangkang akan bersatu mengecam dan mengutuk tindakan celaka Israel tersebut. Sama-sama mengumpul dana dan menghulur sumbangan dalam satu tabung.



Rakyat Malaysia masih belum mampu membebaskan fikiran daripada terbelenggu dengan budaya politik tidak matang dan mentaliti kelas kedua.
Berpolitik macam nak bertumbuk. Main Bola macam nak berperang.
Pemimpin boleh je dok makan semeja. Bertekak hanya dalam gelanggang.
Pemain2 pun ok je boleh bergambar bersama. Biasala tersepak terajang dalam padang.
Penyokong je yang lebih.





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...