Wednesday 19 June 2013

Cara-cara Keluar Dari Belenggu Maksiat








Fadhilatus Syaikh Nuruddin Ali Jum’ah Hafizahullah ta’ala, dalam kitab ringkasnya, ‘ Langkah-langkah keluar daripada maksiat’, menyebut pada pendahuluan bahagian kedua :

“ Ramai dalam kalangan orang Islam saling bertanya, dan berkata ‘sesungguhnya syahwat itu membelenggu diri kami. Maka kami beristighfar kepada ALLAH dan meninggalkan maksiat, namun kemudian kami melupakan tentang perjanjian diantara kami dengan ALLAH. Kami kembali menuruti hawa nafsu dan maksiat. Lalu apakah jalan keluar dari pada semua ini.? “

Oleh kerana banyak kali berlaku pengulangan keadaan sedemikian, hampir sahaja manusia berputus asa.. “

Maka, As-Syeikh membentang 3 langkah mudah yang praktikal dan berkesan untuk dilakukan oleh setiap manusia yang ingin mencabut ikatan-ikatan nafsu dan maksiat pada diri mereka, langkah tersebut ialah :


1) MENJADIKAN RASULULLAH S.A.W SEBAGAI AYAH.

=> Ini merupakan satu teknik berinteraksi dengan fitrah insani yang wujud dalam diri setiap manusia. Secara kebiasaannya, fitrah seorang anak mahu ayahnya menyayangi, diberi perhatian dan tidak mahu diabaikan. Lalu si anak akan membuat apa yang disukai oleh ayahnya dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mendapat kasih sayang tersebut.

Apa perasaan kamu apabila kamu meninggal satu-satu maksiat, dan kamu berkata,
“ Saya tidak akan lakukan sedemikian kerana ayah saya melarangnya.!”.

Jika ditanya, “ Siapa ayah kamu.? “.

Lantas kita menyebut “ Rasulullah s.a.w.. “ . Perasan apa yang menyelubungi kamu ketika itu.?

As-Syeikh berkata di dalam kitabnya, “ Sekiranya seseorang muslim menjadikan RasuluLLAH s.a.w ayah kepada dirinya, sesungguhnya telah merealisasikan apa yang telah dikhabarkan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w,

“ Hanyasanya aku kepada kamu semua ( umat-umat manusia ) seperti seorang ayah kepada anaknya.. “

( Sebahagian daripada hadis daripada Ad-Darimi daripada Abi Hurairah, jilid 1/182 no. 673 )



2) BERZIKIR KEPADA ALLAH SEBANYAK-BANYAKNYA.

=> As-Syeikh berkata, “ Sesungguhnya ALLAH s.w.t telah mengikat antara berzikir kepada ALLAH s.w.t dengan langkah yang pertama, iaitu ‘menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai ayah’, dalam firmah ALLAH s.w.t,

Maksudnya : Telah ada pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh teladan yang terbaik untuk siapa yang mengharapkan ALLAH dan hari akhirat dan berzikirlah kepada ALLAH sebanyak-banyaknya..

( Surah Al-Ahzab, ayat 21 )

Begitu banyak ayat Al-Quran dan hadis yang menggesa kita untuk memperbanyakkan zikir kepada Allah, dan menyatakan tentang kelebihan orang-orang yang sentiasa membasahi lidahnya dengan zikir.

Habib Umar Bin Hafiz hafizahullah ta’ala, menyebut ketika syarahan kitab Qobas Nur Al-Mubin, ringkasan Ihya’ Ulumuddin, secara mafhumnya :

“ Tidak berlaku maksiat ketika seseorang itu sedang berzikir (ingat kepada Allah). Maksiat itu menimpa orang yang lalai dan meninggalkan zikir kepada Allah s.w.t.. “

Asy-Syeikh menyebut lagi, “ Dan yang diharuskan daripada zikir atau kalimah yang paling afdhal untuk dizikirkan oleh muslim ialah apa yang dipanggil oleh ‘Ahlu ALLAH’ dengan الكلمت العشر المباركات dan kalimah yang diajarkan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. iaitu,

سبحان الله , و الحمدلله , و لا إله إلا الله , و الله أكبر, و لا حول و لا قوّة إلاّ بالله.

أستغفر الله , ما شاء الله , حسبنا الله و نعم الوكيل, إنّا لله و إنّا إليه راجعون , توكلت على الله.


3) MEMBEZAKAN ANTARA KEBENARAN DAN KEBATILAN.

=> Asy-Syeikh berkata, “ Ini adalah langkah diatas kedua-dua langkah tadi. Sesungguhnya menghadirkan gambaran RasuluLLAH s.a.w dan seseorang menjadikan RasuluLLAH s.a.w sebagai ‘ayah’ kepadanya dengan memperbanyakkan zikir lahir daripada dalam diri dan hati yang celik, dikukuhkan dengan pembezaan. Tetapi pembezaan tidak dapat didatangkan melainkan dengan bergantung kepada ALLAH s.w.t dan memohon perkara tersebut daripada-NYA, kerana DIA-lah yang Haq, Maha Suci ALLAH. DIA-lah yang memberi hidayah kepadanya.

ALLAH ta’ala berfirman,

Maksudnya :- Bertanyalah (Wahai Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk: Yang kamu sekutukan Dengan Tuhan itu, sesiapa Yang Dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? "Katakanlah: "Allah jualah Yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka Adakah Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun Yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?"

( Surah Yunus, ayat 35 )

Juga, di dalam doa yang ma’thur :

اللهم أرنا الحقّ حقّا و ارزقنا إتّباعه, و أرنا الباطل باطلا و ارزقنا اجتنابه.

Maksudnya : Wahai Tuhan kami, tunjukkanlah yang benar itu benar dan rezekikan kami untuk mengikutinya, tunjukkan kami yang batil itu batil, jauhkan kamu darinya.

Maka, dianjurkan kepada kita untuk mengamalkan doa ini pada tiap-tiap akhir solat, dan pada setiap keadaan.

WaALLAHu a’lam.





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

3 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...