Monday, 30 December 2013

AMBANG 2014 : SAMBUTAN TAHUN GULING- GULING


Assalamualaikum..









2013 hampir melabuhkan tirainya. Apabila tabir disingkap menjelmalah tahun 2014.
2013 akan kita tinggalkan bersama azam-azam lama yang mungkin telah tercapai, mahu diteruskan pencapaiannya ataupun berkubur sekadar azam yang bertukar angan.
2013. Banyak kontroversi dan fenomena  besar yang melanda negara kita yang tercinta. Suka yang sama- sama kita kecapi. Ada juga duka yang sama-sama kita ratapi.

ERA PASCA-PILIHANRAYA

Peristiwa paling besar bagi aku adalah Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan pertempuran sengit di bidang siasah dan politik.
Kehidupan era pasca –pilihanraya nyata seperti edisi-edisi sudah hanya indah khabar dari rupa.
Kita sebagai rakyat menjadi pemerhati dan penilai berapa banyak janji yang sudah dilaksana dan berapa banyak pula yang dimungkiri tanpa rasa bersalah.

Aku rindu suasana sebelum PRU. Semuanya kedengaran manis dan indah. Mimpi bersinar, angan membunga, impian menggunung.

Aneh, kitaran janji-tipu-janji-tipu menjadi makanan rutin rakyat. Ada yang sedar dan ramai juga yang terkebil-kebil keliru.
Dua- dua pihak masih tak terlepas daripada fenomena “terpaksa memungkiri janji”. Pihak yang menang menjadi kerajaan mahupun yang kalah terpaksa menjadi pembangkang.

Rentetan kenaikan harga barang dan kos sara hidup di hujung baki tahun 2013 ternyata menyesakkan rongga dada rakyat marhaen yang terpaksa bernafas lelah di celah-celah sempit kehidupan di bawah payung sistem kapitalisme ini.
Kapitalisme menyebabkan kita menjadi hamba materialistik. Hamba kepada wang.

Cukai naik dan subsidi dikurangkan. Syukurlah sekurang-kurangnya rasionalisasi subsidi gula (baca: harga gula naik) telah mengurangkan kes-kes diabetes secara mendadak.
Alternatif kenaikan petrol, sudah ramai yang mula beralih kepada kenderaan dan jet peribadi yang tak menggunakan RON 95, 97 ataupun diesel. Diorang gunakan kerosin. Atau minyak sawit perah sendiri.
Tol naik? Guna sahaja laluan untuk motosikal. Atau jalan denai celah hutan belantara yang bebas tol.
Tarif elektrik meningkat? Kita negara iklim khatulistiwa. Disimbah cahaya matahari sepanjang tahun. Tenaga solar penyelesaian terbaik. Biar TNB bangkrap. Padan muka.

Menteri? Persetankan mereka yang tak pernah merasa mengeluarkan duit sendiri membeli keperluan asas. Tak pernah berasa gelisah mahu mencatu segala perbelanjaan harian. Hanya mahu mencuba derita rakyat secara bermusim. Itu pun hanya bermuka-muka.
Yang menteri tahu hanya menggunakan otak bebal mereka mengeluarkan kata-kata dan kenyataan bodoh yang mengguris hati rakyat yang telah sedia terluka. Darah luka lama masih mengalir, ditebuk pula luka yang baru.
Dan mereka terus berdekah-dekah ketawa di atas kerusi empuk amanah yang telah hitam legam dengan pengkhianatan dan korupsi.
Kroni? Mereka berada pada kelas tersendiri. Kasta mereka lebih tinggi berbanding rakyat biasa. Mereka lebih mulia dari kita semua. Heh.

HIMPUNAN GULING KERAJAAN

Penghujung era 2013 kita dikejutkan desas desus kencang bertiup di media tentang sebuah perhimpunan yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan!
Dengar saja sudah cukup menggerunkan. Aku dah membayangkan sekumpulan besar manusia berarak dengan ganas membawa senjata berbahaya bersama sekelompok batalion tentera yang berpaling tadah.
Bergerak menuju ke pusat pentadbiran dan menyerang segala apa yang menghalang kemaraan mereka. Pertempuran sengit tercetus. Nyawa melayang.
Err, mungkin aku terlampau banyak menonton cerita perang.

Dan sejujurnya bila dengar nama “Himpunan Guling Kerajaan” sudah mampu membuat orang guling-guling ketawa. Lucu. TURUN tiba-tiba menjadi GULING.
Hebat sungguh sentimen meniupkan api keresahan dan kebimbangan yang dimainkan oleh media. Aku hampir hampir percaya 2%.

Aku masih belum menjumpai ayat-ayat hasutan daripada pihak penganjur supaya menggunakan kekerasan dan keganasan menuntut kerajaan sedia ada melepaskan takhta pemerintahan yang sekian lama selesa dipegang.
Kalau ada pun hasutan ianya datang daripada individu dan bloggers yang boleh dipersoalkan kredibilitinya. Malang, akhbar,TV dan media utama menjadi pencedok menyebarkan berita yang belum tentu sahih. Media nyata selevel majalah tabloid gosip murahan penyebar fitnah.
Sehina Majalah Mangga dan rancangan Melodi.

Ini dunia akhir zaman. Zaman fitnah. Zaman di mana fitnah berleluasa dan digunapakai sebagai fakta.

Senjata paling canggih yang diseru supaya dibawa pun mungkin hanya garam dan air mineral. Takkan hanya dengan itu sahaja mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang cukup hebat dari segi ketenteraan dan persenjataan?
Hantar saja sebuah Scorpene sudah cukup menghapuskan sekelompok manusia itu. Eh silap. Scorpene bukan alat ketenteraan. Ianya artifak lagenda zaman berzaman.

Atau mungkin aku silap. Maklumat aku belum cukup. Korang nilaikan sendiri. Ataupun kita tunggu dan lihat.

Yang pasti aku tak sertai himpunan sama ada guling kerajaan mahupun guling akhlak.

HIMPUNAN GULING AKHLAK

Sambutan Ambang Tahun Baru kalau masih diteruskan tradisinya seperti tahun-tahun lepas nyata jauh lebih berbahaya daripada “Himpunan Berguling-guling Bersama Kerajaan”.

Himpunan muda mudi menyambut tahun baru dengan program maksiat lebih berbahaya kepada akhlak dan akidah. Ianya HIMPUNAN GULING AKHLAK. Mungkin lebih dahsyat GULING AKIDAH. Amalan agama apakah yang menggalakkan umatnya berhibur secara melampau untuk menyambut ketibaan awal Masihi? Belum cukup sambutan 1 Muharram? Itupun kalau teringat nak sambut.

Pujalah artis yang kamu suka itu. Agungkanlah hedonisme yang telah menjadi raja itu. Sembahlah nafsu yang hampir menobatkan dirinya sebagai Tuhan itu.
Mungkin jika korang bernasib baik, korang akan dihimpunkan bersama artis-artis yang korang cinta itu. Bila? Apabila semua manusia berhimpun dalam satu himpunan mega yang paling besar di akhirat kelak.

HIMPUNAN GULINGKAN KEBATILAN.
HIMPUNAN GULINGKAN PENDERHAKA.
HIMPUNAN GULINGKAN MANUSIA KUFUR.
HIMPUNAN DI PADANG MAHSYAR.


#Maaf artikel terlalu panjang. Mungkin tiada yang sanggup membaca. Sekadar luahan pendapat peribadi. Mungkin hanya pendapat aku sorang. Mungkin tak sehaluan dengan korang.

SELAMAT TAHUN BARU 2014.
Penat menaip. Mahu guling-guling atas tilam sebentar.


 *Lupa. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog aku. Biarpun banyak merapu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Friday, 20 December 2013

Manusia... Makhluk yang Pelik

Assalamualaikum...


Traditional Art
(bila lah nak rajin lukis pakai tablet yg dah berkarat tu)


Putaran masa berlalu terlalu pantas. Sehingga kita tak sedar.
Usia kita takkan selamanya muda. Setiap hari bertambah tua.
Bertambah umur, maknanya baki waktu kehidupan kita di dunia makin kurang.
Aneh, ramai telah didatangkan tanda-tanda kematian, namun tetap cinta pada kehidupan.
Dipeluk erat dunia tanpa sedikit niat mahu melepaskannya.

Mati itu pasti. Akan mendatangi setiap kehidupan yang bernyawa.
Hidup. Bernafas. Bergerak. Itu tanda utama bahawa kita pasti mati.
Syarat utama untuk mati adalah bernyawa. Semua makhluk tidak akan kekal.
Bahkan mati juga akan mati.
Yang kekal hanyalah Allah.

Apakah kita sangka kita mampu berehat tenang di kuburan setelah mati, padahal jasad kita busuk dan hodoh bergelumang najis noda dan dosa?
Dunia ini juga. Dunia yang kita sibuk geluti ini juga sudah teramat tua. Terlalu tua.

Apakah kita masih menunggu tanda-tanda luarbiasa yang ajaib baru kita mahu bertaubat dari segala kejelikan dosa yang telah kita kumpulkan?
Apakah hanya dengan turunnya salji di Bumi Malaysia ini baru kita sedar petanda Kiamat?
Atau mahu tunggu Matahari terbit dari Barat?
Sibuk sungguh kita meneliti peristiwa aneh dan pelik kononnya petanda Kiamat . Belum cukupkah tanda-tanda kecil yang muncul di sekeliling kita?

Sebenarnya tanda yang paling pelik adalah apabila kita berasa pelik dan takjub dengan peristiwa pelik-pelik namun kita tak pernah berasa pelik mengenangkan diri yang tak pernah cuba mengambil iktibar biar sepelik mana pun kepelikan tersebut. Sungguh pelik.

Takutnya kita pada kiamat tp tak mengambil langkah mempersiapkan diri.
Kiamat itu sudah terlalu hampir tapi mati itu lebih dekat.
Belum sempat bertemu Kiamat, ajal dulu yang datang menjengah.

Kalaulah uban memutih belum cukup sebagai petanda...
Kalaulah kedut seribu di wajah belum cukup sebagai peringatan,
Kalaulah lelah dan ketidakupayaan kudrat belum cukup sebagai amaran,
Kalaulah hilangnya sensitif deria dan pancaindera belum mampu memberi keinsafan..
Kerana yang tua hanya jasad dan umur, sedangkan nafsu tetap kekal muda selamanya.
Maka tunggulah... tunggu sahaja saatnya nanti.

Saat Izrail datang berwajah bengis merentap roh dari jasad kita.
Saat kafan berlapis membalut tubuh kaku.
Saat manusia lain menyembahyangkan kita dengan empat takbir.
Saat sempit dan gelap terhimpit di dalam tanah berpacakkan nisan.
Saat gempita suara Munkar dan Nakir bertanyakan soalan bocor.

Tunggu sahaja waktu itu.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Wednesday, 18 December 2013

Melayu makin Layu



Suatu masa dulu
Aku bangga bercerita tentang bangsaku
Perihal hebat semangat kepahlawanannya
Menukilkan teguh jati dirinya

Suatu masa dulu
Aku tersenyum megah melaungkan
Aku melayu bangsa mulia
Bangsa terhormat kaya budi pekerti


Hebatnya bangsaku bangganya aku
Bukan kerana bangsaku bangsa majoriti
Bukan kerana bangsaku penguasa tanah air ini
Tapi kerana bangsaku melambangkan agamaku

Suatu masa dulu
Bangsaku bangsa Melayu
Islam dijunjung syariat dijulang
Rela menumpahkan darah menegakkan panji agama

Tapi kini
Bangsaku lesu
Tidak lagi segah dulu
Kembang mekarnya kian layu

Islam bukan lagi identiti bangsaku
Islam tinggal hanya pada nama,
Hanya pada pengenalan diri,
Bukan lagi sebagai cara hidup yang syumul.


Kadang kala laungan Hidup Melayu bergema,
Hanya sandiwara topeng politik,
Hidup bangsa mati agama,
Ibarat mati sebelum ajal.

Takkan Melayu hilang di dunia,
Kata sakti pahlawan terbilang,
Takkan Melayu hilang di dunia,
Andai Islam masih dijulang.

Di penghujung sisa-sisa umur dunia,
Melayu makin suram,
Terleka dengan keseronokan dan hiburan,
Menunggu masa untuk padam.




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Saturday, 16 November 2013

Cerita Grafik : Sebuah Mini Cooper dan Senaskhah Al-Quran





Haikal termenung jauh ke luar jendela. Pandangannya menerobos ke ruang langit menembusi lapisan awan yang kelihatan mendung. Sebagaimana mendung hatinya tika ini.

Digenggam erat keputusan UPSR di tangannya. Entah mengapa, keputusan 5A yang diraihnya tak membawa kegembiraan  sebagaimana yang dia sangkakan. Haikal mengeluh buat kesekian kalinya.

Dia terguris. Hatinya rasa sakit setiap kali memandang hadiah yang masih berbungkus rapi di atas meja tulisnya itu. Itulah hadiah daripada ibu dan ayahnya tanda ucapan tahniah atas kejayaannya.

Dia tahu di dalam bungkusan itu ada permainan Playstation 8 yang menjadi idamannya selama ini. Tapi entah syaitan apa yang merasuknya kala ini sehingga dia tidak berterima kasih pun kepada ibu dan ayahnya yang telah bersusah payah membelikannya hadiah itu.

Dia terbayang wajah bangga Aiman rakan sekelasnya yang juga mendapat 5A. dia mendapat hadiah sebuah motosikal  Yamaha LC135 pink yang cool.

Terngiang-ngiang lagi suara jeritan Aisyah .
“Yahooo, aku dapat 5A! mommy dan daddy dah janji belikan aku laptop Apple, iphone 7 dan bawa aku melancong ke Planet Marikh!”




Hati Haikal bertambah cemburu bila melihat seorang lagi kawannya mendapat hadiah kereta mini cooper  yang berharga lebih rm200,00. Padahal mereka semua mendapat 5A. sama je.
Heboh seluruh Negara bercerita tentang kawannya itu.

Paling Haikal tak boleh terima apabila Budin yang hanya mendapat 4A 1B mendapat hadiah yang lebih mahal dah hebat daripadanya.

“Tok, tok, tok!!” bunyi ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya tak dihiraukannya.

“Haikal, jomlah turun makan malam, dah sejuk makanan tu. Ibu masak lauk kegemaran Haikal ni”
Sayu suara Mak Jah memujuk Haikal. Sudah masuk 10 jam Haikal melancarkan mogok lapar. Mak Jah sendiri bingung memikirkannya.

“Tak nak! Mak ngan ayah tak sayang  Haikal! Kalau mak sayang Haikal, belikan Haikal motosikal sama macam yang Aiman dapat tu!” Jerit Haikal sekuat hati.



Berdesing telinga Pak Mail mendengar jeritan anaknya itu. Diikutkan rasa amarahnya mahu sahaja ditendangnya pintu bilik Haikal dan dibelasahnya budak itu sampai lembik.

Namun imannya masih mampu mengawal kewarasan akalnya. Istighfar masih tak lekang daripada  lidahnya.

Keluarga Pak Mail bukanlah keluarga berada. Hasil simpanannya dapatlah dia membelikan hadiah PS8 yang diminta oleh Haikal. Tapi lain pula jadinya. Ibarat diberi betis minta peha.

Sedangkan sebelum ini Haikal anak yang mendengar kata. Faham akan keadaan keluarga mereka. Buntu Pak Mail memikirkan sebabnya.


……………………………………………………..


Haikal cemburu melihat kawan-kawannya mendapat hadiah yang lebih mahal biarpun keputusannya lebih baik daripada mereka.
Ditambah pula dia diejek dan diapi-apikan oleh beberapa kawannya.

“Hek eleh setakat PS 5 tu dah lama dah bapak aku belikan” Suara Syahir bagaikan halilintar membelah pendengaran Haikal.

“Haikal, ko mintak la bapak ko belikan motosikal, nanti boleh kita pergi sekolah menengah sama-sama nanti” Hasut Aiman anak Tauke stesen minyak yang kaya raya.

Suara-suara tersebut silih berganti bermain-main di kotak fikirannya. Emosinya tambah celaru.
Haikal bertambah tertekan.

“Tok,tokk, tokk” bunyi ketukan pada pintu bergema lagi. Kali ini lebih kuat.

“Haikal, ni Hafiz call, dia kata nak cakap dengan Haikal, keluarlah kejap nak” Lembut suara Mak Jah memujuk.

Hafiz! Hampir terlupa Haikal akan teman baiknya itu. Dia sampai terlupa untuk bertanyakan keputusan UPSR Hafiz tadi kerana ingin cepat pulang akibat tidak tahan dengan sikap kawan-kawannya.

Haikal tahu pasti Hafiz mendapat 5A juga kerana selama ini Hafiz sentiasa menjadi pelajar terbaik di sekolahnya. Malah jauh lebih baik daripada Haikal sendiri.

Perlahan-lahan dibukanya pintu bilik. Dihulurnya kepala menjenguk keluar.
Pantas telefon bimbit bertukar tangan daripada Mak Jah ke tangan Haikal. Sempat Mak Jah melirikkan senyuman buat anak kesayangannya itu. Haikal adalah benih harapan buat keluarga mereka.



Haikal masuk semula ke biliknya bersama telefon itu.
“Helo, Haikal… tahniah, aku dengar ko dapat 5A. Aku tumpang gembira” Suara hafiz sayup-sayup kedengaran di sebalik talian.

“Er, Fiz, ko dapat berapa? Mesti 5A jugak kan? Ko kan best student”  tergagap sedikit suara Haikal.
“Alhamdulillah, aku Berjaya dapat 5A. Tak sia-sia usaha kita selama ni. Mak ayah happy giler”
Riang sekali Hafiz mengkhabarkan berita gembira itu.

“Haikal, mesti ko dah dapat kan PS8 yang ko minta sebagai hadiah tu? Mesti best kan?”

“A’ah… err .. dah. Ok la…”
“Fiz, aku nak Tanya… ko dapat hadiah apa? Mesti lagi best kan? Ko mintak apa?”
Haikal bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.
“Haa… aku pun dapat hadiah tau. Walaupun aku tak pernah minta apa-apa”

“Waah, ko dapat apa? Mini cooper ke? Motor superbike ke?”

“Eh ko ni, aku ni basikal pun tak berapa lepas, inikan pulak nak bawa kereta haha”
“Haikal, ko ingat tak aku pernah cerita lepas tamat sekolah rendah aku nak masuk Sekolah Tahfiz? Aku nak jadi seorang hafiz!” semangat sekali suara Hafiz menceritakan impiannya.

“Alhamdulillah, ayah aku menghadiahkan aku sebuah al-Quran tafsir per kata. Dia bersetuju nak hantar aku ke sekolah tahfiz”

“Eh, takkan al-quran je kot? Ko kan dapat 5A” Haikal bagaikan tidak percaya.

“Bagi aku itupun sudah cukup. Ayah aku bukannya orang kaya. Allah dah bagi apa yang aku perlukan. Jadi kenapa aku perlu jadi hamba yang tak bersyukur, betul tak?” Petah sekali bicara Hafiz, sesuai dengan jawatannya sebagai Ketua Murid di sekolah mereka.

Haikal terkedu. Hampir terlepas telefon dalam genggamannya.



Ah, Hafiz, seindah nama, semulia itu juga akhlakmu. Tiba –tiba Haikal bagaikan terbangun daripada mimpi yang panjang.
Baru dia teringat, keluarga Hafiz lebih susah daripadanya, tapi tak pernah sekalipun dia mendengar rungutan daripada sahabat baiknya itu.

Fikirannya yang sejak tadi merusuh seakan hilang segala keruhnya. Kembali jernih dan tenang.

Kata-kata Hafiz sebentar tadi melenyapkan keangkuhan dan kedegilannya. Haikal betul-betul malu pada dirinya sendiri.
Betapa pemikiran materialistik telah mengelabui kejernihan hatinya sehingga dia hilang kewarasan dalam membuat pertimbangan yang rasional.

Padahal semua itu telah saban hari telah diajar dan dipateri kukuh dalam dirinya sejak kecil lagi. Ayah dan ibunya selalu berpesan supaya bersyukur dengan apa yang ada. Sesungguhnya orang yang bersyukur itu akan ditambah keberkatan rezekinya.

“Fiz, terima kasih. Nanti kita  jumpa lagi”
Haikal mematikan talian meninggalkan Hafiz terpinga-pinga.

Segunung penyesalan dan rasa bersalah terhadap ibu dan ayahnya menyelinap ke segenap penjuru hatinya. Haikal sebak.

“Kejayaan dalam peperiksaan bukanlah penentu kejayaan kita di akhirat. Kalau mendapat 100A pun tak berguna kalau Allah tak redha. Kalau hati ibu dan ayah kita sakiti” Haikal teringat pesanan Ustazah Khadijah hampir setiap kali kelas Pendidikan Islam.

“Ingat, bila kita Berjaya, semua itu bukanlah hasil usaha kita seorang. Itu hasil doa ibu dan ayah, guru-guru dan kawan-kawan. Kejayaan itu sendiri adalah hadiah paling bermakna buat kita dan orang-orang yang saying akan kita. Sepatutnya kita yang menghadiahkan mereka yang banyak berkorban untuk kejayaan kita, bukannya minta hadiah yang bukan2 daripada mereka.
Tapi kalau dah orang bagi tu ambil jela” kata-kata Cikgu Yusuf disambut dengan gelak ketawa murid2 Tahun 6 Amanah.

Semua ingatan itu menginsafkan Haikal.

Perlahan dicapainya bungkusan hadiah di atas meja itu. Dipeluknya erat bersama esakan kecil yang sayu.



Haikal bergegas keluar dari bilik. Separuh berlari menuju ke ruang tamu tempat ayah dan ibunya berada.
Pantas digenggam erat tangan ibunya. Dikucupnya bertubi-tubi.

“Mak, ayah.. Haikal minta maaf. Haikal berdosa buat ayah sakit hati, buat mak sedih. Maafkan Haikal”
Tidak terbendung lagi tangisan Haikal. Dia menangis semahu-mahunya.

Mak Jah turut menangis. Dipeluk erat anaknya. Diusap lembut ubun-ubun Haikal.
Pak Mail menarik nafas lega.




“Ayah, Haikal sebenarnya tak perlukan semua hadiah tu. Cukuplah kejayaan ini sebagai hadiah buat Haikal. Buat Mak. Buat ayah”
Haikal menerpa Pak Mail. Diraihnya tangan kasar ayahnya dan diciumnya penuh kasih sayang.

“Ayah, izinkan Haikal menyambung pelajaran ke sekolah Tahfiz. Haikal mahu jadi seorang hafiz. Haikal mahu jadi anak yang soleh”

Pak Mail sedikit terperanjat. Bibirnya tak henti mengucapkan syukur.

Air mata lelaki Pak Mail tumpah jua. Dipeluk erat anak sulungnya itu. Dia tahu Haikal anak yang baik. Dia sendiri mendidik anaknya dengan ilmu agama yang cukup.

Biarpun mereka tidak berharta, namun keluarga mereka kaya dengan ketinggian pekerti. Kaya dengan kasih sayang yang tak pernah berkurang.



Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas nikmat-Mu yang tak ternilai ini.
Kami tak perlukan limpahan kemewahan harta, cukuplah dengan rezeki yang berkat, tubuh yang sihat  dan keluarga yang bahagia.




P/S : Kalau ibubapa nak bagi hadiah kpd anak2 takde masalah, cuma kena fikirkan kesesuaian dengan tahap pemikiran dan anak .
Tapi oklah kalau harta sendiri dan mampu. Yang menjadi masalah bila ada menteri menyuap anak bini dengan harta rakyat marhain. Itu yang lebih patut kita bisingkan.


Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Tuesday, 12 November 2013

Cerita Grafik : Cinta Suci bawah Umur


Waktu cuti.
Melayan karenah adik2 , anak saudara dan sepupu yang masih kecil tak pernah membosankan.
Kepada anak2 itu, kita mengajar sesuatu, dan daripada anak2 itu, kita belajar sesuatu.

Alkisah.

Aku sedang bersantai ditemani sebuah buku yang mempunyai banyak gambar  yang dihiasi buih-buih dialog.
Datang sepupu aku yg berumur 4 tahun. Perempuan.



“Abang Long, Faiz mana?” mulut kecilnya pelat bertanya.
Abang Long, gelaran untuk aku. Faiz adik aku yang keempat. Selamba je panggil nama direct.

“Eh, kan dia dah takde. Pergi Kedah” Aku jawab acuh tak acuh.

“Kenapa nak cari Faiz?” Sambil mata masih menatap buku yang dibaca dari kanan ke kiri itu.

“Nak cinta “ Pantas sahaja dia menjawab.
Aku melongo. Aku dongakkan kepala. Pandang tepat pada wajah innocent itu.

“Haa? Nak apa? Aku mahu kepastian.

“Nak cinta ngan Faiz laa”
Sah pendengaranku tak menipu aku.

“Hahahahaha!” Aku gelak kuat-kuat.
Dia mula menunjukkan wajah masam. Mencebik.

"Hahahahahaha!!" aku sambung gelak.

.......................
...................
............


“Err.. cinta tu apa?”
Soalan aku kedengaran bodoh sekali. Ah, biarlah, asal aku dapat kepastian.
Mana la tahu “cinta” yang dimaksudkannya itu adalah jenama biskut, atau nama anak patung Barbie, takpun sejenis alat mainan.

Cinta tu KAWEN laaa!”



Dengan nada dan ekspresi muka marah dan merajuk kerana terasa dipermainkan, dia berlalu dengan kaki yang dihentak-hentak keras ke permukaan lantai.
Aku garu kepala. Dari mana dia belajar semua itu? Mustahil daripada umminya. Tak mungkin dari abahnya.

TV. Hanya jawapan itu yang kukira paling logik.

Definisi cinta budak 4 tahun.
CINTA itu KAHWIN. Maksudnya Cinta itu perlu diniatkan untuk kahwin. Mungkin.

Ah, terasa disekolahkan oleh seorang budak.
Aku menyambung semula bacaan yang tergendala.



Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

Thursday, 7 November 2013

DOODLE : Cerita Tentang Hati

Assalamualaikum...


PERKARA YANG MEROSAKKAN HATI DAN IMAN


2 Bulan yang lalu aku ada beli graphic tablet yang digunakan untuk lukis2 tu tapi sampai ke hari ni satu lukisan pun tak siap guna benda tu.
Kena ambil masa nak explore dan kesibukan buat mood nak melukis tu tak berapa nak ada.

Alih-alih guna cara tradisional je. Ambik buku conteng, ambik pensel , lakar. Kemudian buat inking guna pen. Snap gambar dan upload.




PERKARA YANG MEROSAKKAN HATI.

Asasnya adalah akibat terlalu CINTA AKAN DUNIA dan TAKUT MATI.
Dunia makin canggih, cabaran untuk memelihara serta menjaga hati juga makin payah.
Teknologi yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan kerja menjadi bencana apabila jatuh ke tangan manusia yang mencintai HEDONISME (hiburan melampau)

Kehidupan hari ini terlalu banyak hiburan, terlalu mudah untuk mencari hiburan. Ada di mana-mana sahaja 24 jam sehari. Segalanya di hujung jari.

Lekanya kita dengan hiburan akan menyebabkan lemahnya hati serta kurang sensitif dengan isu2 tentang penindasan dan penghinaan terhadap Islam. Maka kita jadi lemah dan bodoh.


 Daripada Tsauban R.A berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
'Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka"
Maka salah seorang sahabat bertanya,"apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?'
Nabi s.a.w menjawab, "bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan"
Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?"
Rasulullah s.a.w menjawab," CINTAKAN DUNIA DAN TAKUT MATI"



SENANGNYA MENGHAPUS PAHALA

Kadang2 kita rasa kita dah buat banyak perkara baik yang boleh mendatangkan pahala namun pada masa yang sama kita melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan pahala tersebut sehingga kita tergolong dalam golongan MUFLIS di akhirat.


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: "Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah S.W.T akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah S.W.T campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).




DOSA MENJADI PERKARA BIASA

Biasanya jika kita buat perkara pelik yang di luar kebiasaan adat masyarakat maka kita akan dipandang pelik dan kita pasti akan berasa tidak selesa atau rasa bersalah.
Tapi jika perkara pelik itu dilakukan bermai-rama atau terlalu ramai orang yang turut melakukannya maka perkara itu lama-kelamaan akan jadi biasa.
Tiada lagi rasa kekok atau bersalah bila melakukannya.

Begitulah dosa membuka aurat, dosa mengambil rasuah dan riba, judi serta minum arak.

Masyarakat hari ini tidak lagi canggung melakukannya di tempat terbuka malah berbangga-bangga dengan menyebarkannya di laman sosial.

Semoga Allah lindungi kita daripada termasuk golongan tersebut.


Sebenarnya kalau nak hurai satu persatu memang tak cukup satu entri, kena bersambung2 macam cerita drama Indonesia pulak. 
Cukuplah kot sekadar rumusan. Semoga sedikit sebanyak kita ambil untuk peringatan.



"SENI ITU SATU ANUGERAH, BAHASA YANG TERINDAH"
-Keri Ikhwan-




Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...