Saturday, 24 September 2011

UMAR BIN ABDUL AZIZ DAN LILIN NEGARA



Kisah Khalifah Umar bin Aziz ini adalah antara kisah-kisah yang selalu aku baca sejak dari kecil lagi. Sudah berpuluh kali aku membaca kisah ini tapi sehingga sekarang tidak pernah jemu untuk mengulanginya.

Sebuah cerita yang ringkas tetapi mesej dan pengajarannya amat besar dan mudah difahami. Sebuah kisah tentang ketaqwaan dan ketegasan seorang peminpin dalam melaksanakan AMANAH yang terpikul atas bahunya. Seorang pemimpin yang tahu membezakan antara hak-hak dirinya dan hak-hak rakyatnya. Tidak pernah hatinya terusik malah tergugat dengan harta kekayaan yang melimpah ruah. Hidupnya penuh kesederhanaan tetapi rakyantnya tak pernah kesempitan kerana bukanlah kemewahan dunia yang beliau cari tetapi keredhaan Allah dan kesenangan di Akhirat.

Alangkah indahnya jika kisah ini dihayati dan diambil iktibar oleh pemimpin-pemimpin pada zaman ini khususnya di negara Malaysia yang amat aku cintai ini. Malaysia sebuah negara yang kaya raya dengan hasilnya, megah bangunannya, mewah sumber makanannya tetapi sayangnya masih ramai lagi yang merintih, meratap, bersedih lantaran kemiskinan yang terus menghimpit.

Kenapakah semua ini terjadi? Adakah kerana tiada lagi UMAR BIN ABDUL AZIZ di negara ini? Ingatlah, betapa banyak kerajaan Islam yang telah runtuh dan dihancurkan oleh Allah lantaran pemimpinnya yang sibuk mengumpul harta lantas mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kerajaan dan rakyat.

Tidak perlu melihat kepada sebuah kerajaan, cukuplah kalau kita memerhatikan organisasi-organisasi kecil yang ada di negara ini bahkan organisasi yang sedang kita curahkan khidmat kepadanya sekarang. Sejauh manakah kita menjadikan Rasulullah SAW dan para khulafa ar-Rasyidin sebagai model seorang pemimpin dalam mentadbir dan meguruskan harta awam? Bak kata pepatah, membujur lalu, melintang patah. Jika ada saja ruang untuk mendapatkan keuntungan, kita seakan gelap mata, lupa pada pegangan, tanpa mengira hak siapa yang telah kita nafikan asalkan hasrat kita tercapai.

Marilah kita mengingatkan diri kita sendiri dan bermuhasah dengan kisah seorang PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT ini.
Inilah kisah ringkasnya.

Suatu hari datanglah seorang utusan dari salah satu daerah kepada beliau. Utusan itu sampai di depan pintu Umar bin Abdul Aziz dalam keadaan malam menjelang. Setelah mengetuk pintu seorang penjaga menyambutnya. Utusan itu pun mengatakan, “Beritahu Amirul Mukminin bahawa yang datang adalah utusan gabenornya.” Penjaga itu masuk untuk memberitahu Umar yang hampir saja berangkat tidur. Umar pun duduk dan berkata, “Izinkan dia masuk.”

Utusan itu masuk, dan Umar memerintahkan untuk menyalakan lilin yang besar. Umar bertanya kepada utusan tersebut tentang keadaan penduduk kota, dan kaum muslimin di sana, bagaimana perilaku gabenor, bagaimana harga-harga, bagaimana dengan anak-anak, orang-orang muhajirin dan anshar, para ibnu sabil, orang-orang miskin. Apakah hak mereka sudah ditunaikan?Apakah ada yang mengadukan?

Utusan itu pun menyampaikan segala yang diketahuinya tentang kota kepada Umar bin Abdul aziz. Tak ada sesuatu pun yang disembunyikannya.
Semua pertanyaan Umar dijawab lengkap oleh utusan itu. Ketika Semua pertanyaan Umar telah selesai dijawab semua, utusan itu balik bertanya kepada Umar.
“Ya Amirul Mukminin, bagaimana keadaanmu, dirimu, dan badanmu? Bagaimana keluargamu, seluruh pegawai dan orang-orang yang menjadi tanggung jawabmu?

Umar pun kemudian dengan serta merta meniup lilin tersebut dan berkata, “Wahai pelayan, nyalakan lampunya!” Lalu dinyalakannlah sebuah lampu kecil yang hampir-hampir tidak bisa menerangi ruangan karena cahayanya yang teramat kecil.
Umar melanjutkan perkataanya, “Sekarang bertanyalah apa yang kamu inginkan.” Utusan itu bertanya tentang keadaannya. Umar memberitahukan tentang keadaan dirinya, anak-anaknya, istri, dan keluarganya.

Rupanya utusan itu sangat tertarik dengan perbuatan yang telah dilakukan oleh Umar, mematikan lilin. Dia bertanya, “Ya Amirul Mukminin, aku melihatmu melakukan sesuatu yang belum pernah Anda lakukan.” Umar bertanya, “Apa itu?”
“Engkau mematikan lilin ketika aku menanyakan tentang keadaanmu dan keluargamu.”

Umar berkata, “Wahai hamba Allah, lilin yang kumatikan itu adalah harta Allah, harta kaum muslimin. Ketika aku bertanya kepadamu tentang urusan mereka maka lilin itu dinyalakan demi kemaslahatan mereka. Begitu kamu memulakan pembicaraan tentang keluarga dan keadaanku, maka aku pun mematikan lilin milik kaum muslimin.”

Subhanallah, benar-benar mengagumkan! Segitu besar kesungguhan Umar dalam menjaga harta kaum muslimin, sangat berbeza dengan realiti pemimpin masa kini.


"Jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah." 
- Khalifah Umar bin Abdul Aziz-


keriikhwan: masih menunggu munculnya UMAR BIN ABDUL AZIZ menjadi peneraju kepimpinan negara ini.

-monolog by keriikhwan-





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...