Tuesday, 15 November 2011

PAKSALAH DIRI UNTUK IKHLAS



“i kalau bertudung tu biarlah ikhlas, atas kehendak diri sendiri”
“apa guna pakai tudung kalau tak ikhlas, aku tak nak hipokrit”
“aku bukannya tak nak sembahyang, tapi tunggulah aku ikhlas dulu”
“susahnya nak ikhlas ni, tu yang aku tak berapa suka derma2 ni”
“Insya-Allah, bila suatu hari nanti hati i terbuka untuk berubah, i akan berubah, tapi bukan sekarang”
“Orang kata  lebih baik tak payah buat kalau tidak ikhlas.”

Tentunya kita biasa mendengar dialog-dialog seperti  di atas. Seakan-akan semua sepakat untuk memberi  jawapan yang sama bila disoal perkara yang serupa. Mugkin itulah jawapan paling selamat mengikut pandangan mereka dan mampu menutup mulut-mulut yang bertanya.

            Sebenarnya jawapan-jawapan sebegitu telah lama dapat dibidas, dibalas dan disanggah oleh para ilmuan dan cerdik pandai Islam, cuma ego dan angkuh yang telah lama menumpang di hati tidak membenarkan golongan-golongan   ini untuk menerimanya.


            IKHLAS. Satu kalimah ringkas tapi membawa impak yang sangat besar dalam kehidupan kita khususnya sebagai umat Islam. Ianya menjadi penentu sama ada sesuatu amalan atau ibadat kita diterima atau tidak. Ikhlas, bukan calang-calang orang yang mampu mencapai tahap itu.

            Susahnya ingin ikhlas. Rungutan inilah yang sering terlepas daripada bibir-bibir kita. Ya, ikhlas memang susah, jika tidak kena caranya. Sifat riak dan suka menunjuk-nunjuk sering kali menjadi penghalang dan pemusnah kepada sifat ikhlas. Jadi bagaimana caranya?

            Bayangkan sepasang kekasih yang sedang bermadu kasih. Bagaimana caranya mereka melayan pasangan masing-masing? Segala kemahuan dan keinginan akan cuba ditunaikan sedaya upaya tanpa banyak soal bicara. Masing-masing tidak berkira untuk berkorban sedikit demi pasangan masing-masing.

            Terfikirkah kita kenapa pasangan ini boleh berkorban sejauh itu? Dengan ikhlas mereka melakukannya. Cinta! Ya, itulah kuncinya, atau setidak-tidaknya salah satu kunci yang mampu membawa kita ke arah keikhlasan. Untuk ikhlas melakukan ibadah dan suruhan Allah, tentulah cinta kepada Allah menjadi syarat utamanya.

            Bagaimana mahu meraih cinta Allah? Sedang kita begitu hebat saat mendamba cinta manusia, begitu teratur menyusun strategi, begitu bijak menyusun kata, namun kita seakan hilang arah saat mahu mencari cinta Allah.  Lemas dengan amukan gelora dunia yang senantiasa menghempap kita.  

            Ikhlas tak akan datang dengan sendiri, ia perlu dipupuk malah perlu dipaksa! Jika kita hanya menunggu untuk ikhlas itu datang bertandang dengan sendirinya, entah-entah ajal yang datang terlebih dahulu menjengah kita tanpa sempat ikhlas singgah di hati. Beranikah kita bertaruh dengan nyawa kita? Tanpa ada usaha, kita hanya menanti, dan terus menanti tanpa ada jawapan yang pasti. Tanpa kudrat yang dikerah.

            Jadi bagaimana? PAKSAAN!! Itulah caranya. Ambil contoh seorang anak kecil yang diajar cara bersolat. Mahukah dia menerimanya dan terus melakukannya? Adakah dia terus ikhlas melaksanakan solat itu? Tentunya tidak! Perlu ada paksaan daripada ibu bapanya. Proses tarbiyah yang berterusan, serta contoh teladan sebagai panduan, lama- kelamaan anak itu dengan rela hatinya melaksanakan solat tanpa lagi dipaksa. Malah dia sendiri akan resah dan marah akan dirinya jika terlupa atau tertinggal solat. Ya, akhirnya sifat ikhlas hadir dalam hatinya melalui satu paksaan!

            Bagaimana pula dengan puasa? Adakah kali pertama kita berpuasa kita sememangnya telah ikhlas? Bukankah kita juga dipaksa oleh kedua ibu bapa kita? Seorang anak kecil yang belum mengerti apa-apa masakan begitu mudah meninggalkan makanan-makanan enak yang dijamah setiap hari. Jika bukan kerana terpaksa, mungkin kerana malu dengan kawan-kawan sekolah atau diugut untuk tidak boleh makan bersama sewaktu berbuka adakah dia rela berpuasa? Mungkin ada, tetapi tentunya jarang sekali.

            Jika seorang dewasa merasakan dirinya tidak ikhlas berpuasa, adakah dia tidak perlu melakukan puasa itu? Tidak ikhlas, tak perlulah melakukannya? Tapi kenapa orang-orang yang merungut beratnya untuk berpuasa ini masih lagi berpuasa? Kerana ianya kewajiban. Ikhlas atau tidak, itu persoalan kedua. Biarlah Allah yang menentukannya. Yang penting laksanakan dulu apa yang diperintahkan.
           
            Begitu juga dengan bertudung atau menutup aurat. Ianya perlu dipaksa pada peringkat permulaan. Biasakan diri untuk menutup aurat, pedulikan kata-kata yang meruntuhkan semangat daripada orang-orang sekeliling.  Jika betul tidak ikhlas melakukannya, tidak mengapa. Itulah bisikan syaitan. Teruskannya, sekurang-kurangnya kita telah terlepas daripada kewajiban menutup aurat. Sekurang-kurangya kita telah menutup jalan dosa disebabkan mendedahkan aurat. Menutup jalan yang boleh membawa kepada fitnah.

            Jadi, apakah kita masih menganggap adalah lebih baik tidak bertudung jika tidak ikhlas? Bertudunglah, walau tidak ikhlas, tutuplah aurat, walaupun berat di hati. Ikhlas atau tidak, itu urusan Allah, biarlah Dia yang menentukannya. Insya Allah lama-kelamaan ikhlas pasti hadir, cinta pasti bersambut.

            Saat Ikhlas memenuhi ruang hati, kita setingkat lebih hampir kepada Allah. Lebih mendalam cinta kita kepada-Nya, dan yang paling indah, bila kita merasai manisnya beribadat. Terasa gelisah jika tidak melakukan kebaikan, seakan ketagih melakukan ibadah, semuanya dengan rela hati tanpa ada lagi yang perlu memaksa.

Jika kita mengaku bahawa kita adalah Islam, tapi pada masa yang sama kita tidak mengamalkan ajarannya, maka kitalah orang yang paling HIPOKRIT!

Paksalah diri untuk ikhlas. Demi Cinta yang agung. Kasih yang abadi.

Katakanlah: “Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).
Surat Al-Bayyinah ayat 5 menyatakan, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”
Rasulullah saw. bersabda, “Ikhlaslah dalam beragama; cukup bagimu amal yang sedikit.”
Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap ridha-Nya.” 
 
- monolog by keriikhwan –
Jika ada tersilap bicara, sila tegur dan perbetulkannnya.





Trimas sudi baca,semoga mendapat manfaat daripada entri ni :)

4 comments:

  1. tersangatlah hamba setuju dengan cara paksa itu kerana bila terbiasa segalanya akan ikhlas dari jiwa

    ReplyDelete
  2. ssh bebenor ha nak mndidik rasa ikhlas tu ha..

    ReplyDelete
  3. tak susah sebenarnya...
    tapi bukan mudah..
    yg penting hati kena ada keinginan...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...